Rabu, 8 Jun 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


2 sahabat didakwa edar dadah di Sungai Petani

Posted: 08 Jun 2011 03:01 AM PDT

Mutakhir

SUNGAI PETANI: Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana dituduh mengedar dadah secara berasingan pada 30 Mei lalu.

Ismail Abdullah, 47, dituduh mengedar kanabis seberat 3,150 gram pada 5.30 petang di Lorong Kampung Sungai Batu, Merbok, di sini manakala rakannya, Suzlan Yusoff, 45, pula didakwa mengedar dadah jenis sama seberat 116,110 gram di stor belakang sebuah rumah di Ladang Sungai Batu 1, Bedong, pada 6.15 petang.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniaman, menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sin.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Suzlan menghadapi dua pertuduhan iaitu memiliki sepucuk pistol dan peluru secara haram di sebuah rumah di Ladang Sungai Batu 1, Bedong di sini pada 6.45 petang pada tarikh sama.
Pertuduhan pertama adalah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat 1971), dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua Suzlan didakwa menyimpan 84 butir peluru (52 butir peluru jenis TA 9mm95 dan 32 butir peluru jenis SMB Luger) tanpa kebenaran yang sah di tempat dan masa sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1980, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim Muhammad Khalid Abdul Karim menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit manakala Suzlan tidak diwakili peguam. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Saringan ketat bagi 35,000 rayuan program matrikulasi

Posted: 08 Jun 2011 01:27 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran menjalankan saringan ketat berdasarkan merit ke atas 35,000 rayuan bagi kemasukan ke program matrikulasi sesi 2011/2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi, berkata angka itu adalah amat besar bagi memenuhi tempat yang terhad selain terlalu ramai pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang.

Beliau berkata, saringan berdasar merit itu selain melihat keputusan peperiksaan SPM, turut mengambil kira aktiviti kokurikulum pelajar dan latar belakang keluarga mereka. "Kita persetujui supaya apa-apa pun sebelum perkara ini dibawa kepada umum, mereka perlu dapat penjelasan daripada kementerian supaya jangan timbul persepsi yang negatif seolah-olah pihak kami tidak telus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan majlis taklimat mengenai pengambilan pelajar ke program matrikulasi kementerian itu bagi sesi 2011/2012 kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Puad berkata, hasil taklimat itu wakil parti komponen yang hadir dilihat menerima penjelasan daripada pihak kementerian.

"Kita juga lebih suka lebih banyak pihak maklum tentang cara kita ambil pelajar matrik ini," katanya.
Keputusan rayuan memasuki program matrikulasi diumumkan pada 4 Jun lalu dan pelajar yang berjaya diminta melaporkan diri sebelum akhir minggu ini.

Kementerian menerima 25,000 pelajar dan kuota pengambilan pelajar bagi bukan Bumiputera ditetapkan sebanyak 10 peratus sejak 2003.

"Saya turut berharap wakil parti komponen dapat menyampaikan penjelasan kriteria pemilihan kepada ahli termasuk ibu bapa pelajar berkaitan," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan