Sabtu, 22 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


MPSJ saman isu jual hotel

Posted: 21 Sep 2012 01:07 PM PDT

SUBANG JAYA: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil tindakan undang-undang ke atas Mayland Valiant Sdn Bhd (Mayland Valiant) berhubung isu bangunan Hotel Grand Dorsett Subang yang dijual untuk membangunkan perumahan.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, sebelum ini pihaknya sudah meluluskan projek pembangunan yang membabitkan cadangan tambahan dan pengubahsuaian sebahagian bangunan terbabit, namun pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai penjualan hotel itu kepada individu.


"Kami akan memohon untuk satu deklarasi bahawa Kebenaran Merancang bertarikh 5 Oktober 2010 yang diberikan kepada defendan adalah untuk kegunaan hotel semata-mata.

"Satu injunksi bagi menahan mereka daripada menggunakan atau membenarkan kawasan itu dimajukan sebagai kawasan perumahan turut di pohon," katanya di sini, semalam.


Asmawi berkata, pihaknya sudah menghantar surat saman kepada Mayland Valiant pada 14 September lalu.


Menurutnya, pengurusan kes itu ditetapkan oleh mahkamah pada 24 September ini sambil memohon pihak terbabit dan orang ramai dapat memberikan kerjasama serta menunggu keputusan mahkamah.

Mengulas perkara sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yoeh berkata, penduduk kawasan itu tidak bersetuju dengan idea pembangunan yang mengubah persekitaran kawasan dan menyebabkan ketidakselesaan.


Beliau berharap supaya mahkamah memberikan keputusan adil bagi menjamin kesejahteraan di kawasan berkenaan di samping dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/22


JKM Hulu Langat kesan dua waris bayi

Posted: 21 Sep 2012 01:04 PM PDT

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat meminta bantuan orang ramai mengesan waris dua bayi yang ditinggalkan di hospital ketika menjalani rawatan kesihatan.

Kedua-dua bayi yang belum diberi nama itu akan diserahkan kepada keluarga angkat yang berdaftar di bawah JKM jika tidak dituntut mana-mana ahli keluarga mereka.


Bayi pertama yang dilahirkan pramatang di Hospital Kajang pada 17 Mac lalu ditinggalkan ibunya yang dikenali sebagai Fasa, seorang warga Indonesia selepas anaknya itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Difahamkan, pihak JKM Hulu Langat sudah berulang kali menghubungi ibu bayi berkenaan melalui nombor telefon yang didaftarkan ketika bersalin, namun talian itu tidak aktif.


Seorang lagi bayi ditinggalkan ibunya di Hospital Serdang pada 28 Jun lalu selepas dilahirkan di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, di sini.


Ibu bayi berkenaan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Sri Rahayu, nombor pasport AR5664256 dan alamat terakhirnya di B-4-05, Jalan 6/2, Seri Cempaka Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau waris yang ingin menuntut kedua-dua bayi berkenaan boleh menghubungi Penjaga JKM Hulu Langat, Rohaidah Omar di talian 03-87378007.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/22


Tiada ulasan:

Catat Ulasan