Rabu, 27 April 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Tidak pernah gagal tarik pelaburan

Posted:

Tidak pernah gagal tarik pelaburan

Tidak pernah gagal tarik pelaburan

SEREMBAN 26 April - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas kenyataan pembangkang bahawa kerajaan negeri gagal menarik pelaburan baru, sekali gus menyaksikan pertumbuhan statik.

Kata Mohamad (BN-Rantau), kemasukan pelabur tempatan dan asing ke negeri ini sudah mencatatkan jumlah RM1.29 bilion dan ia bukanlah satu kegagalan.

"Pencapaian ini amat memberangsangkan kerana ia melebihi sasaran kerajaan negeri sebanyak RM1 bilion setiap tahun bagi pelaburan baru," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mohamad yang menjawab soalan lisan Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) memberitahu, kemasukan pelaburan baru sebanyak RM1 bilion setiap tahun sudah cukup untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 6 peratus hingga 6.5 peratus.

"Pelabur dalam sektor lain khususnya pembinaan, perkhidmatan dan industri kecil dan sederhana juga mendapat sambutan yang baik. Dalam tempoh Januari hingga Disember tahun lalu sahaja, jumlah pelaburan yang diluluskan di peringkat pihak berkuasa tempatan adalah RM3.387 bilion dan pelaburan ini dijangka mewujudkan 12,105 peluang pekerjaan," katanya.

Pada masa yang sama, Mohamad memberitahu, sektor utama yang menyumbang kepada nilai pelaburan merupakan sektor pembinaan dan perkhidmatan.

Menjawab soalan lisan Yap Yew Weng (DAP-Nilai) dan soalan bertulis Loke Siew Fook (DAP-Lobak) berkata, di Nilai sahaja sebanyak RM400 juta pelaburan baru telah dibawa masuk melibatkan sektor perkhidmatan dan perkilangan.

"Dijangkakan sebanyak RM500 juta lagi pelaburan sedang menunggu untuk dibawa masuk. Ketika ini 80 peratus merupakan pelabur tempatan dan 11 peratus lagi dari luar negara sedang menyiapkan infrastruktur masing-masing," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UiTM Kampus Bandaraya diarah bina tembok batu

Posted:

UiTM Kampus Bandaraya diarah bina tembok batu

UiTM Kampus Bandaraya diarah bina tembok batu


Gan Tian Loo (kiri) bersama seorang pengawal keselamatan melihat keadaan pagar yang mudah dibolosi penceroboh di asrama Kolej Siswi Tun Mutahir UiTM Bandaraya, Melaka, semalam.


MELAKA 26 April _ Kerajaan negeri mengarahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya merobohkan pagar dawai di bahagian belakang asrama Kolej Siswi Tun Mutahir UiTM di sini dan digantikan dengan tembok batu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata, tindakan itu perlu diambil segera bagi memastikan kejadian asrama wanita di situ diceroboh oleh seorang lelaki tidak berulang.

Menurutnya, pemeriksaan pihaknya di sekitar kawasan kediaman pelajar itu mendapati pagar dawai yang sedia ada tidak selamat dan mudah diceroboh.

''Pagar itu juga tidak tinggi dan mudah bagi penceroboh masuk. Keadaan kawasan persekitaran asrama juga sunyi dari pandangan masyarakat kerana pada bahagian belakangnya tidak ada rumah kediaman lain," katanya kepada pemberita selepas melawat sekitar asrama Kolej Siswi Tun Mutahir UiTM, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya mengadakan pemeriksaan di asrama wanita terbabit ekoran kejadian yang menimpa salah seorang pelajar wanita di situ yang dirogol dan disamun oleh seorang lelaki berusia 22 tahun minggu lalu.

Bagaimanapun, lelaki terbabit dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Kata Tian Loo, kerajaan negeri juga meminta pihak pentadbiran asrama menambah lagi jumlah pengawal keselamatan di samping menyediakan loceng kecemasan jika berlaku kejadian jenayah di sekitar kawasan asrama.

Menurutnya, selain tumpuan keselamatan di asrama Kolej Tun Mutahir, pihaknya juga akan memantau perkembangan yang sama di semua asrama kediaman pelajar di negeri ini.

Sementara itu, seorang pelajar asrama Tun Mutakhir yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 22, berkata, selepas kejadian itu, dia dan rakan yang lain turut trauma.

''Kejadian yang berlaku tetap berlaku, jadi sebagai pencegahan kami hanya mampu memastikan semua pintu sentiasa dikunci rapat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Program perkasa pendidikan Orang Asli

Posted:

Program perkasa pendidikan Orang Asli

Program perkasa pendidikan Orang Asli

SEREMBAN 26 April - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) telah menyediakan program yang komprehensif ke arah memastikan anak-anak Orang Asli mendapat pendidikan secukupnya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, kemudahan yang disediakan itu mencakupi pendidikan peringkat prasekolah hingga ke peringkat tinggi.

"JKOA telah melaksanakan program bantuan dikenali sebagai Skim Bantuan Galakan Pendidikan (SBGP)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Hasim (BN-Labu) yang menjawab soalan Saifulbahri Idris (BN-Chembong) memberitahu, bantuan yang diberikan termasuk tambang pergi balik ke sekolah dan asrama, pakaian seragam, duit poket RM2 sehari dan perihal kebajikan di asrama.

"Kita juga menguruskan bantuan ke institusi pengajian tinggi dan menguruskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," ujarnya.

Selain itu kata Hasim, teknik belajar dan menjawab soalan juga diberikan kepada calon peperiksaan awam.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin soal pendidikan anak Orang Asli dan telah membina beberapa sekolah untuk menempatkan mereka iaitu Sekolah Rendah (SR) Kampung Tekir, Labu; SR Senibai, Johol; SR Sungai Sampo, Jempol dan SR Kampung Putera, Jelebu.

"Daripada empat sekolah ini, tiga kita sediakan asrama untuk mereka iaitu di SR Senibai, SR Sungai Sampo dan SR Kampung Putera," katanya.

Jelasnya, JKOA juga menyediakan kemudahan dan bantuan pendidikan tidak formal kepada anak Orang Asli melalui latihan kemahiran di Pusat GiatMara-JKAO, Damansara Damai, Kuala Lumpur yang menyediakan kursus mekanik kereta, motosikal dan pemanduan jentera.

"Pusat latihan jahitan wanita di Paya Bungor, Maran, Pahang pula dilengkapi tempat tinggal dan kemudahan kewangan untuk mereka," katanya.

Selebihnya, pihak JKOA juga dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah mendirikan 22 tabika di beberapa kampung Orang Asli dengan bilangan pelajar setakat ini seramai 373 orang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan