Ahad, 19 Jun 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Dua beradik maut nahas

Posted: 18 Jun 2011 09:40 AM PDT

BATANG KALI: "Sukar untuk saya menerima hakikat ini," kata Muhd Yusuf Ismail @ Sanadi, 21, selepas mengetahui dua adiknya, Nurfarahanim, 18, dan Mohd Danial, 5, maut dalam kemalangan di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur- Ipoh, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.40 pagi, van dipandu bapanya, Ismail @ Sanadi Othman, 45, bertembung dengan lori muatan barang tiga tan dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan dari Bandar Sungai Buaya, Rawang ke Kampung Sungai Behrang, Perak.


Selain bapa, ibunya, Noraida Abd Rahman, 39, yang sarat hamil anak ke-11 bersama dua adik lain, Norzarie Sopiah, 7, serta Mohd Haikal, 20 bulan, yang turut berada dalam van itu cedera parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Mereka sekeluarga berkumpul di rumah Muhd Yusuf di Bandar Sungai Buaya malam itu sebelum bergegas pulang ke kampung sebelum jam 12 tengah malam.


"Empat puluh lima minit sebelum itu, kami sekeluarga bertemu dalam suasana mesra di rumah saya. Ia (kemalangan) berlaku dengan pantas," katanya.


Muhd Yusuf bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh abang angkatnya, Shahrul Mat Daut, 28, mengenai kemalangan itu.

Sebelum kemalangan, Muhd Yusuf berkata, Nurfarahanim menunjukkan perangai pelik, seolah-olah petanda akhir hayatnya bersama mereka.


"Dia meminjam telefon bimbit saya untuk berbual dengan rakannya lebih 30 minit sehingga habis tambah nilai telefon saya, namun saya tidak ambil kisah mengenainya.

"Dia baru membeli peralatan sekolah di pekan Rawang sebagai persediaan menyambung pelajaran ke tingkatan enam. Kami berbual mesra sebelum mereka pulang (ke kampung)," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, siasatan awal mendapati van mangsa yang datang dari arah Rawang memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh lori terbabit.


Katanya, rempuhan itu mengakibatkan mangsa di tempat duduk belakang tercampak keluar.


"Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke HKKB untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera dikejarkan ke HSB," katanya.


Norel berkata, pemandu lori dikenali sebagai Jamali Mokhtar, 45 tidak cedera.


Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Behrang, jam 1.40 petang semalam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Helah lelaki dua isteri

Posted: 18 Jun 2011 09:39 AM PDT

TUARAN: Seorang lelaki yang dipercayai sudah beristeri dua tetapi masih mahu memadu kasih bersama kekasih gelapnya, dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam operasi khas di hotel bajet di Jalan Berunggis, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, lelaki berusia 29 tahun itu yang bimbang dicekup sempat mengarahkan teman wanitanya berusia 25 tahun melarikan diri dan bersembunyi di dalam kereta sebelum biliknya diserbu.


Sebaik pintu biliknya dibuka, lelaki berkenaan berpura-pura menginap bersendirian selain mencabar penguat kuasa memeriksa biliknya untuk kepastian.

Namun, penguatkuasa yang mengetahui helah pasangan itu kemudian menuju ke kenderaan milik lelaki berkenaan sebelum menahan gadis yang bersembunyi di dalamnya.


Sedar helahnya tidak menjadi, lelaki itu yang meninjau melalui tingkap hotel dan melihat penguat kuasa menahan pasangannya turun ke parkir dan memberitahu mereka sudah berkahwin.


Selepas siasatan lanjut di pejabat JHEAINS, akhirnya pasangan terbabit mengaku tiada ikatan dan belum berkahwin.

Penolong Ketua Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Khamis Jamil berkata, mereka mengaku menginap di dalam bilik kerana kepenatan.


"Walau apa pun alasan diberi, mereka melakukan kesalahan apabila berdua-duaan di dalam bilik. Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997," katanya yang ditemui selepas operasi.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Tuaran dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).


Dalam operasi bermula jam 10 malam, JHEAINS melakukan pemeriksaan di tiga hotel dan satu rumah tumpangan, tetapi tiada tangkapan lain dilakukan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan