Khamis, 21 April 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Rosmah puji langkah berani Melaka tubuh Seolah Harapan

Posted: 21 Apr 2011 03:01 AM PDT

Mutakhir

MELAKA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini memuji usaha kerajaan Melaka menubuhkan Sekolah Harapan yang disifatkannya sebagai pendekatan berani.

Beliau berkata, walaupun mendapat bantahan, penubuhan sekolah itu yang dicetuskan Ketua Menteri Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, membuktikan keikhlasan kerajaan negeri membantu remaja yang menghadapi masalah.

"Walaupun kami teruk kena hentam, apa yang mustahaknya, kami ikhlas dan sedia menolong remaja belasan tahun ini yang telah terlanjur dan tersalah langkah," katanya. Berucap ketika melawat Pusat Intervensi Autisme dan merasmikan Kelas Vokasional di pusat itu di sini, Rosmah berkata beliau pernah melawat sekolah seperti Sekolah Harapan di Brussels, Belgium pada Oktober lalu.

Dikenali "Centrum voor Ingrale Gezinszorg" (CIG), pusat itu menempatkan ibu muda yang dihantar oleh mahkamah juvana dan juga ibu bapa.

Rosmah yang dalam lawatan sehari ke sini sebelum itu merasmikan sekolah tersebut yang terletak di Jasin. Sejak beroperasi pada September lalu, Sekolah Harapan telah memberi penempatan kepada 49 remaja hamil.

Mengenai pusat Intervensi Autisme yang di bawah naungan Pertubuhan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Rosmah mencadangkan agar kenak-kanak di pusat tersebut didedahkan dengan pembelajaran dalam bidang muzik.
"Kanak-kanak autisme ini mempunyai bakat dalam bidang muzik, oleh itu dedahkan mereka dengan naluri muzik ini," katanya yang turut mengunjurkan supaya lebih banyak penyelidikan dilakukan mengenai autisme.

Pusat Intervensi Autisme Melaka itu yang diasaskan pada Mac 2000 bermula dengan dua guru dan lima murid kini mempunyai 32 orang murid dengan tujuh guru.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) turut menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM20,000. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Muhyiddin jemput syarikat China terokai pelaburan dalam 131 projek EPP

Posted: 21 Apr 2011 02:50 AM PDT

Mutakhir

SHANGHAI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjemput syarikat China untuk menerokai peluang pelaburan di dalam 131 projek permulaaan (EPP) yang dikenal pasti bernilai AS$138 juta (RM416 juta) di Malaysia.

Katanya, EPP itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh sembilan tahun akan datang yang bermatlamat menerajui Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Saya percaya, antara projek EPP itu, banyak projek yang boleh dilaksanakan oleh syarikat China secara usahasama dengan syarikat Malaysia. Antaranya ialah perkhidmatan perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, elektrik dan elektronik, teknologi hijau, teknologi diperbaharui dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya semasa berucap pada mesyuarat meja bulat dengan ketua industri China di sini, hari ini. Malaysia mengalu-alukan pelaburan China di dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan, khususnya di dalam aktiviti teknologi tinggi, bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan, katanya. Muhyiddin sedang melakukan lawatan rasmi seminggu ke China.

Beliau juga mengetengahkan mengenai persekitaran struktur dan infrastruktur perniagaan industri yang rancak dan maju di Malaysia yang akan terus ditambah baik bagi memastikan Malaysia kekal satu lokasi kompetitif bagi para pelabur asing.

"Sebagai respons terhadap peningkatan minat pelabur China, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang berunding secara aktif dengan syarikat China yang berminat di dalam sektor logam, kimia, pengangkutan, elektronik dan elektrik, automotif dan makanan," katanya.

Beliau memberitahu ketua syarikat China bahawa beliau akan menunggu pertemuan dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao, yang akan melawat Malaysia pada 27 dan 28 April dan akan mengetengahkan perbincangan pada perundingan meja bulat itu.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China dicatatkan meningkat 21.7 peratus daripada AS$36 bilion (RM108 bilion) pada 2009 kepada AS$46 bilion (RM138 bilion) pada 2010.

China terus kekal rakan perdagangan terbesar Malaysia manakala Malaysia adalah rakan perdagangan kelapan terbesar China.

Terdapat lebih 120 syarikat berkepentingan China beroperasi di Malaysia dengan pelaburan modal lebih AS$250 juta (RM754 juta). - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan