Rabu, 27 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Seminggu satu filem

Posted:

Seminggu satu filem

Seminggu satu filem

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN



MENGIKUT sejarah, dunia perfileman di Tanah Melayu telah bermula semenjak tahun 1920 apabila beberapa buah filem dokumentari telah diterbitkan. Antaranya seperti dokumentari Malayan Motor Roads (1920), Memories Of Malacca (1921) dan Malay Nights (1931).

Bagaimanapun, kebanyakan pendapat telah bersetuju bahawa Laila Majnun yang dilakonkan oleh pelakon bangsawan seperti M. Suki dan Fatimah Jasmin pada tahun 1933 merupakan filem cereka pertama yang telah dihasilkan di Tanah Melayu.

Diterbitkan oleh S.M. Chisty serta diarahkan oleh B.S. Rajhans, pemilihan pelakon bangsawan telah dibuat memandangkan ketika itu masih belum ada lagi pelakon yang berpengalaman.

Semenjak itu, kegiatan pembikinan filem semakin berkembang dengan pesat terutamanya di Tanah Melayu dengan kemasukan penerbit dari negara China iaitu Shaw Brothers.

Kemudian era perfileman Melayu menuju ke kemuncaknya pada era Jalan Ampas di Singapura. Ketika itu, lahirlah ramai pelakon-pelakon Melayu dan yang paling diingati sudah tentunya seniman agung, allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Biarpun saluran televisyen telah diperkenalkan pada tahun 1963, tetapi penerbitan filem masih lagi giat dihasilkan dan orang ramai masih ke pawagam menonton filem kegemaran mereka memandangkan tidak ramai yang mampu memiliki televisyen ketika itu.

Kini, filem telah menjadi satu industri yang sememangnya mendatangkan keuntungan dan boleh dikatakan ramai pihak kini semakin berlumba-lumba untuk menghasilkan filem.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah menyifatkan era perfileman pada hari ini adalah merupakan generasi yang kelima.

Ujarnya, apa yang dimaksudkan dengan generasi itu ialah perkembangan dunia perfileman di negara ini melalui lima generasi yang berbeza.

"Generasi yang pertama adalah generasi yang mana ramai pengarah luar negara terutamanya dari India seperti B.S Rajhans dan Datuk L.Krishnan yang datang ke Tanah Melayu untuk menghasilkan filem.


SURVIVAL filem Melayu kini sekali lagi bakal teruji dengan pertambahan bilangan naskhah yang dihasilkan pada setiap tahun.


"Kemudian generasi yang kedua pula adalah era di mana lahirnya pengarah tempatan pertama seperti Haji Mahadi dan diikuti dengan P. Ramlee serta pelakon terkenal seperti Nordin Ahmad, Saadiah, Normadiah dan ramai lagi," jelasnya.

Tambah Abu Hassan, generasi ketiga era perfileman Melayu pula adalah apabila pembikinan filem-filem Melayu berpindah dari Studio Jalan Ampas ke Studio Merdeka di Hulu Kelang, Selangor.

Bagaimanapun, ujarnya pada generasi tersebut adalah merupakan zaman kejatuhan dunia perfileman Melayu apabila kebanyakan filem-filem Melayu kurang mendapat sambutan.

Namun, ia bangkit semula di era 80-an apabila munculnya syarikat perfileman seperti Sabah Film Production yang ketika itu banyak menerbitkan filem-filem Melayu.

Jelasnya lagi, generasi keempat pula adalah era di mana kemunculan beberapa pengarah yang mendapat pendidikan formal dalam bidang perfileman seperti Dr. Mahadi J. Murat.

"Untuk generasi keempat ini pula, kebanyakan pengarah yang menghasilkan filem pada masa itu sememangnya arif dan faham tentang filem kerana mereka memiliki kelulusan dalam filem," jelasnya.

Sementara generasi kelima adalah merupakan generasi yang ada pada hari ini yang meneruskan legasi industri perfileman tempatan dengan melakukan banyak pembaharuan dalam pembikinan sesebuah filem.

"Pada generasi ini, antara pengarah yang banyak membuat kelainan menerusi filem-filem yang diarahkan seperti Afdlin Shauki dan Mamat Khalid yang kini antara pengarah yang cukup terkenal dengan idea dan cerita menarik," ujarnya.

Berkembang pesat

Tidak dinafikan, industri perfileman di negara ini semakin rancak dan meriah serta sedang berkembang dengan pesatnya apabila semakin banyak filem yang telah dihasilkan.

Berbanding kira-kira 10 tahun lalu, secara puratanya sebanyak tujuh hingga 10 buah filem sahaja yang dihasilkan dalam tempoh setahun.

Namun begitu, setiap tahun jumlahnya semakin meningkat dan pada tahun ini sahaja berkemungkinan besar para penonton dapat menikmati sehingga 40 buah filem di pawagam.

Lebih menarik lagi, belum pernah lagi berlaku dalam sejarah industri perfileman negara apabila setiap minggu akan ada sebuah filem Melayu baru yang ditayangkan di pawagam serta dijangka ia bakal berterusan sehingga bulan Oktober ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Abu Hassan menjelaskan fenomena yang berlaku itu memberi petanda bahawa industri perfileman tempatan sedang berkembang dengan positif ketika ini.

Menurutnya lagi, ia memberi makna bahawa industri perfileman juga adalah merupakan salah satu industri yang sebenarnya mampu memberi pulangan yang baik.


FILEM peranormal pertama Malaysia, Penunggu Istana mula ditayangkan sejak 21 April lalu.


"Sebelum ini pasaran filem Melayu boleh dikatakan agak kecil, namun dengan terhasilnya banyak filem sekarang menunjukkan pasaran filem Melayu kini semakin luas dan penonton diberi lebih banyak pilihan untuk menonton filem yang dirasakan memenuhi cita rasa masing-masing.

"Bagi merancakkan lagi perkembangan industri ini, maka pihak institusi kewangan seperti bank juga seharusnya memberi lebih kelonggaran dalam memberi pinjaman kepada mana-mana pihak yang mahu menghasilkan filem," jelasnya.

Biarpun merasakan penghasilan filem yang banyak adalah suatu perkara yang positif, tetapi Abu Hassan turut menegaskan kepada para pembikin filem supaya menitikberatkan aspek kualiti ketika menghasilkan sesebuah filem serta menampilkan jalan cerita menarik dan idea yang kreatif.

Ujarnya, penggunaan teknologi terkini sahaja tidak menjamin sesebuah filem itu akan diterima ramai kerana asas filem yang bagus adalah terletak pada jalan cerita dan idea yang menarik.

"Lihat sahaja contoh filem di beberapa buah negara seperti Iran yang tidak menekankan penggunaan teknologi terkini, namun filem mereka tetap berjaya dibawa sehingga ke peringkat antarabangsa," tegasnya.

Inflasi filem

Bagaimanapun, pengarah terkenal Ahmad Idham pula mempunyai pendapat sendiri dengan menyatakan kebanjiran filem-filem tempatan sekarang sebenarnya dilihat sebagai satu keadaan yang cukup berisiko.

Jelasnya, apa yang dirisaukan pada masa ini ialah akan berlaku inflasi dalam industri perfileman iaitu jumlah filem yang dihasilkan melebihi daripada jumlah penonton yang akan menonton di pawagam apabila terlalu banyak filem yang dihasilkan.

"Kuasa pembeli terletak di tangan penonton dan tidak semestinya mereka akan menonton filem baru setiap minggu di pawagam.

"Keadaan ini berpunca apabila kebanyakan filem sering kali mencatat kutipan tinggi, maka semua pihak berlumba-lumba untuk membuat filem. Sehingga ada filem yang dihasilkan tidak mementingkan kualiti.

"Sedangkan orang ramai sekarang sudah bijak menilai dan mereka tentunya mahukan sebuah filem bagus. Jika mereka dihidangkan dengan filem yang tidak berkualiti mungkin minat orang ramai untuk ke pawagam semakin berkurangan dan tentu ia akan memberi kesan kepada filem-filem lain," jelasnya.

Menurutnya lagi, biarlah jumlah filem yang dihasilkan itu sedikit, namun ia adalah filem yang benar-benar berkualiti dan sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh para penonton.

"Dahulu ketika filem yang dihasilkan untuk format VCD mendapat sambutan hangat, semua orang berlumba-lumba mahu menghasilkannya.

"Namun, lama-kelamaan ia tidak lagi mendapat sambutan kerana kualiti serta jalan cerita yang teruk.


AFDLIN SHAUKI


Saya bimbang perkara ini juga boleh berlaku dalam industri perfileman tempatan sekiranya penghasilan sesebuah filem tidak dipantau," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Idham juga tidak menafikan bahawa apabila semakin banyak filem yang ditayangkan di pawagam, jumlah kutipan yang diterima juga tidaklah setinggi seperti yang pernah diraih sebelum ini.

"Rasanya terlalu awal untuk menilai mengenai kutipan tiket berdasarkan kepada situasi yang berlaku sekarang kerana ia akan dapat dilihat dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Cuma sebagai pengarah saya sudah mula merasa kesannya seperti yang berlaku ke atas filem terbaru saya sekarang."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Status Skim Wajib Tayang

Posted:

Status Skim Wajib Tayang

Status Skim Wajib Tayang


FINAS telah diberikan mandat bagi melindungi kepentingan filem-filem tempatan di pawagam.


BERBANDING dengan industri perfileman di luar negara, di Malaysia sebenarnya agak unik sedikit kerana menjadi satu-satunya negara yang telah memperkenalkan peraturan Skim Wajib Tayang pada tahun 2005.

Menerusi peraturan yang dibuat oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, beberapa syarat telah ditetapkan kepada pempamer sebagai langkah agar filem-filem tempatan dapat ditayangkan pada tempoh yang ditetapkan.

Salah satu syarat yang terkandung dalam Skim Wajib Tayangan adalah pempamer diwajibkan menayangkan sesebuah filem tempatan yang telah diluluskan untuk tayangan itu dalam tempoh selama dua minggu atau 14 hari berturut-turut.

Bagaimanapun, apa yang menimbulkan persoalan ramai pihak ketika ini adalah sama ada Skim Wajib Tayang masih lagi berfungsi atau sebaliknya memandangkan kini dalam seminggu hanya sebuah filem dibenarkan ditayangkan di pawagam.

Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini menjelaskan peraturan berkenaan masih tetap terus dikuatkuasakan dalam usaha untuk membantu perkembangan industri perfileman di negara ini.

Menurutnya, memandangkan pada masa ini setiap filem tempatan akan ditayangkan setiap minggu di pawagam, namun ada juga pihak yang keliru termasuklah di kalangan penggiat dalam industri sendiri apabila mereka beranggapan sesebuah filem itu hanya akan bertahan di pawagam selama seminggu sahaja.


FILEM tempatan terbela dengan adanya SKim Wajib Tayang.



"Apa yang ingin saya jelaskan, biarpun akan ada filem baru yang akan ditayangkan di pawagam setiap minggu, namun tempoh yang ditetapkan masih tetap sama seperti yang terkandung dalam Skim Wajib Tayang.

"Misalnya kalau sesebuah filem itu ditayangkan pada 5 Mei ini, ia akan terus kekal sehingga 19 Mei dan filem baru yang ditayangkan pada 12 Mei pula akan terus ditayang sehingga 26 Mei," jelasnya.

Tambah Mahyidin, keputusan untuk menayangkan sebuah filem setiap minggu sebenarnya adalah persetujuan bersama di antara Finas, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (Pemamer).

Ujarnya lagi, di sebalik peraturan yang dikenakan itu, Finas juga turut memberi kelonggaran kepada pihak pempamer. Bagi sesebuah filem yang mendapat kurang 20 peratus penonton selepas seminggu tayangan, pihak pempamer berhak untuk menarik balik tayangan filem tersebut.

Sementara itu, ketika ditanya kenapa tidak ditayangkan dua buah filem secara serentak sahaja bagi setiap dua minggu, Mahyidin menjelaskan ia adalah sesuatu perkara yang agak mustahil untuk dilaksanakan.

"Pada saya langkah sebegitu kurang sesuai kerana akan menyebabkan persaingan sesama filem tempatan dan tentunya penonton akan memilih filem yang kuat dari segi jalan cerita dan promosinya.

"Mungkin sebuah filem itu akan mendapat sambutan hangat, manakala sebuah filem lagi tentunya kurang penonton," ujarnya.

Media baru

Setiausaha Kehormat PFM, Norman Abdul Halim pula menjelaskan, sebagai seorang penerbit pihaknya terpaksa akur dan menerima hakikat dengan lambakan filem-filem tempatan ketika ini.

Bagaimanapun, jelasnya fenomena berkenaan sebenarnya bagus kepada pengguna kerana kini mereka diberi pilihan yang lebih banyak.


STRATEGI utama kejayaan sesebuah filem di pasaran memerlukan kepada promosi pada peringkat awal lagi.


"Jadi sekiranya mahu melariskan sesebuah filem itu, strategi yang paling utama sekali adalah menerusi promosi dan sebagai penerbit tidak seharusnya mempromosikan filem yang dihasilkan pada saat-saat akhir.

"Sekurang-kurangnya sesebuah filem yang dihasilkan itu memerlukan promosi dalam tempoh enam bulan sebelum ia ditayangkan di pawagam," jelasnya.

Menurutnya lagi, memandangkan promosi seperti di televisyen memerlukan kos yang tinggi, terdapat cara lain yang boleh digunakan iaitu dengan menggunakan media baru.

"Sekarang ini sudah ada medium baru yang boleh digunakan iaitu promosi menerusi laman Facebook, Twitter atau pun YouTube.

Trailer filem Hikayat Merong Mahawangsa sebagai contohnya telah dimuat naik ke laman YouTube," jelasnya.

Pada masa yang sama, Norman turut mengingatkan bahawa untuk menghasilkan sesebuah filem janganlah seperti melepaskan batuk di tangga.

Katanya lagi, apa yang dinyatakan itu bukanlah mahu menyekat atau tidak menggalakkan mana-mana pihak untuk menghasilkan filem, tetapi biarlah sesebuah filem yang dihasilkan itu berkualiti.

"Kalau industri perfileman kita dilambakkan dengan filem yang tidak berkualiti, ia akan mengganggu pasaran kerana orang ramai tidak lagi gemar ke pawagam.

"Sudah tentu kerugian yang besar akan dialami oleh ramai pihak terutamanya penerbit dan pemilik pawagam sendiri," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cabaran tangani obesiti di India

Posted:

Cabaran tangani obesiti di India

Cabaran tangani obesiti di India


BEBERAPA pesakit diabetes muda melakukan senaman di sebuah klinik The Fayth di Mumbai.


SURI rumah warga India, Sujata Budarapu terkejut apabila diberitahu kemungkinan besar kedua-dua anak lelakinya menghidap penyakit diabetes peringkat kedua.

"Perkara seperti itu langsung tidak pernah terlintas di fikiran saya. Selama ini, saya banyak mendengar kisah yang sama melibatkan anak-anak orang lain di luar India tetapi, tidak sangka ia akan menimpa keluarga saya sendiri," kata wanita berusia 38 tahun itu.

Kes anak-anak Sujata bukannya sesuatu yang luar biasa, biarpun di sebuah negara yang secara tradisinya sering dikaitkan dengan masalah kekurangan makanan berbanding masalah makan berlebihan.

Dengan populasi penduduk seramai 1.2 billion, India sedaya-upaya memberikan makanan yang mencukupi kepada rakyatnya.

Namun, negara itu kini berhadapan dengan peningkatan kadar obesiti dan diabetes dalam kalangan kanak-kanak khususnya daripada golongan pertengahan yang menikmati faedah ekonomi dalam tempoh sedekad lalu.

"Kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini," kata Dr. Paula Goel dari Klinik Fayth di Mumbai yang mengendalikan program mengurangkan berat badan dalam kalangan warga emas negara itu.

"Punca utamanya mereka kini tidak lagi bermain di padang seperti sebelum ini. Hari ini, kebanyakan mereka lebih gemar melakukan aktiviti-aktiviti santai dan tidak memenatkan sesuai dengan gaya hidup mewah yang dijalani.

"Misalnya, melepak di pusat membeli-belah pada hujung minggu, menikmati makanan ringan. Semua itu menjadi punca kepada peningkatan kadar obesiti."

Pada usia 12 tahun, anak bongsu Sujata, Saiprasad menghabiskan masa selama tiga jam setiap hari menonton televisyen. Berat badannya kini mencecah 66 kilogram (kg), sedangkan dalam usia itu dia seharunya memiliki berat sekitar 52.

Anak lelaki sulungnya, Sairaj, 15, pula mempunyai berat lebih menakutkan iaitu 89 kg, iaitu lebih 30 kg berbanding berat idealnya.

Kedua-dua remaja itu gemar menikmati makanan ringan dan berminyak serta sedang menerima rawatan untuk mengawal kadar gula dalam darah mereka. Mereka telah berkunjung ke klinik Goel bagi mendapatkan rawatan sejak tiga bulan lalu.

Presiden Pusat Penyakit Diabetes, Obesiti dan Kolesterol di New Delhi, Anoop Misra berkata, India mempunyai jumlah penghidap diabetes tertinggi di dunia iaitu seramai 51 juta penduduk.

Bagaimanapun dia memberi amaran, jumlah itu akan terus meningkat sebanyak 150 peratus dalam tempoh 20 tahun yang akan datang.

Peningkatan jumlah kes penyakit itu dalam kalangan penduduk di Asia Selatan adalah disebabkan faktor genetik, termasuk kecenderungan untuk menjadi gemuk.

Faktor sosio dan persekitaran juga dilihat memainkan peranan penting terhadap peningkatan kes-kes diabetes di peringkat kedua.

Keadaan itu berlaku apabila badan manusia tidak lagi mampu menghasilkan insulin seperti biasa, sebahagian besarnya disebabkan peningkatan berat badan dan kurangnya aktiviti fizikal di mana ia sebelum ini sering dikaitkan dengan golongan warga emas.

Kandungan lemak dan gula yang tinggi, kebanjiran restoran-restoran makanan segera di seluruh India, perkhidmatan katering, penduduk miskin yang teruja membelanjakan wang mereka serta ketaksuban terhadap jenama-jenama dari Barat menyumbang kepada krisis itu.


PERUBAHAN gaya hidup moden menyebabkan generasi muda India kini berdepan dengan ancaman kegemukan dan penyakit diabetes serta jantung.


"Masyarakat di seluruh dunia kecuali di India menggemari makanan yang kurang pedas dan berperisa," kata Himank Doshi, seorang pelajar perubatan sambil memasukkan bungkusan makanan untuk dibawa pulang di sebuah gerai di Mumbai's Chowpatty Beach.

"Mereka menyukai makanan rebus dan kaya dengan nutrisi. Bagaimanapun, masyarakat India sebaliknya. Fokus utama mereka ialah ramuan dan rempah yang digunakan pada makan serta rasanya."

Tanggapan sedemikian, ditambah keengganan melakukan aktiviti fizikal disebabkan peningkatan jumlah kenderaan dan kekurangan kawasan terbuka untuk aktiviti riadah, merupakan satu kombinasi yang merbahaya.

Kajian yang dilakukan terhadap lebih 4,000 kanak-kanak di 15 bandar utama negara itu pada Ogos tahun lalu menunjukkan lebih satu pertiga (23 peratus) daripada kanak-kanak yang berusia lima hingga 14 tahun mempunyai berat badan berlebihan, sementara 11 peratus lagi mengalami obesiti.

Kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan mempunyai risiko diabetes di samping serangan penyakit jantung, kemerosotan penglihatan, kegagalan fungsi buah pinggang, tekanan darah tinggi dan peningkatan kadar kolestrol dalam darah.

Ia terbukti apabila sebahagian besar daripada pesakit muda yang dirawat Goel disahkan menghidap kemurungan akibat saiz badan mereka.

Taruhannya agak tinggi, bukan sahaja terhadap tahap kesihatan negara itu. Pada tahun lalu sahaja, India telah membelanjakan kira-kira AS$40 bilion (RM120.8 bilion) untuk merawat diabetes.

Bagi Misra, langkah pencegahan seperti pendidikan kesihatan sehingga klinik mengurangkan berat badan merupakan langkah paling efektif dalam menyelesaikan masalah itu.

"Sekiranya kita dapat mencegah satu kes daripada berlaku, kita berupaya menjimatkan banyak wang daripada merawat pesakit sehingga ke akhir hayatnya," tambahnya.

"Oleh yang demikian, bagi negara yang ekonominya sedang membangun seperti India, ia memerlukan kesedaran 100 peratus untuk mencegah diabetes berbanding merawat melalui pemberian insulin yang mahal."

Sujata mula menyedari, kehidupan moden di India wajar dipersalahkan terhadap apa yang berlaku ke atas anak-anaknya. Baginya perubahan yang berlaku di negara itu tidak semestinya menjanjikan kebaikan.

"Jika kamu lihat generasi terdahulu, kami tidak pernah makan di luar, kami hanya makan masakan yang dimasak di rumah. Hari ini, masing-masing mempunyai banyak wang dan lebih banyak penyakit kerana mereka kerap makan di luar," katanya. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan