Ahad, 24 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Peguam syaki polis mahu tahan Raja Petra, dibawa ke Malaysia

Posted: 24 Apr 2011 12:27 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 April — Peguam dan isteri Raja Petra Kamarudin mengesyaki langkah polis Malaysia mahu menemu bual blogger kontroversial itu di premis kedutaan negara di Bangkok kemungkinan bertujuan membawa dia balik ke Malaysia dan menahan semula di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kakitangan Kedutaan Malaysia dan polis Malaysia telah mendampingi Raja Petra di Florida Hotel, Bangkok untuk mendapatkan keterangan beliau malam tadi.

Bagaimanapun urusan itu tidak menjadi sehingga awal hari ini.

Peguam Raja Petra, Haris Ibrahim (gambar) berkata beliau, seorang lagi peguamnya Amarjit Sindhu dan isteri blogger itu Marina Abdullah tidak begitu "senang" untuk melihat dia pergi ke Kedutaan Malaysia untuk diambil keterangan.

Mereka, kata Haris, membuat andaian sedemikian memandangkan pihak polis pernah mengambil keterangan daripada Raja Petra sebelum ini iaitu mengenai akuan bersumpah (SD) ketika ditahan di bawah ISA tiga tahun lalu.

"Amarjit dan saya tidak begitu selesa dengan idea Raja Petra pergi ke kedutaan untuk memberi kenyataan," kata Haris dalam entri blognya hari ini.

"Sementara itu, sebelum majlis dialog bermula (sempena pelancaran semalam), kedua-dua Amarjit dan saya menerima panggilan demi panggilan dan SMS daripada orang ramai dari tanah air mengatakan bahawa sudah ada berita media bahawa RPK akan disoal siasat di kedutaan.

"Ada juga khabar angin bahawa dia sudah ditahan atau akan ditahan," kata Haris lagi.

Kata Haris beliau dan Amarjit juga telah memujuk Raja Petra daripada pergi ke kedutaan memandangkan polis boleh datang ke hotel untuk mengambil kenyataan di mana kedua-dua mereka akan hadir.

"Kami menyuarakan kekhuatiran bahawa kedutaan, di bawah undang-undang antarabanga dianggap sebagai bumi Malaysia, kami bimbang keseluruhan (tujuan) urusan mengambil kenyataan ialah membawa dia ke sana (ke kedutaan), menahan dan kemudian, dengan ataupun tanpa bantuan pihak berkuasa tempatan, membawanya ke Kamunting," katanya lagi.

MENYUSUL LAGI

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mufti Kelantan: Pandangan Harussani, Majlis Fatwa tak canggah

Posted: 23 Apr 2011 10:24 PM PDT

KOTA BARU, 24 April — Tiada percanggahan fatwa antara Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang membolehkan tarian poco-poco dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengharamkan tarian itu, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata, umat Islam harus melihat kedua-dua keputusan itu dari skop yang lebih luas dan menyeluruh sebelum memberi pandangan masing-masing.

"Saya tidak nampak ia wujud percanggahan pendapat berhubung isu itu jika penilaian dibuat secara menyeluruh dan mendalam dari sudut kepentingan kepada pengamal-pengamal senaman itu," katanya dipetik Bernama Online.

Beliau diminta mengulas keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu itu yang memutuskan masyarakat Islam di Malaysia boleh terus mengamalkan tarian poco-poco selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan garis panduan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu 2007.

Mohamad Shukri berkata, isu itu tidak mengelirukan umat Islam jika mereka benar-benar memahami tentang konsep dan tujuan pengamalannya.

"Mana-mana amalan boleh dilakukan umat Islam asalkan ia tidak bertentangan dengan agama Islam dan menyerupai agama lain, dan jika ia hanya melibatkan anggota fizikal untuk kesihatan," katanya.

Beliau berkata penglibatan seseorang dalam apa juga dan menyerupai agama lain dan bertantangan dengan ajaran Islam, adalah haram.

"Tetapi dalam konteks tarian senaman poco-poco ini pada pandangan saya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.

Sebelum ini, timbul keraguan apabila tarian poco-poco yang banyak diamalkan masyarakat di negara ini diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu menghormati keputusan Perak mengharamkan poco-poco di negeri itu Januari lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan