Khamis, 27 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Tambahan 1,500 ruang parkir di Hospital Kuala Lumpur

Posted: 27 Sep 2012 03:41 AM PDT

KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang kini mengalami kesesakan kawasan parkir akan mempunyai tambahan 1,500 ruang parkir tidak lama lagi sebagai rancangan jangka pendek bagi mengatasi masalah tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 539 ruang akan tersedia akhir tahun ini dan selebihnya dijangka siap tahun depan.

"Menjelang akhir tahun ini, kira-kira 330 parkir akan siap sebaik sahaja kompleks SCACC (Kompleks Pakar dan Pusat Jagaan Ambulatori) dibuka dan kita akan memilik 209 lagi tempat meletak kereta terbuka," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut untuk meninjau keadaan parkir di HKL, hari ini.

Beliau berkata bangunan parkir bertingkat dan lebih banyak kawasan parkir akan dibina sebagai rancangan jangka panjang bagi menangani masalah berkenaan.


Kini terdapat 2,364 ruang parkir di HKL yang diurus syarikat parkir, yang 1,818 darinya diperuntuk untuk staf hospital dan 546 ruang bagi orang ramai.


Beliau berkata kerajaan sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah parkir di hospital berkenaan tetapi berikutan beberapa masalah yang dihadapi syarikat yang menguruskan kawasan parkir, masalah itu tertangguh.

Liow menjelaskan syarikat berkenaan mendapat kontrak selama dua tahun dari Kementerian Kesihatan pada Januari tahun lalu, namun berikutan timbul beberapa masalah, kontrak itu ditamatkan.

Beliau berkata ekoran itu kes tersebut telah dibawa ke mahkamah Januari tahun ini oleh syarikat berkenaan yang kemudiannya diarahkan oleh mahkamah supaya mereka meneruskan kontrak sehingga keputusan mahkamah dibuat pada 29 Okt ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27


PNB umum agihan pendapatan 6.60 sen seunit bagi AS1M

Posted: 27 Sep 2012 03:28 AM PDT

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) untuk tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2012.

Pengerusinya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan ketiga itu merupakan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding dengan 6.50 sen seunit yang diumumkan tahun lepas.

Beliau berkata agihan pendapatan akan melibatkan pembayaran sebanyak RM459.86 juta, peningkatan sebanyak 49.1 peratus berbanding dengan pembayaran jumlah tahun sebelumnya sebanyak RM308.40 juta.

"Sebanyak 336,411 pemegang unit, yang kini memegang 8.02 bilion unit AS1M, akan mendapat manfaat daripada pembayaran ini," kata beliau ketika mengumumkan agihan pendapatan itu hari ini.


Ahmad Sarji berkata sehingga 25 Sept, AS1M mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM577.4 juta.


Beliau berkata keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM158.1 juta atau 27.4 peratus manakala baki RM101 juta atau 17.5 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

"Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang RM318.3 juta atau 55.1 peratus daripada pendapatan kasar," katanya.

Beliau berkata semua pengagihan pendapatan akan dikreditkan secara automatik ke akaun pemegang unit pada 1 Okt.

Pengiraan pengagihan pendapatan AS1M akan berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana, kata beliau.

AS1M merupakan dana harga tetap dengan saiz 10 bilion unit dengan 50 peratus saiz diluluskan dibuka untuk pelabur Bumiputera, 30 peratus diperuntukkan kepada kaum Cina, 15 peratus untuk kaum India dan selebihnya untuk rakyat Malaysia yang lain. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27


Tiada ulasan:

Catat Ulasan