Rabu, 19 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Polis hilang gigi

Posted: 18 Sep 2012 03:56 PM PDT

SUBANG JAYA: Seorang anggota Balai Polis Subang Jaya patah gigi, luka di lengan dan lutut kanan selepas bergelut dengan seorang penjenayah yang cuba menyerangnya dengan parang dalam kejadian di Persiaran Kewajipan berhampiran SS14, di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah malam, anggota itu yang berusia 20-an bersama empat lagi rakan setugas mengejar tiga suspek lelaki yang menaiki motosikal yang cuba menyamun di SS16, di sini.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sebelum kejadian, anggota polis berkenaan melakukan rondaan bermotosikal pencegahan jenayah dan pemantauan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) apabila terserempak tiga lelaki mencurigakan.

"Anggota berkenaan menghampiri dua lelaki terbabit yang menaiki satu motosikal, manakala seorang lagi menunggang sendirian untuk membuat pemeriksaan identiti.


"Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek memecut motosikal mereka menghala USJ1 menyebabkan anggota polis berkenaan mengejar," katanya.


Menurutnya, anggota polis berkenaan berjaya memintas sebuah motosikal dinaiki dua suspek sebelum pemboncengnya terjatuh.

"Ketika mengejar, seorang suspek yang membonceng mengeluarkan parang panjang dari dalam bajunya lalu melibas ke arah anggota polis yang menghampiri dengan motosikal.


"Namun, tiba-tiba lelaki terbabit terjatuh dan cuba lari dengan melompat pembahagi jalan menuju SS14, manakala dua rakannya melepaskan diri," katanya.

Katanya, seorang anggota polis mengejar suspek terbabit dan mengepungnya di tempat kejadian sebelum suspek nekad menyerang dengan parang panjang.


"Anggota polis berkenaan bergelut dengan suspek dan dalam pergelutan itu dia terlepas satu tembakan.


"Tembakan itu mengenai cermin hadapan sebuah kereta yang melalui tempat kejadian, tetapi tidak mencederakan pemandu dan penumpangnya," katanya.


Yahaya berkata, suspek terbabit diberkas dan dibawa ke Balai Polis Subang Jaya untuk tindakan lanjut, manakala parang berukuran 68.5 sentimeter yang digunakan untuk menyerang polis turut dirampas.


"Siasatan mendapati, suspek berusia 22 tahun berada dalam keadaan khayal ketika kejadian apabila ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis syabu," katanya.


Sehubungan itu, Yahaya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lagi suspek supaya diminta menghubungi talian 03-78627222 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/19


Waris dua mayat dicari

Posted: 18 Sep 2012 03:53 PM PDT

KUALA LUMPUR: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan waris dua mayat reput yang ditemui dalam rumah mereka di Taman Desa dan Jalan Abdul Samad yang kini belum dituntut.

Mayat pertama, Nisar Ahamed M Raj Mohamed dengan kad pengenalan, 610125715017 ditemui polis di rumahnya di Danau Murni Condo, Taman Desa, dekat sini, pada 11 September lalu.


Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Sarjan Baharudin Harun di talian 012- 9033291 untuk menuntut mayat terbabit.

Bagi mayat kedua pula, Lim Kuan Sam (441008105549) ditemui di rumahnya di F 96 Jalan Abdul Samad, dekat sini, awal pagi kelmarin dan dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu.


Mereka yang mengenalinya atau mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Sarjan Sukhbir Singh di talian 0192194355 atau 03-7982449.


Mayat kedua-duanya kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PP UM).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/19


Tiada ulasan:

Catat Ulasan