Sabtu, 22 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Mutakhir


5,000 berhimpun bantah hina Islam

Posted: 21 Sep 2012 01:58 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kira-kira 5,000 umat Islam berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap usaha menghina agama Islam menerusi filem 'Innocence of Muslims' dan karikatur yang dikeluarkan di Perancis beberapa hari lalu di dua lokasi berbeza di ibu negara, semalam.

Perhimpunan anjuran Pemuda Barisan Nasional dan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan lain diadakan di Masjid Kampung Baru manakala satu lagi kendalian Dewan Pemuda Pas di hadapan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, dekat sini.


Turut berkumpul di Kampung Baru, semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa, Jalur Tiga (Jati), Kelab Putera 1Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang bermula seawal jam 11 pagi dengan diawasi pasukan keselamatan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mengetepikan ideologi politik untuk bersama-sama menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung kecaman demi kecaman terhadap Islam yang semakin ketara kebelakangan ini.


"Kami tidak bermusuh dengan rakyat Perancis mahupun Amerika, sebaliknya bertujuan menentang kebiadaban orang tertentu dari negara berkenaan yang menghina agama Islam," katanya. Beliau mengetuai lebih 1,500 orang yang berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru, di sini selepas selesai solat Jumaat.


bagi menyatakan bantahan terhadap filem itu selain karikatur dikeluarkan Perancis, beberapa hari lalu.

Menurutnya, meskipun berbeza fahaman politik, Pemuda Umno dan Barisan Nasional bersolidariti dengan Dewan Pemuda Pas kali ini bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap penghinaan agama Islam.


"Pemuda tidak bermusuh dengan kerajaan atau rakyat Perancis dan Amerika Syarikat, tetapi mahu mereka hormati agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Himpunan ini turut disertai rakan beragama Kristian, Buddha dan Hindu bagi menyatakan bantahan mereka yang turut mengecam penghinaan agama Islam," katanya selepas perhimpunan itu.

Menurutnya, pengeluar filem dan kartunis itu yang menggunakan kebebasan bersuara bagi menyokong tindakan mereka menghina agama Islam langsung tidak rasional.


Katanya, kebebasan bersuara mempunyai batas dan sifat tanggungjawabnya sekali dan mereka melanggar batas agama dan tanggungjawab mereka terhadap umat Islam sejagat.


Menurutnya, kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam twitternya turut dikecam keras kerana menyatakan himpunan itu membuang masa.


"Kalau Koo Ham kata jangan buang masa, lebih baik kita buang mereka. Tindakan tegas perlu diambil terhadap Koo Ham yang biadap terhadap agama lain," katanya.


Mengulas solidariti antara Pemuda Barisan Nasional dan Dewan Pemuda Pas, Khairy berkata, pada mulanya pihaknya merancang mengadakan himpunan aman secara bersama di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, namun atas nasihat Kementerian Dalam Negeri (KDN), mereka memecahkan himpunan itu kepada dua.


Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, perhimpunan terkawal tanpa insiden mengganggu atau menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.


Menurutnya, beberapa pemimpin parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan peserta demonstrasi berkumpul serta membuat ucapan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat sebelum wakil mereka masuk ke kawasan kedutaan bagi menyerahkan memorandum bantahan.


"Anggaran peserta demonstrasi di hadapan Kedutaan AS adalah 2,800 hingga 3,000 orang dan kebanyakan mereka berkumpul di sini selepas selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, beberapa meter dari lokasi berhimpun.


"Tiada kejadian tidak diingini berlaku, namun terdapat satu insiden membakar objek ketika perhimpunan diadakan dan kami sedang menyiasat sama ada objek dibakar itu kertas atau bendera," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, keadaan perhimpunan di Masjid Kampung Baru juga aman.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/22


Bayi bersisik berkurung dalam rumah

Posted: 21 Sep 2012 01:57 PM PDT

TASEK GELUGOR: Seorang bayi lelaki terpaksa berkurung dalam rumah sejak dilahirkan berikutan penyakit kulit dihidapinya yang menyebabkan dia berasa gatal selain kulit bertukar kemerahan jika terkena cahaya matahari.

Selain itu, kulit Mohd Adam Qayyum Mohd Shahidan, setahun lima bulan juga kelihatan bersisik dan mudah tertanggal jika digaru serta lebih teruk jika terdedah kepada cuaca panas.


Ibunya, Norzalina Ramli, 26, dari Permatang Binjai di sini, berkata berikutan penyakit dihidapi, anak bongsunya itu sering merengek kesakitan apabila kulit pada tubuhnya kering dan menggelupas, malah ada ketikanya berdarah apabila digaru.

Menurutnya, penyakit anak lelakinya itu dikesan sebaik dilahirkan apabila kulitnya kering dan bersisik tidak seperti bayi lain.


"Ketika dilahirkan kulitnya kelihatan kering tidak seperti bayi lain manakala bahagian sendi pada tangan, kaki serta anggota lain kerap berdarah dan perlu disapu pelembap setiap masa.


"Keadaan bertambah teruk jika cuaca panas kerana kulitnya yang kering berpeluh serta menyukarkan pergerakannya menyebabkan saya terpaksa menjaganya setiap masa," katanya ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, Mohd Adam Qayyum menghidap penyakit 'colodium baby' dan doktor pakar menasihatkan keluarganya bersabar kerana penyakit berkenaan agak sukar untuk diubati.


Norzalina yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Mak Mandin, Butterworth berkata, sebagai seorang ibu dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya itu berterusan dan sudah melakukan pelbagai usaha termasuk membawanya berjumpa pengamal perubatan tradisional, namun belum berhasil.

"Saya harap ada pihak tampil membantu mengubati penyakit anak saya sama ada cara moden atau tradisional," katanya.


Katanya, pendapatan suami, Mohd Shahidan Mohd Radzi, 28, sebagai operator kilang hanya sekadar cukup menyara mereka sekeluarga.


Orang ramai yang ingin membantu mengubati penyakit Mohd Adam Qayyum boleh menghubungi Norzalina 012-4387165 atau mengunjungi rumah keluarganya di No 1, Permatang Binjai, Tasek Gelugor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/22


0 ulasan:

Catat Ulasan