Ahad, 30 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


SPNB akan bina 1,850 rumah mampu milik tahun depan

Posted: 30 Sep 2012 03:25 AM PDT

MELAKA: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 1,850 unit rumah mampu milik di seluruh negara pada tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron berkata ia hasil peruntukan RM320 juta yang disalurkan kerajaan melalui SPNB dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lepas.

"Pengumuman itu menunjukkan perdana menteri mendengar keluhan golongan muda dan kumpulan pertengahan yang ingin memiliki kediaman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Kepimpinan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden SBM Mohammed Nazari Othman.

Dalam pembentangan Belanjawan itu, Najib berkata SPNB juga akan membina 21,000 unit rumah Mesra Rakyat untuk tahun 2013 yang berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus.

Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melantik Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai seorang daripada ahli jawatankuasa teknikal di PBT masing-masing supaya kehendak dan keperluan golongan itu tidak diabaikan.

Beliau berkata, PBT perlu menyediakan infrastruktur yang baik kepada OKU terutama dalam sektor perkhidmatan seperti pengangkutan awam, tempat letak kereta dan tandas awam.
Penguatkuasaan dalam sektor perkhidmatan itu juga perlu lebih tegas agar kemudahan yang disediakan tidak dieksploitasi oleh golongan normal, katanya. - BERNAMA

Lebih 100,000 tetamu hadir majlis perkahwinan anak Ketua Menteri Melaka

Posted: 30 Sep 2012 03:09 AM PDT

MELAKA: Lebih 100,000 tetamu hadir pada majlis persandingan anak lelaki Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman di Dewan Tun Ali Bukit Katil di sini, hari ini.

Majlis persandingan Mohd Ridhwan, 26, dan pasangannya Nur Azieha Mohd Ali, 26, yang bermula jam 10 pagi tadi dimeriahkan dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dari seluruh negeri Melaka.

Majlis terbabit dimeriahkan dengan kehadiran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kemudian berkenan menepung tawar pasangan yang mengenakan pakaian berona coklat.
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop serta bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Datuk Seri Abu Zahar Ithinin yang juga datuk kepada pengantin perempuan turut hadir di majlis terbabit.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suami Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa serta pelakon, Dira Abu Zahar.

Siti Nurhaliza turut mendendangkan beberapa buah lagu di majlis berkenaan.

Mohd Ridhwan, anak sulung Ketua Menteri itu selamat diijabkabul bersama pasangannya di rumah Abu Zahar di Merlimau Pasir di sini, Jumaat lalu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan