Khamis, 21 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Kami sudah melarang’

Posted: 20 Apr 2011 11:17 AM PDT

JOHOR BAHRU: "Pada awalnya, kami menyangka Zaidi bergurau dan bersembunyi di dalam air, tetapi mula bimbang selepas dia tidak timbul," kata Mohd Khairul Ashraf Hasni, 11, rakan kepada Mohd Zaidi Sariffudin, 12, ditemui lemas dalam kolam takungan air berhampiran Bakar Batu di sini, jam 9.22 malam, kelmarin.

Difahamkan, anak pemandu lori berkenaan yang bersekolah di Sekolah Rendah Kampung Bakar Batu di sini itu bermain di kolam berkenaan bersama dua rakannya, Khairul dan Mohd Ihsan Zulkifli, 13, pada jam 4 petang kelmarin.


Operasi mencari mayat mangsa itu dijalankan anggota unit selam skuba Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Khairul berkata, kejadian berlaku dalam tempoh kurang sejam ketika dia dan rakannya bermain sambil mandi di kolam berkenaan. Menurutnya, mereka tidak menyangka keseronokan bermain di kolam yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka mengundang padah.


"Ketika itu, saya dan Zaidi bermain sementara Ihsan naik ke atas dan menunggu kami. Sebaik Zaidi hilang di dalam kolam berkenaan, kami terus berlari ke arah jalan raya meminta bantuan malangnya tiada sesiapa di situ.


"Kami tidak sangka kegembiraan mandi di kolam takungan berakhir tragedi," katanya ketika ditemui dan masih trauma dengan kejadian berkenaan, malam kelmarin.

Sementara itu, kakak mangsa, Nor Amira, 19, berkata, keluarganya terkejut menerima panggilan daripada pihak berkuasa memaklumkan kejadian berkenaan.


Menurutnya, keluarganya pernah melarang anak ketiga daripada enam beradik itu bermain di kolam takungan air berkenaan sebelum ini.

"Pada hari kejadian, adik sulung lelaki turut menasihat dan melarangnya keluar rumah yang terletak di Blok S, Flat Taman Sri Stulang, tetapi adik (Zaidi) berdegil.


"Zaidi langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan apatah lagi dia sememangnya seorang yang periang dan suka bersiar-siar bersama rakan-rakan.


"Dia seperti biasa, tiada sebarang kelakuan ganjil yang dibuatnya," katanya.


Amira berkata, bapanya, Sariffudin Othman, 42 dan ibu, Maznah Md Said, 40, masih bersedih dan terkejut.


"Selepas ini kami semua pasti akan merindui sikapnya yang periang dan gemar menyakat ahli keluarga," katanya.


Jenazah Mohd Zaidi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dagang, Kebun Teh di sini, pagi semalam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tak serik 7 kali diserbu

Posted: 20 Apr 2011 11:14 AM PDT

CHERAS: Walaupun sudah tujuh kali diserbu pihak berkuasa, pemilik sebuah premis menjual cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD) haram bersikap 'kebal' serta masih menjalankan perniagaan.

Bagaimanapun, premis terbabit di Bandar Sri Permaisuri, di sini, diserbu buat kali kelapan oleh Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kuala Lumpur, petang kelmarin.


Serbuan dilakukan kira-kira jam 5 petang itu menemui lebih 1,800 CD dan DVD belum diluluskan Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).

Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Kuala Lumpur, Nor Aziah Abdullah, berkata ketika serbuan, seorang lelaki dipercayai penjaga premis terbabit memasukkan CD dan DVD ke dalam bungkusan untuk dijual.


"Selepas intipan dilakukan, kami menyerbu premis itu. Lelaki terbabit yang terkejut gagal meloloskan diri.


"Hasil pemeriksaan, kami mendapati pemilik premis itu mengubah tempat simpanan CD dan DVD pelbagai tajuk termasuk lucah di bawah kaunter jualan," katanya.

Difahamkan, premis terbabit dikesan tidak mempamerkan papan tanda perniagaan.


Nor Aziah berkata, lelaki berusia 25 tahun dan warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Walaupun sudah tujuh kali diserbu, pemilik premis itu tidak serik dengan terus menjalankan perniagaan terlarang itu," katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan