Isnin, 24 September 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Sorok dalam sejadah

Posted: 23 Sep 2012 10:51 AM PDT

KUALA LUMPUR: Cubaan seorang lelaki warga Indonesia berusia 28 tahun menyembunyikan diri menggunakan sejadah sebagai pelindung bagi mengelakkan dirinya dicekup pihak berkuasa gagal apabila taktiknya itu dapat dikesan ketika operasi bersepadu 6P yang dijalankan di rumah kongsi Jalan Perhentian, Sentul, di sini, kelmarin.

Lelaki itu adalah antara 94 pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Operasi bermula jam 9 malam dan berakhir tiga jam kemudian bertumpu di lima blok rumah kongsi yang dijadikan asrama pekerja di kawasan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa yang mengetuai operasi itu berkata, operasi di kawasan itu mendapat kerjasama KDN, JPAM dan PDRM dengan kekuatan anggota 170 orang.


"Kami melakukan serbuan ke kawasan itu selepas menerima maklumat orang awam dan hasil intipan dijalankan berjaya menahan 94 pendatang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan India.


"Kami memeriksa 335 pekerja di lima blok rumah kongsi itu dan hasil pemeriksaan 241 mempunyai permit kerja sementara selebihnya tiada sebarang dokumen.

"Daripada 94 pendatang yang ditahan, 67 warga Indonesia, Bangladesh (25), seorang Vietnam dan seorang lelaki India yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sektor perladangan," katanya kepada media selepas tamat operasi terbabit.


James Musa berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati pekerja itu berkerja dengan empat majikan berlainan syarikat pembinaan dan semua tinggal di kawasan itu.

Semua ditahan dibawa ke Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


Trauma dibelasah teman lelaki Nigeria

Posted: 23 Sep 2012 10:49 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pertemuan kali pertama membawa sengsara, itu dialami seorang wanita yang mengunjungi rumah teman lelaki warga Nigeria di Bukit Jalil, di sini apabila dia bukan sahaja dikurung malah dibelasah selain dipaksa menyerahkan wang RM500 jika ingin dilepaskan.

Difahamkan, wanita berusia 26 tahun itu mula mengenali kenalannya itu sejak Disember lalu namun mereka berdua tidak pernah bertemu sebaliknya hanya menjalinkan hubungan melalui telefon.


Bagaimanapun pada Khamis lalu, lelaki berusia 20-an terbabit menghubungi mangsa jam 10 pagi dan mengajaknya datang ke rumah kononnya ingin mengenali mangsa dengan lebih dekat.

Mangsa tanpa berfikir panjang terus bersetuju dan memberitahu akan ke kediaman lelaki itu beberapa jam kemudian dengan beranggapan pertemuan itu dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat kerana sejak berhubungan mereka tidak pernah bertemu.


Menurut sumber, sebaik tiba, mangsa pada mulanya dilayan dengan baik malah ketika itu, dua teman serumah kenalannya itu turut berada bersama.


"Malah ketika berborak, tiba-tiba lelaki terbabit merayu kepada mangsa supaya meminjamkan wang sebanyak RM500 kononnya ingin dihantar pulang ke negara asalnya kerana mendakwa keluarganya mengalami kesempitan wang.

"Mangsa yang simpati dengan nasib temannya itu kemudian bersetuju memberikan wang diminta namun memberitahu akan menyerahkannya keesokan hari kerana dia tiada wang pada ketika itu," katanya.


Sumber berkata, bagaimanapun lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa dan terus mengamuk sebelum menumbuk muka mangsa beberapa kali.

"Mangsa yang kesakitan terkejut dan merayu tidak diapa-apakan dan berjanji memberikan wang diminta dengan syarat membenarkannya pulang ke rumah.


"Lelaki itu enggan berbuat demikian dan terus memaksa mangsa masuk ke dalam bilik dan mengurungnya," katanya.


Menurutnya, mangsa yang dikurung kemudian tertidur sebelum tersedar kira-kira jam 11 pagi keesokannya selepas lelaki berkenaan masuk ke dalam bilik dan menendang serta memukulnya beberapa kali.


"Tidak cukup dengan itu, rakan lelaki itu turut masuk dan membelasah mangsa selama beberapa minit serta memaksa menyerahkan wang seperti dijanjikan sambil mengacukan pisau.


"Mereka kemudian membawanya keluar untuk mengambil wang berkenaan. Malah ketika berada di dalam kereta, mangsa turut ditampar dan dipukul," katanya.


Sumber itu berkata, mangsa yang ketakutan kemudian meminta lelaki itu membawa ke rumah rakannya di Kelana Jaya dan berjanji memberikan wang seperti diminta.


"Sebaik tiba di pangsapuri rakannya, mangsa yang ketakutan menjerit meminta tolong dan disedari pengawal keselamatan yang kemudian membantunya serta menghubungi polis.


"Malah, lelaki terbabit turut ditangkap dan diserahkan kepada polis yang tiba tidak lama kemudian. Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian dibawa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi," katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan kejadian itu dan memberitahu mangsa dikurung dan dipukul teman lelakinya bersama dua lagi rakan serta diperas ugut sebanyak RM500.


Menurutnya, ketiga-tiga lelaki Nigeria itu yang juga pelajar kini ditahan reman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 384/342 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


0 ulasan:

Catat Ulasan