Jumaat, 28 September 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Serbu dua stor DVD serentak

Posted: 27 Sep 2012 04:31 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dua stor menyimpan cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD) filem serta lagu cetak rompak dari luar negara di Jalan Tun HS Lee dan Jalan Silang, di sini, diserbu petang semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, sebanyak 83,000 DVD dan CD dirampas dengan anggaran nilai RM100,000.


Serbuan diketuai Penolong Pengarah Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas, Abd Halim Anen dengan kekuatan 50 pegawai dan anggota menyerbu dua premis terbabit serentak pada jam 6 petang.

Abd Halim berkata, ketika serbuan kedua-dua premis itu tidak berpenghuni dan siasatan mendapati DVD dan CD di situ disasarkan untuk pasaran warga asing di Malaysia.


"Serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan ke atas kedua-dua premis itu disyaki dijadikan stor," katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, kedua-dua premis terbabit tidak memiliki lesen dan jika sabit kesalahan mereka yang terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Penempatan gelandangan

Posted: 27 Sep 2012 04:28 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneliti dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mewujudkan sebuah pusat penempatan sementara golongan gelandangan bagi mengatasi masalah golongan itu di ibu negara.

Datuk Bandar DBKL, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, ketika ini DBKL sudah mengenal pasti satu kawasan seluas dua hektar untuk dijadikan pusat perlindungan sementara itu.


"Barangkali kami akan bersama kementerian berkenaan untuk membina satu pusat bagi penempatan sementara mereka (golongan gelandangan) terutama rakyat Malaysia yang tiada rumah dan tidur di bawah bangunan atau jambatan.

"Ada sesetengah mereka itu bekerja, tetapi memilih untuk tidak menyewa rumah dan lebih suka tinggal di bawah jambatan kerana dapat menjimatkan bayaran sewa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perbarisan Hari Penguatkuasa DBKL ke-43 2012 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, semalam.


Majlis dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Hadir sama, Timbalannya, Datuk M Saravanan dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop.


Ahmad Phesal berkata, satu pusat diperlukan bagi membolehkan bantuan kepada golongan ini oleh 13 badan bukan kerajaan (NGO) setakat ini diselaraskan.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, statistik tindakan undang-undang sepanjang lapan bulan pertama tahun ini menunjukkan 66,708 notis kesalahan dikeluarkan dan 90 peratus daripadanya kesalahan lalu lintas.


"Jabatan Penguatkuasaan juga menyita 2,294 penjaja tanpa lesen selain 149 orang sudah dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki penjaga parkir kereta haram.

"Sebanyak 324 notis kesalahan juga dikeluarkan kerana tidak menggunakan jejantas dengan kutipan kompaun serta-merta RM7,598," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


0 ulasan:

Catat Ulasan