Rabu, 19 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Ngeh tak mahu mohon maaf

Posted: 19 Sep 2012 03:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, tidak akan memohon maaf berhubung kenyataan mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem Innocence of Muslims.

Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu berkata, tidak timbul isu minta maaf kerana beliau hanya melontarkan persoalan kenapa orang Islam harus buang masa dan tenaga membantah tindakan seorang individu.

Tindakan menguris hati
Dalam reaksi serta-merta, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib meminta Ngeh bertanya secara jujur kepada hati kecilnya sama ada tindakannya mengguris hati umat Islam.

"Jika dia rasa bersalah, patut minta maaf... begitulah hidup bermasyarakat. Dia tidak perlu campur tangan dalam urusan agama kita. Kita pun tidak campur tangan dalam hal agamanya. Ini hak kita," katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata sebagai rakan pakatan pembangkang, beliau ingin menasihatkan Koo Ham supaya tidak campur tangan dalam perkara bukan urusannya, apatah lagi yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Dia sepatutnya peka dan tidak wajar membuat kenyataan sedemikian, lebih-lebih lagi dia berada bersama masyarakat Islam.
Sebagai parti politik dan memimpin satu pakatan, mereka patut memahami sensitiviti umat Islam, katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau sudah menjangka Koo Ham akan mengeluarkan kenyataan mempertahankan dirinya.

Isunya ialah beliau mempersoalkan motif umat Islam berdemonstrasi yang dianggap membuang masa dan tenaga, seolah-olah tindakan mempertahankan akidah dan Rasulullah tidak bermanfaat.

Demonstrasi pembangkang

Apakah demonstrasi pembangkang selama ini atas nama memperjuangkan kebebasan bersuara lebih bermanfaat, tetapi bila umat Islam buat untuk mempertahankan agamanya dianggap tidak bermanfaat, katanya.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pula menyifatkan keengganan Koo Ham memohon maaf sebagai keangkuhan dan kebodohan politik seorang pemimpin yang hanya akan menimbulkan kebencian umat Islam terhadap partinya.

Rendah diri

Sebagai ahli politik, dia sepatutnya bersikap rendah diri dengan meminta maaf dan menjelaskan tujuannya yang tidak bermaksud menghina umat Islam.

Kenapa sebelum ini dia mempertahankan hak berhimpun dan rakyat berdemonstrasi, sedangkan soal agama adalah lebih besar.

Mengapa tidak boleh menghormati hak orang Islam untuk menzahirkan bantahan kerana bagi kita, ada benda suci yang tidak boleh dibenarkan sesiapa untuk `menyentuhnya seperti al-Quran dan Nabi, katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin, berkata Koo Ham perlu lebih sensitif berhubung isu agama Islam dan perlu memohon maaf.

Koo Ham dikutuk pelbagai pihak berikutan kenyataan dalam twitternya, Ahad lalu, mempersoalkan sama ada umat Islam membuang masa dan tenaga membantah filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, pula menyifatkan kenyataan Koo Ham sebagai biadap.

Pada saat umat Islam di seluruh dunia marah, terlalu malang seorang pemimpin di negara ini yang mengaku memperjuangkan nasib rakyat berbilang bangsa dan agama, membuat kenyataan sebegitu.

Kenyataannya memperlihatkan betapa pemimpin DAP tidak menghormati agama Islam, katanya.

Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Ali, menggesa Koo Ham segera menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini, serta menyifatkan kenyataannya menggambarkan kejahilan darjah tertinggi pemimpin DAP mengenai Islam.

Kunjungan terakhir Tibeh

Posted: 19 Sep 2012 03:00 PM PDT

Batu Pahat: "Mummy tidak dapat SMS Tibeh ya! Tibeh datang hendak bermanja dengan Mummy," begitulah bunyi mesej terakhir Tee Hui Yee, 18, gadis jantung mekanikal yang meninggal dunia di sini, pagi kelmarin, kepada ibu angkatnya.

Kedatangan secara mengejut

Ibu angkatnya, faridah Sampik, 57, berkata beliau tidak menyangka kedatangan secara mengejut Hui Yee ke rumahnya di Kuala lumpur, kira-kira dua minggu lalu adalah kunjungan terakhir anak angkatnya itu.
Hui Yee dipanggil‚ 'Tibeh' di kalangan ahli keluarganya. Ia berasal daripada perkataan suku kaum Toraja, Sabah, bermaksud buang segala penyakit.

"Tibeh tiba-tiba muncul bersama ibunya di hadapan rumah saya pada 3 September lalu...

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan