Khamis, 20 September 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Hentak kepala ketua pengawas

Posted: 19 Sep 2012 04:01 PM PDT

PETALING JAYA: Seorang penolong ketua pengawas menerima lapan jahitan di kepalanya selepas dipukul dengan sebatang besi oleh seorang pelajar lain dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di Taman Medan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, mangsa, K Saturpaghan, 16, dikepung lebih 10 pelajar di hadapan sekolahnya sebelum dimaki hamun dan dibelasah kerana melaporkan perbuatan mereka membawa barang larangan ke sekolah kepada guru disiplin sebulan lalu.


Rakan mangsa yang juga bekas penolong ketua pengawas sekolah berkenaan, S Logaganapathy, 17, berkata, dia turut diserang empat pelajar ketika mahu pulang dari sekolah kira-kira 10 minit sebelum kejadian.

"Saya berjaya melarikan diri sebelum sempat dibelasah empat pelajar terbabit dan terus melaporkan kejadian itu kepada guru disiplin, namun, saya tidak tahu Paghan menjadi mangsa sebaik saya melepaskan diri.


"Selepas menyangkakan keadaan sudah reda, saya keluar melalui pintu pagar depan sekolah sebelum terkejut melihat Paghan sudah dikepung kira-kira 14 pelajar sekolah dengan bersenjatakan besi dan kayu," katanya.


Sementara itu, Paghan yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, kelmarin, selepas membuat laporan polis mendakwa mengenali suspek yang bertindak memukulnya.

Katanya, dia pernah melaporkan perbuatan pelajar terbabit yang membawa barang larangan ke sekolah kepada guru disiplin kira-kira sebulan lalu.


"Saya tidak menyangka suspek berdendam sehingga tergamak membelasah saya sehingga menerima lapan jahitan di kepala.

"Guru yang membawa saya ke klinik swasta berdekatan kemudian menghubungi ibu bapa sebelum menghantar saya ke sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya untuk menerima rawatan lanjut," katanya.


Loga turut membuat laporan polis dengan ditemani ibu bapanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/20


Wanita separuh bogel mati dijerut

Posted: 19 Sep 2012 03:59 PM PDT

PENAMPANG: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh dalam keadaan mengerikan apabila bukan saja lehernya dijerut, malah kaki dan tangannya turut diikat menggunakan tali dalam kejadian di Pangsapuri Delta Heights, di sini, petang semalam.

Mangsa, Rozaidah Lajalo, 28, dari Tawau, yang hanya berbaju dan berseluar dalam ditemui tertiarap oleh sepasukan polis dalam sebuah bilik, jam 6 petang.


Menurut sumber, sebelum itu, kakak mangsa dikatakan datang ke rumah di tingkat dua pangsapuri berkenaan selepas wanita terbabit tidak hadir ke tempat kerjanya di sebuah pusat hiburan, di sini.

"Kakak mangsa yang curiga masuk ke rumah berkenaan sebelum terhidu bau busuk dari sebuah bilik yang berkunci sebelum menghubungi polis.


"Polis memecah pintu bilik berkenaan dan menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dalam keadaan tangan dan kakinya terikat manakala ada kesan jerut di lehernya," katanya, di sini, semalam.


Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan ahli keluarga serta kenalan mangsa dan sedang mengenal pasti motif kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/20


0 ulasan:

Catat Ulasan