Sabtu, 23 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Menjejaki warisan Melayu

Posted:

Menjejaki warisan Melayu

Menjejaki warisan Melayu



MENYELUSURI catatan sejarah lama, nama Srivijaya memang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam alam Melayu.

Kehebatannya menakluk kerajaan-kerajaan lain sehingga membentuk sebuah empayar Melayu yang pertama di Gugusan Kepulauan Melayu antara kurun kelapan hingga ke-11 membuktikan ia kerajaan yang sangat hebat ketika itu.

Itu kisah dunia Melayu lama. Kisah yang menjadi pencetus inspirasi kepada sekumpulan anak Melayu tempatan yang bersatu merentas tujuh negara untuk menjejak warisan bangsa yang masih bertapak di tinggalan empayar Srivijaya.

Begerak di bawah payung Majma' Warisan dan Budaya Jawi, program Jejak Warisan Jawi, (JWJ) mempunyai matlamat untuk mengesan dan merungkai salasilah warisan budaya kelompok Melayu di tujuh negara serantau bakal dicapai tidak lama lagi.

"Ekspedisi ini memang sukar, namun ia bukan mustahil untuk dijayakan.

"Kita pernah melakukannya sebelum ini dan kali ini kami yakin, kami akan berjaya," ujar salah seorang anggota ekspedisi JWJ, Zaid Mohammad Mohd. Rais, 37.

Bakal ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar pada 28 Mei hingga 13 Jun ini, JWJ kini giat merapikan segala kelengkapan demi memastikan kembara merentas warisan yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu berjalan lancar.

Miskin

Berkongsi pengalaman tentang ekspedisi sebelum ini, Zaid mengakui beliau tidak meragui kehebatan dunia Melayu pada zaman silam.

"Pengaruh kerajaan Melayu lama sangat kuat dan sehingga kini budaya dan adat resam yang menjadi warisan bangsa masih lagi diamalkan, walaupun mereka tidak lagi diperintah oleh kerajaan Melayu," katanya yang mengembara ke pantai Thailand untuk mengesan jejak masyarakat Melayu bersama rakan-rakannya tahun lalu.

Pertemuannya dengan beberapa kelompok orang Melayu memberikan Zaid pandangan yang sama tentang kelangsungan budaya di bumi asing.

"Mereka berpakaian sama seperti kita. Makan minum juga tidak banyak bezanya.

"Hidup dalam keadaan serba sederhana dan miskin, mereka banyak bergantung kepada kegiatan pertanian seperti getah dan padi. Selain itu, sektor agro pelancongan juga menjadi mata pencarian mereka.


JEJAK Warisan Jawi mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk meneruskan ekspedisi menjejaki komuniti Melayu di bumi asing.


"Sayangnya, segelintir sahaja yang masih boleh bercakap dan memahami bahasa Melayu, itu pun dalam kalangan yang sudah berusia," katanya.

Tidak pergi dengan tangan kosong, Zaid dan 30 lagi rakannya turut membawa pengisian budaya dan agama dengan harapan masyarakat Melayu yang ditemuinya berpeluang mengenali warisan bangsa.

Kompang

"Anggota JWJ menjadi orang serba boleh dalam ekspedisi ini.

"Kami memandu dan menjejaki penempatan mereka secara bergilir-gilir. Tiba di sana, kami akan disambut dan kami turut memberi sambutan balas.

"Kami akan bersilat, berkompang, berzanji, bernazam, menganjurkan bengkel agama selain menghulurkan sedikit sumbangan buat mereka," katanya yang berkesempatan menemui waris dan keluarga wanita legenda Langkawi iaitu Mahsuri ketika melawat Patong yang juga dikenali sebagai Pantai Kemala.

Pertemuan kumpulannya dengan seorang lelaki berusia 80 tahun di Klong Muang, Krabi, menitipkan rasa insaf dalam jiwa lelakinya.

"Ketika kami berkompang dan berzanji, seorang lelaki tua datang kepada kami sambil mengesat air matanya.

"Menurut ceritanya, dia berasal dari Kedah. Apabila melihat kami membuat persembahan, ia mengingatkannya kepada kenangan sewaktu membesar di Kedah.

"Katanya, sejak berpindah ke Klong Muang, itulah kali pertama dia melihat orang bermain kompang," katanya yang sempat bermalam di rumah orang Melayu di sana.

Kitab lama

Pengembaraan JWJ yang bermula di Danok, Satun, Krabi, Pantai Kemala hingga ke Bangkok dan Ayutthaya menemukan mereka dengan pelbagai warisan Melayu yang bumi Gajah Putih itu.


BUDAYA Melayu seperti berkompang antara yang diterapkan setiap kali ekspedisi JWJ berhenti di penempatan komuniti Melayu.


"Di Bangkok, ada Masjid Darul Aman yang usianya sudah beratus-ratus tahun dan masih jelas pengaruh seni bina Melayu pada rekaannya.

"Sempat juga kami menghadiri kenduri tahlil yang dianjurkan sebuah masjid di situ dan upacara yang dilakukan juga sama dengan yang dilakukan di sini.

"Di Bangkok juga, ada Masjid Kosan yang masih bertahan selepas 200 tahun dibina.

"Perjalanan kami diteruskan ke Ayutthaya, kira-kira 70 kilometer dari Bangkok.

"Di sana ada Masjid Takia yang usianya telah mencecah 500 tahun.

"Di situ juga kami menemui beberapa naskhah al-Quran dan kitab lama tulisan tangan disimpan di dalam sebuah kotak yang diletakkan di belakang mimbarnya.

"Di sekitar Ayutthaya juga terdapat banyak candi yang dipercayai bekas masjid berdasarkan teori pembinaannya yang menghadap kiblat," cerita Zaid.

Adrenalin untuk menjejaki warisan Melayu tidak pernah terhenti buat anggota ekspedisi JWJ.

Selepas kejayaan siri pertama, program seumpama diatur dengan kolaborasi dua universiti tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam memantapkan lagi pengisian program berteraskan budaya dan warisan agama ini.

Inisiatif JWJ yang turut disertai golongan profesional, usahawan, peniaga dan penuntut universiti ini perlu dipuji kerana ia merupakan satu-satunya program ekspedisi yang menjejak warisan bangsa di bumi asing.

"Kami mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk menjayakan program ini. Ia bukan bersifat peribadi, sebaliknya ia adalah kembara bangsa yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kita semua.

"Kehidupan tanpa pengekalan budaya dan warisan di bumi asing yang ingin kami kongsikan diharapkan sedikit sebanyak mampu menggetarkan rasa insaf dalam diri kita.

"Jika kita tidak mengekalkan agama, budaya dan adat resam warisan kita, tidak mustahil satu hari nanti, ramai yang tidak akan mengenal silat dan kompang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gajet teman Zuraidah

Posted:

Gajet teman Zuraidah

Gajet teman Zuraidah

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my


SELAIN memudahkan urusan, kata Zuraidah gajet merupakan imej kepada kerjaya seseorang.


PERSONALITINYA begitu mempesonakan. Beliau ramah dengan semua orang bahkan petah berbicara. Penasihat Kehormat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Datuk Zuraidah Atan juga tidak kenal erti lelah dalam melaksanakan tugasnya.

Pada pertemuan dengan Jurnal baru-baru ini, beliau baru sahaja pulang daripada bermesyuarat di Putrajaya. Sehari sebelumnya, beliau menghadiri satu program di Ipoh, Perak.

"Dalam hidup ini, kita memerlukan semangat untuk menjalani aktiviti seharian. Hidup akan kosong tanpanya.

"Bagi mendapatkan semangat, kita perlu mempunyai wawasan dalam setiap pekerjaan yang ingin dilakukan.

"Kita perlu ada rasa untuk bersaing dengan semua orang dan sentiasa ingin melakukan yang terbaik," ujar Zuraidah berfalsafah.

Katanya lagi, setiap anak muda sepatutnya rasa bersalah kerana berhibur atau berehat sedangkan kerja mereka masih tertangguh atau belum dibereskan dengan bersungguh-sungguh.

Perbankan

Zuraidah memulakan karier dalam bidang perbankan pada tahun 1984 walaupun beliau sebenarnya seorang lulusan undang-undang.

Dalam masa lima tahun, beliau dipilih menyandang jawatan Naib Presiden OCBC.

Untuk 10 tahun berikutnya, Zuraidah diberi kepercayaan menerajui bahagian kewangan korporat, pasaran modal dan penstrukturan korporat.

Kemudian, beliau menjawat posisi sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Merchant Bank (kini Affin Investment Bank). Beliau ialah wanita Melayu pertama yang mengetuai sebuah bank di Malaysia.

Selepas berhenti daripada bidang perbankan, Zuraidah kembali menjadi pengamal undang-undang serta melibatkan diri dalam aktiviti amal bersama NCSM.

"Di NCSM, kami mahu menyedarkan masyarakat tentang bahaya penyakit kanser dan perlunya langkah pencegahan awal.

"Terbaru, kami menganjurkan Relay For Life yang akan mengumpulkan semua badan bukan kerajaan dan pesakit kanser yang selamat.

"Program itu diadakan pertama kali pada tahun 2007. Tahun ini ia akan diadakan di tiga lokasi iaitu Melaka, Bangi, Selangor dan Pulau Pinang," tambahnya.


DI NCSM, Zuraidah mahu menyedarkan masyarakat tentang bahaya penyakit kanser.


Menurut Zuraidah, aktiviti tersebut amat memenatkan.

"Namun, perasaan mahu membantu dan menyedarkan masyarakat perihal bahaya kanser menyebabkan kami tetap menganjurkannya.

"Malah, tahun ini kami buat di tiga tempat berbeza pula," kata Zuraidah lagi.

Gajet

Zuraidah ada cara tersendiri untuk menguruskan jadual hariannya yang sentiasa padat.

"Saya menggunakan kalendar di Internet kerana ia dapat diakses menerusi semua gajet pada bila-bila masa," katanya.

Malah beliau ialah penggemar gajet elektronik dan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi itu sejak dahulu lagi.

"Kini saya mempunyai dua buah telefon pintar jenama BlackBerry dan sebuah iPhone selain iPad, Galaxy Tab dan komputer riba.

"Semua itu memudahkan kerja saya. Ia sangat praktikal dengan keadaan saya yang sentiasa sibuk. Selain itu, gajet seperti itu adalah imej kepada kerjaya kita.

"Saya ingat lagi pada tahun 1990-an, saya akan memastikan semua pekerja di bahagian saya menggunakan intranet untuk berinteraksi," ulasnya.

Bagi Zuraidah dalam meniti kejayaan, seseorang itu perlu mengelakkan daripada berkawan dengan beberapa jenis individu walaupun beliau mengakui jaringan hubungan sosial sangat penting.

"Cuba jauhi individu yang sentiasa bersifat negatif dalam semua perkara tanpa menilai apa sumbangannya kepada komuniti dan masyarakatnya.

"Jenis yang kedua pula ialah individu yang selalu membawa anda ke bawah dan tidak membantu untuk maju," kata Zuraidah

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Doktor’ ikut Azrul balik

Posted:

'Doktor' ikut Azrul balik

'Doktor' ikut Azrul balik

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


BEKAS bangunan Hospital Lady Templer tempat Azrul selalu 'cari pasal' pada malam hujung minggu.


INSAN terpilih mungkin satu tafsiran luar biasa bagi jejaka yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Azrul, 27.

Pemilik sisi penuh mistik dalam diri itu punyai kelebihan melihat alam ghaib seawal usianya tiga tahun.

Dalam ingatan yang berbalam-balam, Azrul menceritakan dia melihat dua jasad kecil berpakaian putih memegang sebilah pisau sambil bergaduh.

"Mereka bergaduh di satu kawasan lapang tempat sebuah pondok simpanan padi pernah didirikan. Badan mereka berlumuran darah," getusnya.

Tambahnya, bekas rumah padi pada zaman moyangnya itu pernah dikawal oleh 'penjaga' bagi mengelakkan kecurian.

Saka

Azrul juga mengakui ada ahli keluarganya yang memiliki saka untuk menjaga keselamatan diri, keluarga serta harta.

Namun, kebolehan istimewa Azrul melihat alam ghaib tiada kaitan dengan saka atau amalan karut lain.

"Mungkin rezeki saya dapat melihat makhluk Tuhan di alam lain.

"Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk menuntut ilmu hitam semata-mata untuk melihat mahkluk itu," jelas lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini.

Anugerah itu turut dikongsi adik dan ibu saudaranya, menyebabkan ada antara ahli keluarganya yang lain sering dirasuk.

Menurut Azrul, dia berupaya melihat makhluk halus di mana-mana sahaja namun masjid satu-satunya lokasi yang belum pernah dia terserempak dengan makhluk itu

"Apa rasanya kalau tiba-tiba ada perempuan tumpang kereta kita tanpa diundang?

"Seriau dibuatnya, tapi kalau dah selalu sangat perkara itu berlaku, ia dah jadi biasa pula," tuturnya yang melabelkan dirinya seorang yang penakut.

Pernah juga Azrul melihat penunggang motosikal berketurunan Cina memboncengkan makhluk tanpa kepala di belakangnya selain dia sendiri sering diganggu setiap kali cuba melelapkan mata.

Berbual

Kadangkala interaksinya bersama makhluk itu bukan sekadar melihat.

"Pernah saya terpandang ada wanita berbaring di atas almari pakaian saya sambil tersenyum lebar.

"Tak diduga terpaksa pula saya layan dia berbual sampai ke pagi dan akhirnya dia minta saya bela dia," katanya yang mengakui kerap 'dipancing' makhluk halus untuk dijadikan tuan.

Azrul berkata dia tidak pernah mempelajari teknik melihat dan mengenali makhluk halus.

"Macam-macam rupa makhluk itu, ada yang boleh terbang, merangkak, berjalan, tinggi, pendek, gemuk dan kurus.

"Muka mereka ada seperti manusia tapi yang macam dinosaur pun ada. Cantik, buruk, berbulu, hitam, putih dan macam-macam lagi," ceritanya.

Corak interaksinya dengan makhluk halus juga berbeza.

Ada antaranya yang boleh bercakap seperti perbualan harian manusia tetapi ada juga yang sekadar berbisik. Namun, terdapat juga yang berbicara melalui kata hati.

"Mereka kadangkala boleh berbahasa Melayu, ada juga Mandarin malah bahasa yang tidak kita faham pun ada.

"Mereka akan datang kacau kalau tahu kita boleh nampak mereka, mungkin sekadar menyapa," ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, kata Azrul ada juga makhluk halus yang boleh menegur dan memperbetulkan bacaan ayat suci al-Quran.

Sepanjang hidupnya, Azrul baru sekali dirasuk sehingga tidak sedarkan diri.

"Sebabnya saya suka cari pasal dengan pergi ke Hospital Lady Templer di Cheras ketika saya menuntut di UTM Kuala Lumpur dahulu," bicaranya mengenai peristiwa yang berlaku pada tahun 2003 itu.

Pengsan

Hospital itu pernah digunakan untuk merawat pesakit tibi sebelum ditutup pada tahun 1985. Menurut Azrul, suasana pada waktu malam di hospital itu memang menakutkan.

Katanya, cubaan menduga diri sendiri dan rakan-rakan membuatkan Azrul berani memasuki bangunan tinggal itu selepas pukul 12 tengah malam.

"Sehingga satu peringkat saya melihat seorang lelaki berpakaian seperti seorang doktor berdiri pegun di tepi tingkap tingkat dua sambil memandang keluar.

"Selepas 15 minit perjalanan pulang ke hostel, saya berasa seram sejuk dan tidak dapat mengawal badan sebelum memandang rakan di tempat duduk belakang kereta dan tanya dia 'kau kenal aku?'" ceritanya yang kemudian mengarahkan dua lagi rakannya menghantarnya semula ke hospital tersebut.

Selepas tiba di sana, Azrul tidak sedarkan diri dan hanya sayup-sayup kedengaran suara rakan-rakannya memintanya mengucap kalimah syahadah dan beristighfar.

Kini, kesibukannya menjalani kehidupan membuatkan keupayaan Azrul melihat makhluk halus pudar perlahan-lahan.

Kali terakhir dia melihat makhluk itu adalah pada awal tahun ini. Telahannya, mungkin anugerah istimewa itu sudah sampai ke penghujungnya.

Baginya, kebolehan deria keenam itu membuatkannya semakin yakin bahawa bukan manusia sahaja yang mendiami dunia ini.

"Cuma jangan mudah terpesong dengan pelawaan 'mereka' hingga kita tersesat daripada ajaran Islam sebenar," simpulnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen