Jumaat, 29 April 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Nilai pertama EKUINAS RM483.2j

Posted: 29 Apr 2011 05:50 PM PDT

Nasional

NAJIB  menunjukkan Buku Laporan Tahunan Ekuinas sambil diperhatikan (dari kiri)  Abdul Rahman, Raja Arshad  dan Nor Mohamed (kanan) selepas mengumumkan pencapaian tahun pertama Ekuinas, di Putrajaya, semalam.

NAJIB menunjukkan Buku Laporan Tahunan Ekuinas sambil diperhatikan (dari kiri) Abdul Rahman, Raja Arshad dan Nor Mohamed (kanan) selepas mengumumkan pencapaian tahun pertama Ekuinas, di Putrajaya, semalam.

Peningkatan 1.28 kali ganda pelaburan tingkatkan ekuiti Bumiputera: PM

PUTRAJAYA: Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), syarikat pengurusan dana berkaitan kerajaan, berjaya meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera bagi tahun pertama penubuhannya sebanyak RM483.2 juta, peningkatan 1.28 kali ganda daripada jumlah dilaburkan RM380.6 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peningkatan itu dihasilkan daripada jumlah pelaburan ekuiti yang dilaksanakan EKUINAS serta peningkatan nilai saham yang berjaya dicipta untuk syarikat dan semua pemegang saham Bumiputera dalam syarikat portfolio pelaburannya. Beliau berkata, kejayaan tahun pertama EKUINAS itu membuktikan bahawa keputusan kerajaan untuk menggunakan pendekatan lebih inovatif dan kreatif ke arah melaksanakan dasar afirmatif untuk meningkatkan pembabitan Bumiputera secara saksama membuahkan hasil yang diharapkan.

EKUINAS ditubuhkan pada 2009 sebagai pendekatan baru dan inovatif, bertujuan meningkatkan pembabitan ekonomi Bumiputera menerusi prinsip mesra pasaran, berdasarkan merit dan telus.

"Bagi tahun kewangan 2011, kerajaan difahamkan EKUINAS akan membuat pelaburan sehingga RM600 juta dan seterusnya membantu pelaburan modal sehingga RM1 bilion secara langsung ke dalam ekonomi Malaysia.

"Kerajaan berharap menerusi pelaburan itu akan terus meningkatkan pembabitan Bumiputera dari segi pemilikan ekuiti, pengurusan, peluang pekerjaan dan rantaian bekalan," katanya ketika mengumumkan pencapaian tahun pertama EKUINAS di sini, semalam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengerusi EKUINAS, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pegawai Eksekutif EKUINAS, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Bagi tahun pertama, kerajaan menyalurkan dana permulaan sebanyak RM500 juta kepada EKUINAS sebagai peruntukan awal daripada RM5 bilion seperti yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) Kesembilan dan RMKe-10.

Dalam tahun pertama operasi, EKUINAS membuat pelaburan dalam Alliance Cosmetics Group (ACG), Tanjung Offshore Berhad (TOFF), Konsortium Logistik Berhad (KLB) dan APIIT/UCTI Education Group (APIIT) membabitkan nilai RM482.7 juta.

Dicampur bersama rakan pelaburan EKUINAS, keempat-empat pelaburan itu berjaya menyuntik modal sebanyak RM602.4 juta ke dalam ekonomi, sekali gus memberi kesan positif kepada iklim pelaburan negara.

Najib berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan pelaburan EKUINAS dari semasa ke semasa bagi memastikan pencapaian objektif penubuhannya dari segi kewangan dan sosial.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perkahwinan Diraja Britain meriah

Posted: 29 Apr 2011 05:47 PM PDT

Nasional

Upacara di Westminster Abbey jadi tumpuan dua bilion penonton dunia

LONDON: Putera William dari Britain dan Catherine Middleton selamat melangsungkan perkahwinan mereka di Westminster Abbey semalam dalam satu upacara diraja penuh gilang gemilang yang menarik tumpuan dua bilion penonton di seluruh dunia selain menyuntik kehidupan baru dalam keluarga diraja.

Sebelum melafazkan ikrar, Middleton, 29, 'rakyat biasa' pertama yang berkahwin dengan seorang pewaris takhta sejak 350 tahun lalu, memakai gaun putih dan penutup muka jarang, melangkah perlahan di hadapan 1,900 tetamu sambil diiringi lagu dendangan Charles Parry berjudul, I Was Glad. Ketika kedua-duanya dipertemukan di altar gereja, William, 28, atau nama sebenarnya William Arthur Philip Louis yang memakai seragam tertinggi tentera merah berselempang biru kelihatan berbisik kepadanya, menarik senyuman manis pengantin perempuan pada permulaan upacara.

Ketua paderi Canterbury, Rowan Williams mengesahkan pasangan itu sebagai suami isteri dengan ucapan: "Saya mengisytiharkan mereka sebagai suami isteri."

Beberapa jam sebelum upacara bersejarah itu, William dan Middleton mendapat hadiah perkahwinan diraja daripada Ratu Elizabeth, gelaran Duke dan Duchess of Cambridge.

Istana Buckingham berkata William kini digelar His Royal Highness The Duke of Cambridge manakala Catherine Middleton, akan memakai gelaran Her Royal Highness The Duchess of Cambridge.
Kenyataan istana juga menyebut bahawa William turut dinamakan sebagai Earl of Strathearn dan Baron Carrickfergus manakala Middleton menjadi Countess of Strathearn dan Baroness Carrickfergus.

Sementara itu gaun pengantin Middleton yang menjadi tumpuan spekulasi industri fesyen selama beberapa bulan diperbuat daripada sutera satin berwarna gading dengan renda dan layah panjang rekaan Sarah Burton dari Alexander McQueen.

Beliau memakai tiara yang dipinjamkan Ratu Elizabeth dan cincin pertunangan nilam bertatah berlian yang pernah menjadi milik bonda William, Puteri Diana, yang bercerai daripada Putera Charles pada 1996, setahun sebelum kematiannya dalam satu kemalangan kereta tragik di Paris ketika berusia 36 tahun.

Loceng berbunyi dengan kuat dan tiupan trumpet kedengaran ketika 1,900 tetamu terlebih dulu mengambil tempat di dalam gereja bersejarah itu yang tapak penyatuan untuk keluarga diraja sejak William the Conqueror ditabalkan pada 1066.

Ratu Elizabeth, anggota keluarga diraja lain, pemain bola sepak David Beckham dan isterinya Victoria, penyanyi Elton John dan Perdana Menteri David Cameron adalah antara tetamu yang hadir.

Tidak ketinggalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dari Malaysia, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Puteri Maha Chakri Sirindhorn dari Thailand, Putera Albert II dari Monaco dan tunangnya, Charlene Wittstock serta Puteri Lalla Salma dari Maghribi.

Mereka menyertai 50 ketua negara serta pekerja kebajikan dan veteran perang yang mengenali putera berkenaan sejak beliau menjalani latihan ketenteraannya.

Sementara itu jumlah penonton upacara perkahwinan Putera William dan Kate, seramai dua bilion orang adalah lebih ramai berbanding 750 juta orang ketika perkahwinan ayahanda dan bondanya Putera Charles dan Puteri Diana pada 1981. – Reuters/Agensi

Rakyat Britain rai di Hotel Intercontinental KL

KUALA LUMPUR: Lebih 500 jemputan termasuk rakyat Britain yang menetap di Malaysia meraikan perkahwinan Putera William dan Kate Middleton di Hotel Intercontinental di sini, semalam.

Majlis anjuran Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur itu bermula kira-kira jam 6 petang dengan jemputan menyaksikan siaran langsung majlis perkahwinan pasangan diraja itu disusuli acara memotong kek, persembahan muzik dan tarian serta sesi kebajikan.

Pesuruhjaya Tinggi Britain, Simon Featherstone, berkata perkahwinan William dan Kate dianggap peristiwa sangat menarik kepada United Kingdom (UK).

"Hampir dua bilion orang di seluruh dunia menonton dan meraikan perkahwinan William dan pasangannya, Kate termasuk kami di Malaysia. Ini menunjukkan negara ini dan UK ada banyak persamaan.

"Saya percaya perkahwinan ini mempunyai signifikasi yang mencerminkan nilai kreatif dan moden dinamik Britain," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, kemeriahan perkahwinan diraja itu yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen, turut menarik minat Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Perdana Menteri secara berseloroh memberitahu wartawan sidang media selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini semalam, perlu diadakan secara ringkas.

"Banyak yang minat...ini semua (merujuk kepada beberapa Ahli MT UMNO yang turut hadir pada sidang media itu) teringin sangat nak tengok perkahwinan diraja itu," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan