Jumaat, 28 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


125,708 pegawai, anggota ATM terima insentif khas RM200

Posted: 28 Sep 2012 02:47 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seramai 125,708 pegawai dan anggota Angkatan Tentera akan menerima bayaran insentif khas RM200 sebulan bermula 1 Januari depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan perkara itu dalam Belanjawan 2013 hari ini berkata bayaran insentif khas itu membabitkan peruntukan sebanyak RM301 juta.

Beliau berkata, bagi menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera, elaun bertugas anggota biasa dan pegawai turut dinaikkan kepada RM6 dan RM7.80 sejam daripada hanya RM4 dan RM5.80 sejam sebelum ini.
"Penyelarasan elaun ini membabitkan 65,000 anggota simpanan tentera membabitkan Askar Wataniah, dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara serta pasukan Rela, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan anggota sukarelawan polis (PVR)," katanya di sini.

Bagi meringankan beban 224,000 anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, Najib berkata kerajaan akan memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 secara 'one-off' atau dibayar sekali sahaja kepada mereka.

Beliau berkata, pemberian membabitkan peruntukan sebanyak RM224 juta itu akan dikongsi bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM12 juta bagi memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat.
Skim itu akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM15,000 kepada hampir 242,000 anggota tentera dan polis yang sedang bertugas, katanya. - BERNAMA

Pencen minimum pesara kerajaan naik kepada RM820: Najib

Posted: 28 Sep 2012 02:21 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kadar pencen minimum bagi pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan dinaikkan daripada RM720 kepada RM820, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelarasan pencen itu akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2013.

"Kerajaan tidak akan lupa jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.
"Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, kerajaan turut mencadangkan pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport berkuatkuasa Januari 2013 dalam usaha mengiktiraf golongan warga emas.

Najib berkata, caj bayaran pemprosesan pasport untuk tempoh sah laku selama lima tahun bagi warga emas akan dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada RM300 kepada RM150.

"Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80," katanya.
Tambahnya, pengurangan caj bayaran pasport itu turut diperluaskan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan