Utusan Online - Kota |
- 150 pengunjung zoo masuk percuma
- SPRM sumbang pada masyarakat antarabangsa
- Lelaki tetak bekas pemilik rumah sewa
150 pengunjung zoo masuk percuma Posted: 150 pengunjung zoo masuk percuma
KUALA LUMPUR 4 Jun – Sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, kira-kira 150 pengunjung terawal Zoo Negara yang tarikh lahirnya jatuh sama ada pada 4, 5 atau 6 Jun, diberi peluang memasuki zoo tersebut secara percuma hari ini. Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah berkata, pengunjung atau kakitangan zoo yang tarikh lahirnya jatuh pada hari ini juga diberikan sijil penghargaan dan beg cenderamata. ''Selain itu, pelbagai program diatur hari ini sempena cuti umum termasuk peraduan mewarna untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun manakala pengunjung dewasa pula berpeluang menyertai kuiz haiwan. "Setiap Sabtu dan Ahad memang ada program istimewa di Zoo Negara antaranya kami tempatkan kakitangan untuk berinteraksi dengan pelawat menceritakan tentang haiwan seperti gajah, harimau dan badak air," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program khas sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Zoo Negara di sini hari ini. Menurut Mohamad, pihaknya juga mengalu-alukan orang ramai mengadakan majlis perkahwinan di Zoo Negara bagi mencari kelainan pada hari bersejarah mereka. | ||
SPRM sumbang pada masyarakat antarabangsa Posted: SPRM sumbang pada masyarakat antarabangsaKUALA LUMPUR 4 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat antarabangsa dalam memerangi rasuah terutama dalam bidang latihan dan pembinaan kapasiti. Menyatakan demikian Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata: "Hingga kini, SPRM telah mengendali sejumlah 27 program latihan antarabangsa yang melibatkan 784 peserta dari lebih 50 negara asing". Beliau berucap pada majlis penutupan latihan untuk 14 Pegawai Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bhutan (BACC) di sini hari ini. Kursus asas itu dikendalikan oleh SPRM selama tiga minggu dan berakhir semalam. Abu Kassim mengingatkan para pegawai BACC bahawa walaupun latihan itu tidak segera menjadikan mereka penyiasat luar biasa, tetapi ia telah menyediakan platform untuk menambah baik tugas dan cara-cara inovatif bagi memenuhi tugas dari perspektif undang-undang dan amalan terbaik. Sementara itu, Ketua Pegawai Penyiasat BACC Dorji Thinlay dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh SPRM berkata, melalui latihan itu, mereka belajar mengenal pasti pelbagai jenis sumber, bagaimana menangani sumber, perbezaan antara maklumat dan perisikan dan pelbagai bentuk pengawasan. - BERNAMA | ||
Lelaki tetak bekas pemilik rumah sewa Posted: Lelaki tetak bekas pemilik rumah sewaOleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN KLANG 4 Jun - Seorang lelaki berusia 27 tahun bertindak nekad dengan menetak bekas tuan rumah yang disewanya menggunakan parang di Taman Sentosa di sini semalam. Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan turut melarikan rantai emas milik ibu mangsa. Mangsa yang berusia 21 tahun ditetak ketika menghalang suspek yang bertindak menarik ibunya di belakang rumah mereka. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, keadaan menjadi kelam-kabut apabila mangsa bergelut dengan suspek yang cuba menghampiri ibu mangsa untuk mencederakan wanita itu. Tambah Mohamad, jiran yang terdengar bunyi bising kemudian bergegas menyelamatkan mangsa namun suspek berjaya melarikan diri. "Suspek melarikan diri bersama parang yang digunakannya selepas menyedari tindakannya itu dikesan oleh jiran mangsa. "Setakat ini suspek masih belum dapat dikesan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun," katanya di sini hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan