Rabu, 26 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kerajaan tak akan patah balik

Posted: 26 Sep 2012 08:19 PM PDT

Transformasi sistem perundangan negara: PM jamin usaha jadikan sistem lebih progresif akan diteruskan

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berjanji kerajaan tidak akan berpatah balik selepas melakukan pelbagai transformasi dalam sistem perundangan negara.

Sebaliknya, Perdana Menteri memberi jaminan usaha sejak tahun lalu ke arah sistem yang lebih progresif akan diteruskan walaupun perjalanan ke arah pembaharuan masih jauh.

"Tembok lebih mudah diruntuhkan daripada asas yang dibangunkan. "Usaha bersungguh-sungguh dan teliti untuk membina asas yang kukuh, teguh serta padu yang akan berupaya menghadapi ujian masa, mengambil masa." - Datuk Seri Najib Razak

Namun, Najib menyedari ada pengamal undang-undang, terutama mereka dalam komuniti hak asasi manusia tetap memilih untuk 'melihat gelas itu sebagai separuh kosong daripada separuh penuh.'

Kepada mereka, beliau berkata: "Tembok lebih mudah diruntuhkan daripada asas yang dibangunkan. Usaha bersungguh-sungguh dan teliti untuk membina asas yang kukuh, teguh serta padu yang akan berupaya menghadapi ujian masa, mengambil masa.

Kejayaan tidak dikecapi dalam sehari

"Seperti Rome tidak dibangunkan dalam sehari, pembinaan Malaysia yang adil, saksama dan demokratik tidak boleh dicapai dalam masa semalaman. Seperti pepatah purba Cina menyebut, suatu perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama.
"Kita sudah memulakan bukan saja langkah pertama tetapi banyak. Perjalanan itu adalah jauh dan akan diteruskan, namun pembaharuan tidak akan berpatah balik... itu janji saya."

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Presiden Badan Peguam Malaysia, Lim Chee Wee.

Dengar kritikan membina

Kerajaan menunaikan janji untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam perundangan negara, antaranya membatalkan tiga Proklamasi Darurat yang membawa kepada pemansuhan Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1971, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis dan memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2011.

Katanya, kerajaan yang mendengar kritikan membina rakyat, kemudian mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan 1948, di samping melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi memastikan semua tahanan mendapat akses kepada keadilan.

Dalam pada itu, Najib berkata walaupun sesekali berlaku perbalahan atau pertelingkahan dalam politik dan profesion undang-undang, Badan Peguam Malaysia tetap rakan penting dalam kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan di negara ini.

"Apabila ia (peguam) bercakap, kita (kerajaan) mendengar. Kita mungkin tidak sentiasa bersetuju dengan pandangan Badan Peguam Malaysia atau sesetengah aktiviti mereka, tetapi kita mendengar apa yang mereka perkatakan dan memerhati apa dilakukan dengan penuh minat.

Najib petik ucapan Tun Razak

"Kita mungkin ada kala membuat lawak mengenai peguam, tetapi mereka bagaimanapun ada peranan unik dan penting di negara ini," katanya yang memetik ucapan arwah ayahandanya, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, mengenai profesion undang-undang dan peranan badan peguam ketika merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia yang pertama pada 15 Julai 1971.

Menjelang Bajet 2013: Tangani tempias ekonomi global

Posted: 26 Sep 2012 08:18 PM PDT

Bajet 2013 pastikan pertumbuhan domestik kekal kukuh

Kuala Lumpur: Bajet 2013 dibuat untuk menangani masalah ekonomi yang berpunca dari luar negara dan pada masa yang sama dapat memastikan pertumbuhan domestik kekal kukuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata Bajet 2013 juga direka untuk memastikan negara mempunyai kekuatan dalaman untuk mengimbangi kelemahan ekonomi global.

"Pada masa yang sama, kita mahu kekal sebagai destinasi mesra pelaburan kepada pelabur asing dan domestik," katanya selepas merasmikan Majlis Pertemuan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Bersama ahli-ahli Persatuan Kebajikan Anak-Anak Melayu Pulau Pinang, di Selangor dan Wilayah Persekutuan semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia mempunyai ekonomi dinamik seperti penggunaan domestik yang tinggi, kadar pengangguran yang rendah kurang tiga peratus dan kadar inflasi yang rendah kurang dua peratus.

"Kementerian Kewangan akan memastikan negara terus menjadi destinasi pilihan untuk dana dari luar negara dan tempatan," katanya.

Nor Mohamed turut menafikan bajet kali ini dipengaruhi sentimen Pilihan raya Umum ke-13 dan menegaskan setiap bajet menekankan manfaat maksimum yang akan diterima oleh rakyat.

"Setiap bajet untuk rakyat dan kali ini pun sama tidak kira ada pilihan raya atau tidak. Tetapi, melalui strategi dan cara yang berlainan selari peredaran masa dan perubahan zaman, matlamat tetap sama dari dahulu sampai sekarang, iaitu memberi impak yang optimum kepada rakyat," katanya.
Beliau juga yakin kerajaan, melalui bajet, akan mencari cara baharu dan inovatif untuk memberi manfaat kepada rakyat dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Bantu perkembangan ekonomi Bumiputera

Selain itu, Nor Mohamed berkata kerajaan melalui agensinya akan terus membantu perkembangan ekonomi Bumiputera di negeri itu.

"Kerajaan telah mengagihkan dana RM165 juta bagi tempoh 2011-2012 kepada agensinya untuk membangunkan perumahan dan modal insan kepada Bumiputera di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata sebanyak RM100 juta dari dana berkenaan diperuntukkan untuk membina rumah dan sehingga kini, sebanyak 1,300 rumah kos sederhana dan rendah sedang dibina di Sungai Nibong dan beberapa kawasan lagi di Seberang Perai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan