Sabtu, 22 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Keluhan rakyat didengar

Posted: 22 Sep 2012 04:22 PM PDT

Bantu kelas pertengahan miliki kediaman sendiri

Nanning, China: Lebih banyak rumah mampu milik berharga kurang daripada RM300,000 akan dibina bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan sederhana antara RM3,000 hingga RM7,000, memiliki rumah sendiri.

Agenda penting
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia kerana kerajaan memahami keluhan rakyat yang tidak mampu memiliki rumah sendiri dan ia menjadi agenda penting untuk membantu golongan berkenaan.

"Kita tahu harga rumah memang tinggi hingga pegawai kerajaan yang baru mula kerja pun tak mampu nak beli. Dalam hal ini, sektor swasta berperanan membantu kerajaan menyediakan rumah mampu milik ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu membentangkan bajet yang akan mengetengahkan perumahan mampu milik, iaitu isu yang dianggap penting bagi penduduk kota dan kesatuan sekerja.

Muhyiddin berkata, strategi paling penting bukan pembinaan rumah tapi rumah mampu milik dan berikutan itu beberapa syarat perlu diberi perhatian termasuk soal tanah.
"Kita kena ambil kira bukan saja soal rumah tetapi juga khidmat sokongan seperti perkhidmatan awam. Itu akan jadi sasaran kerajaan untuk membina projek perumahan awam dan projek swasta. Mungkin swasta akan digalakkan membina rumah sebegini dengan memberi mereka insentif.

"Itu mereka boleh bincang dengan kementerian. Jika mereka tidak boleh meletakkan harga mahal, mereka boleh menjualnya dengan kuantiti yang banyak. Akhirnya mereka mendapat keuntungan," katanya

Selesai isu tapak

Beliau berkata, selalunya isu yang timbul ialah soal tapak kerana ada tanah tapi tak sesuai, tempat tidak berpenghuni dan isu lain yang perlu diselesaikan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Mengenai cadangan PKR itu, Muhyiddin berkata, terpulang kepada rakyat untuk menilai kerana ia hanya gimik politik kononnya bajet pembangkang lebih baik tetapi rakyat mesti faham mereka tidak boleh lakukan banyak perkara.

"Jika benar PKR mahu berbuat demikian mereka boleh melakukannya di negeri pembangkang terutama di Selangor. Namun setakat ini, mereka tidak buat pun.

Tidak bina rumah

"Mereka boleh membina banyak rumah mampu milik di Pulau Pinang dan Selangor tetapi sehingga ini tidak ada pun negeri pembangkang berbuat demikian," katanya.

Mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan, Muhyiddin berkata, kerajaan mengenal pasti kelemahan sistem pendidikan negara selepas lima dekad dan berpendapat ia perlu transformasi selari dengan perkembangan negara maju.

Perbaiki kelemahan sistem

"Soal krisis tidak timbul langsung tetapi soal kualiti. Ini kita sudah kenal pasti sebagai kelemahan dan akan berusaha memperbaikinya. Berikutan itu mana-mana parti politik yang menganggap ia berkurangan, kita pelawa mereka untuk bantu tambah baik. Kalau mereka ikhlas, jangan politik isu pendidikan, kemukakan cadangan," katanya.

Kamera automatik kesan pesalah di lokasi maut

Posted: 22 Sep 2012 04:18 PM PDT

Kuala Lumpur: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mula beroperasi tengah malam tadi di 14 'lokasi maut' bagi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata bagi fasa pertama AES, sebanyak 14 kamera dipasang di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Perak, Selangor,Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Lebih banyak kamera akan dipasang di 817 lokasi dalam fasa kedua yang akan menyaksikan AES dilaksanakan secara menyeluruh.
AES mampu kurang kemalangan

Beliau berkata, pelaksanaan AES adalah tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

"Kamera AES dipasang di kawasan hitam atau lokasi dikenal pasti sebagai lokasi maut yang mencatatkan jumlah kematian tinggi," katanya dalam kenyataan semalam.

Solah berkata, orang ramai boleh menyemak lokasi kamera AES menerusi laman sesawang JPJ di www.jpj.gov.my, dan boleh mengetahui mengenai zon operasi kamera AES melalui papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.
"Dengan mengetahui lokasi kamera AES, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan memandu mengikut undang-undang. Ini dapat mengurangkan jumlah kematian dan objektif kami adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tercapai dan bukan memberikan kuasa lebih besar kepada JPJ mengeluarkan saman," katanya.

Papan tanda lokasi kamera AES yang mengesan had laju dapat dilihat antara jarak dua hingga tiga kilometer sebelum lokasi kamera, manakala kamera yang mengesan pesalah trafik lampu isyarat diletakkan antara 50 hingga 500 meter dari persimpangan lampu isyarat.

Solah berkata, imej yang dirakam kamera AES akan dihantar secara automatik ke pusat kawalan AES dan nombor pendaftaran kenderaan direkodkan pangkalan data JPJ, sebelum saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan