Sabtu, 22 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pilihan raya serentak boleh jimat wang pembayar cukai: Karpal

Posted: 22 Sep 2012 12:52 AM PDT

GEORGETOWN: Pilihan raya serentak, negeri dan parlimen, dapat menjimatkan banyak wang pembayar cukai, kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh.

"Pada pandangan saya, pilihan raya harus diadakan pada penghujung penggal lima tahun," kata beliau.

Karpal Singh mengulas mengenai pilihan raya bagi dewan undangan negeri Selangor yang dicadangkan diadakan berasingan dari pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor tidak dapat mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya kebangsaan kerana menurutnya Suruhanjaya Pilihanraya (EC) belum membersihkan daftar pemilih bagi Selangor.

Karpal Singh berkata, rakyat mengundi kerajaan untuk tempoh lima tahun, oleh itu ekspektasi itu perlu dipenuhi.

"Memang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) mengambil alih kedudukan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib mahukan mandat baru rakyat, tetapi itu boleh dilakukan dengan memenuhi penggal lima tahun," kata Karpal Singh.

Najib mempunyai masa hingga 28 April tahun depan untuk membubar parlimen dan mengadakan pilihan raya.
Jika tidak Parlimen akan bubar dengan sendirinya pada 29 April dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib menetapkan tarikh pilihan raya dalam tempoh dua bulan selepas itu. - BERNAMA

Belanjawan 2013 diharap mesra rakyat: Tun Mahathir

Posted: 22 Sep 2012 12:11 AM PDT

ALOR SETAR: Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri hujung bulan ini diharap mesra rakyat dan menyenangkan semua pihak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun beliau tidak mengetahui isi kandungan belanjawan berkenaan, namun yakin ia pasti tidak akan membebankan rakyat.

"Saya fikir belanjawan ini mestilah satu belanjawan yang senang untuk rakyat, boleh membantu rakyat, tak menjadi beban kepada rakyat. Memandangkan pilihan raya akan datang, kena mesra rakyat.
"Tapi kalau naik cukai rokok dengan arak tak apalah, yang lain jangan naikla," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi Ekonomi Negara di Dewan Perhimpunan Cina dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tindakan sepatutnya diambil terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoal bantahan umat Islam terhadap filem kontroversi 'Innocence of Muslims'.

Dr Mahathir berkata, pemimpin DAP itu tidak seharusnya sengaja membangkitkan kemarahan orang Islam kerana DAP juga mahukan sokongan mereka.

Ditanya adakah tindakan itu menunjukkan bahawa DAP tidak menghormati perjuangan PAS, beliau berkata: "DAP dengan PAS tak boleh (bersatu), macam kucing dengan anjing, dia nanti berperang. Tambah, kalau ada dalam kerajaan hari-hari dok cakap (bertikam lidah)". - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan