Isnin, 24 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Rawatan Islam diiktiraf

Posted: 24 Sep 2012 06:14 PM PDT

Kerajaan setuju masukkan dalam rang undang-undang perubatan tradisional

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan bersetuju memasukkan perubatan Islam dalam Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 ketika pembentangan bacaan kali kedua di Parlimen semalam selepas mendapat persetujuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua Jabatan Agama Islam negeri.

Berikutan itu, pengamal perubatan Islam, tradisional, termasuk bomoh perlu mendaftar menerusi majlis yang akan ditubuhkan untuk mengendalikan urusan pengamal perubatan tradisional.

Notis pindaan
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata notis pindaan menambah perubatan Islam dalam tafsiran rang undang-ndang itu akan diberikan ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini.

"Sebelum ini, kita tidak masukkan perubatan Islam kerana tidak mendapat persetujuan JAKIM tetapi sekarang sudah dipersetujui bukan saja JAKIM, malah Jabatan Agama Islam negeri," katanya di lobi Parlimen selepas membentangkan rang undang-undang itu.

Liow juga berkata, kementerian dengan kerjasama JAKIM akan memantau proses pendaftaran pengamal perubatan Islam, tradisional Melayu, Cina dan India.

Beliau berkata, pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang mengingkari arahan mendaftar boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 atau penjara dua tahun.
"Semua pengamal perubatan Islam tidak terlepas daripada tindakan tegas jika menipu dan melanggar undang-undang selepas Rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 diluluskan," katanya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang meminta Kementerian Kesihatan memasukkan perubatan Islam dalam rang undang-undang itu kerana perubatan moden dan Islam sama penting, tambahan pula sering berlaku kes pesakit tidak sembuh selepas menerima rawatan di hospital dan beralih mencuba kaedah perubatan Islam atau tradisional.

Perkara sama disuarakan Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Mohd Fauzi Mustaffa kerana bimbang masa depan amalan perubatan itu bagi merawat pelbagai penyakit serta kes sihir yang semakin berleluasa.

Strategi maju perubatan

Terdahulu, Liow berkata berikutan perkembangan pesat perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia dan antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merangka strategi untuk membangunkan industri itu.

"Di Malaysia permintaan terhadap perubatan ini makin meningkat serta berkembang pesat dan banyak aduan diterima mengenainya. Selain itu, negara sering digemparkan dengan pelbagai berita membabitkan pengamal perubatan ini," katanya.

Setakat ini, 10 hospital kerajaan menjalankan program integrasi menawarkan perubatan moden bersama perubatan tradisional, iaitu Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru), Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Duchess of Kent (Sandakan), Hospital Umum Sarawak, Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Port Dickson, Hospital Sultanah Hajah Kalsom (Cameron Highlands) dan Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (Kota Bharu).

Wang Kelian lubuk ubat seks

Posted: 24 Sep 2012 05:22 PM PDT

Alor Setar: Arked niaga di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dikesan menjadi lokasi lambakan pelbagai produk kesihatan, terutama pil perangsang seks dan kosmetik, tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan yang berbahaya kepada pengguna.

Tinjauan BH di Arked Niaga Padang Besar serta Wang Kelian di sempadan Perlis-Thailand mendapati, banyak produk berkenaan termasuk kosmetik dari Thailand dijual, dipercayai kerana permintaan tinggi di kalangan rakyat tempatan.

Produk dijual disempadan

Selain itu, pil perangsang seks yang kononnya mampu memberikan lebih nikmat dan ketahanan ketika berasmara turut dijual walaupun mengundang pelbagai risiko seperti kerosakan organ dalaman penting terutama buah pinggang.

Pelanggan pula ada dari Kuala Lumpur, Melaka dan Johor – sama ada membeli untuk kegunaan sendiri atau secara pukal yang dipercayai mahu dijual kepada pelanggan masing-masing.

Tanpa mereka sedari, penggunaan produk kesihatan atau kosmetik yang tidak diketahui 'asal-usul' terutama bahan yang digunakan, boleh menyebabkan komplikasi serius kepada tubuh terutama pengelupasan kulit dan masalah buah pinggang.
Produk tiruan mengandungi racun

Kebanyakan produk perangsang seks tiruan mempunyai racun seperti sildenafil, tadalafil dan steroid. Selain itu, kandungan logam berat dan bahan asing lain yang tinggi boleh mendatangkan kesan buruk kepada pengguna.

Lebih membimbangkan, produk yang kebanyakannya dibawa masuk dari Thailand, Indonesia dan Filipina walaupun dipantau Kementerian Kesihatan, mudah diperoleh terutama melalui peniaga sekitar kaki lima, pasar malam, kedai runcit, kedai ubat tradisional serta internet.

Ketaksuban kelihatan cantik terutama badan yang kurus, kulit halus atau memulihkan tenaga batin menyebabkan masyarakat gagal memilih produk berdaftar dan selamat digunakan.

Kandungan bahan tertentu dalam produk itu mungkin mampu memberi kesan yang diingini dengan pantas, tetapi ia amat berbahaya kepada kesihatan untuk jangka panjang, malah dalam sesetengah kes kesan sampingan berlaku lebih pantas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan