Selasa, 18 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Duit bayar sewa rumah jadi abu

Posted: 17 Sep 2012 03:45 PM PDT

SHAH ALAM: "Sedih bila mengenangkan duit sewa rumah berjumlah RM1,000 yang sepatutnya saya bayar kepada tuan rumah beberapa hari lagi hangus terbakar.

"Kini, saya terpaksa mengumpul semula duit sewa dan bekerja lebih kuat untuk membayar duit sewa rumah yang sudah dua bulan tertangguh," kata K Ramu, 40, menceritakan kesedihan yang dialami selepas bilik stor di rumahnya di Kampung Jawa, dekat sini, hangus dijilat api, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dia sekeluarga tiada di rumah kerana keluar untuk membeli barangan keperluan.


Katanya, sebaik tiba di rumah kira-kira jam 6 petang, dia terkejut apabila melihat banyak asap tebal keluar dari rumah.

Menurutnya, tanpa berfikir panjang, dia segera meninggalkan isteri dan anaknya sementara dia segera berlari ke dalam rumah dengan membawa baldi berisi air kerana mahu memadamkan kebakaran.


Bagaimanapun, usahanya untuk memadamkan kebakaran ternyata tidak berhasil kerana api semakin marak walaupun turut dibantu beberapa orang jiran untuk memadamkannya.


"Beberapa minit kemudian, pasukan bomba tiba dan berjaya memadamkan kebakaran, namun saya tidak dapat menyelamatkan barangan berharga seperti wang, barang kemas dan pakaian yang disimpan dalam stor berkenaan.

"Walaupun terkilan wang dan barangan berharga lain hangus saya bersyukur kerana keluarga selamat," katanya.


Beliau berkata, anggaran awal kerugian dialami ialah RM15,000.

Ramu berkata, ini adalah kejadian pertama berlaku sejak mendiami rumah itu kira-kira dua tahun lalu.


Sementara itu, jurucakap bomba sewaktu dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.21 petang dan tiba beberapa minit kemudian.


Katanya, tujuh anggota bomba bersama pegawai tiba di tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya kira-kira jam 7 malam.


Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak forensik bomba.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Tiada kompromi hotel bajet tidak patuhi syarat

Posted: 17 Sep 2012 03:43 PM PDT

KUALA LUMPUR: Masalah berkaitan permit pekerja menjadi antara punca utama hotel bajet di dalam kawasan seliaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) enggan memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala berkata, selain masalah itu, pekerja hotel didapati gagal memenuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa, malah ada di antaranya menyalah guna pas lawatan sosial.


Katanya, pihaknya mengesan terdapat beberapa pemilik hotel bajet tetap beroperasi seperti biasa walaupun lesen perniagaan mereka sudah tamat tempoh.

"Terdapat lebih 50 hotel bajet sekitar kawasan MPS dan kami menerima aduan beberapa hotel bajet beroperasi secara haram, namun kami yakin masalah ini diatasi memandangkan penguatkuasaan dilakukan semakin kerap dengan kerjasama beberapa pihak lain termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


"Prosedur memperbaharui lesen perniagaan perlu dipatuhi. Oleh itu, kami tidak akan melayakkan mana-mana lesen diperbaharui sekiranya pemilik premis melanggar syarat," katanya.


Zainal Abidin berkata, hotel bajet lebih tertumpu di lokasi yang menjadi tarikan pelancong seperti Batu Caves, Selayang, Rawang dan Gombak, justeru pemeriksaan lebih kerap dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, setiap hotel ditetapkan untuk mempunyai buku daftar keluar masuk pelanggan bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan kelak.


Menurutnya, walaupun membabitkan masalah pekerja, tindakan akan diambil bagi pemilik hotel yang gagal mematuhi prosedur.

"Amaran akan diberikan pada peringkat pertama dan diikuti dengan kompaun sebanyak RM1,000 sekiranya pemilik masih gagal dan jika masih berdegil tindakan lebih tegas akan dikenakan di mana premis perniagaannya akan disita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Tiada ulasan:

Catat Ulasan