Selasa, 18 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kereta rasmi Timbalan Menteri dicuri ditemui terbakar di Bukit kapar

Posted: 18 Sep 2012 02:36 AM PDT

KLANG: Kereta Proton Perdana Executive yang digunakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun, ditemui terbakar di Jalan Akob, Bukit Kapar Sabtu lalu.

Kereta rasmi timbalan menteri itu dilapor dicuri pada 2 Jun lalu di Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, polis dan bomba mendapat maklumat daripada orang awam mengenai sebuah kereta yang terbakar di Jalan Akob pada jam 7.30 malam.
"Kereta itu hangus. Pemeriksaan nombor chasis dan enjin mendapati ia adalah kenderaan yang digunakan Datuk Joseph," katanya di sini.

Rangka kereta itu kini berada di Balai Polis Kapar di sini.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu jenayah menggunakan api. - BERNAMA

LTdL 2013 bermula dengan praperlumbaan di Langkawi

Posted: 18 Sep 2012 02:34 AM PDT

PUTRAJAYA: Kejohanan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-18 akan bermula dengan praperlumbaan di Langkawi sebelum perlumbaan peringkat pertama bermula di Kangar, Perlis pada 21 Februari depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, praperlumbaan akan berlangsung pada 20 Februari dan tidak akan membabitkan pengiraan mata kerana matlamatnya sekadar memperkenalkan venue lahir kejohanan kepada pelumba.

Kementerian mahu mengekalkan identiti dan sejarah perlumbaan LTdL sejak diperkenalkan pada 1996, katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas edisi LTdL 2013, Ahmad Shabery berkata, perlumbaan berstatus 2.HC (Hors Classe) itu akan disertai 20 pasukan termasuk dari Perancis serta Amerika Syarikat dan akan berlangsung hingga 2 Mac.

(Hors Classe merupakan status tertinggi yang diberi kepada sesebuah perlumbaan berbasikal yang mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Ahmad Shabery berkata, antara laluan baharu untuk edisi kali ini ialah Serdang, Sungai Siput dan Kuala Kangsar, yang pasti memberi pengalaman baru kepada pelumba edisi 2013.

"Apa yang menarik perlumbaan kali ini menampilkan tiga pendakian berstatus 'Hors Classe' iaitu dua di Cameron Highlands dan satu lagi puncak di Genting Highlands," katanya.
Beliau berkata, Terengganu sekali lagi dipilih sebagai penutup perlumbaan apabila empat peringkat terakhir berlangsung di negeri tersebut dengan misi sampingan mempromosi Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

"Ia juga sebagai penghormatan kepada kerajaan negeri Terengganu atas kejayaannya menghasilkan ramai pelumba terbaik negara sama ada dalam acara trek dan lebuh raya.

"Diharap ia akan menjadi cabaran untuk negeri lain dalam menyusun program pembangunan sukan masing-masing dalam usaha melahirkan bakat-bakat baru sukan yang mampu diketengahkan ke peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata, daripada 20 pasukan yang menyertai LTdL 2013, dua merupakan pasukan bertaraf 'protour' iaitu pasukan Garmin dari Amerika Syarikat dan Astana dari Kazakhstan.

"Kita sedang berusaha memujuk satu atau dua lagi pasukan bertaraf 'protour' untuk memberi lebih kehangatan sesuai dengan tema perlumbaan kali ini iaitu 'The Heat is On' atau 'Bahang Kian Terasa'," katanya.

Laluan Le Tour de Langkawi 2013
-------------------------------
Peringkat 1 (21 Feb) -- Kangar - Kulim (162.7 km)
Peringkat 2 (22 Feb) -- Serdang - Kuala Kangsar (116.0 km)
Peringkat 3 (23 Feb) -- Sungai Siput - Cameron Highlands (145.5 km)
Peringkat 4 (24 Feb) -- Tapah - Kapar (168.0 km)
Peringkat 5 (25 Feb) -- Proton - Genting (108.0 km)
Peringkat 6 (26 Feb) -- Mentakab - Kuantan (212.8 km)
Peringkat 7 (27 Feb) -- Kuantan - Dungun (149.8 km)
Peringkat 8 (28 Feb) -- Kuala Terengganu - Tanah Merah (164.5 km)
Peringkat 9 (1 Mac ) -- Pasir Puteh - Kuala Berang (123.6 km)
Peringkat 10(2 Mac ) -- Tasik Kenyir - Kuala Terangganu (114.8 km)

Jarak Keseluruhan : 1465.6 km - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan