Isnin, 24 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


USM, UniMAP hasilkan kerusi berputar untuk rawat ketidakseimbangan badan

Posted: 24 Sep 2012 03:26 AM PDT

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menghasilkan kerusi berputar yang dilengkapi alatan mekanikal yang berupaya menjalankan ujian tahap keseimbangan badan.

Ketua Penyelidik Dr Zuraida Zainun, yang juga Pensyarah Kanan Program Audiologi Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, berkata kerusi berkenaan yang dinamakan 'Bal Ex Zuraida-Shah Rotatory Club' juga mampu membantu proses pemulihan pesakit strok, kanak-kanak autisme dan lambat dalam pembelajaran.

Beliau berkata inovasi itu direka cipta atas dasar harga pasaran bagi kerusi berkenaan yang terlalu tinggi iaitu mencecah RM500,000 sedangkan modifikasi kerusi yang dihasilkan itu hanya mencecah RM11,000.

"Kebanyakan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan kerusi berputar itu adalah barangan kitar semula seperti kerusi kereta dan sebagainya," katanya kepada pemberita di majlis menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan antara USM dan UniMap, di sini hari ini.


Pada majlis itu, USM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Omar Osman manakala UniMAP diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.


Dr Zuraida berkata kerusi berputar itu merupakan alatan ujian yang digunakan untuk mengesan fungsi organ keseimbangan badan dan perawatan untuk pesakit bermasalah keseimbangan badan.

"Secara keseluruhan, kami mengambil masa lebih kurang 10 bulan untuk menyiapkan inovasi itu. Kerusi itu direka oleh pasukan UniMAP manakala dari segi teknologi perubatan dibangunkan oleh USM," katanya.

Beliau berkata inovasi itu juga merupakan satu daripada tanda keprihatinan penyelidik untuk menaik taraf kehidupan masyarakat dan meningkatkan bidang klinikal vestibular di Malaysia.

"Setakat ini hanya terdapat dua pusat perubatan yang ada kerusi berputar ini iaitu di Kuala Lumpur, kami percaya dengan adanya kerusi berkenaan dapat memperkembangkan lagi bidang klinikal vestibular dan penduduk bandar serta luar bandar juga dapat menikmati kemudahan itu memandangkan ia mampu dimiliki dan boleh dialih dengan mudah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian kejuruteraan Mekatronik UniMAP Dr Shahriman Abu Bakar, yang juga pembantu penyelidik bagi projek berkenaan, berkata inovasi itu telah dipatenkan dan akan dikomersilkan dalam masa terdekat.

"Kos untuk menghasilkan kerusi itu sangat minimum kerana kita menggunakan peralatan sedia ada di UniMAP dan kepakaran tenaga pengajar serta pelajar kita," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


Polis tahan enam suspek kes samun dan bunuh pengawal keselamatan di Taiping

Posted: 24 Sep 2012 02:58 AM PDT

IPOH: Polis Perak menahan enam suspek di Pulau Pinang dan Kedah bagi membantu siasatan kes samun wang tunai berjumlah RM1,235,715 dan bunuh seorang pengawal keselamatan di dalam van di depan sebuah pasaraya di Taiping pada Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata mereka yang berumur antara 40-an hingga 20-an itu ditahan di tiga kawasan pada Jumaat dan Sabtu lepas hasil risikan polis.

Empat daripada suspek berkenaan terdiri dua lelaki dan dua wanita ditahan di luar premis Kentucky Fried Chicken (KFC) di Petronas Bandar Sunway Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 2.30 petang, Jumaat lepas, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan daripada tangkapan itu, awal pagi keesokannya polis menyerbu sebuah rumah di kawasan George Town dan menahan seorang lelaki berumur 47 tahun.


"Pada hari yang sama (Sabtu) polis juga menahan seorang wanita berumur 28 tahun di sebuah rumah di daerah Kulim, Kedah," katanya dan menurutnya kejayaan menahan enam suspek itu merupakan kejayaan besar bagi polis Perak.


Ekoran penahanan keenam-enam suspek itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah Proton Waja yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu selain wang tunai berjumlah RM571,100, katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman sehingga 28 Sept ini.

Dalam kejadian di hadapan sebuah pasaraya di Aulong, Taiping, pengawal keselamatan Hasnol Hafiz Saad, 28, ditemui mati dalam sebuah van yang dalam perjalanan membawa wang tunai di bawah kawalan Syarikat Safeguards Malaysia Sdn Bhd ke bandar Taiping, manakala rakan setugasnya Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, menghilangkan diri.

Hasnol ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan beberapa kesan tembakan di badan.

Mohd Shukri berkata polis sedang mengesan Mohd Hafizuddin, nombor kad pengenalan 870216-08-5015 untuk membantu siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd Hafizuddin atau kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis untuk membantu siasatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


Tiada ulasan:

Catat Ulasan