Isnin, 6 Jun 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Adenan Satem dilantik Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak

Posted: 06 Jun 2011 02:23 AM PDT

Mutakhir

KUCHING: Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak menjelang rombakan kabinet negeri bulan depan.

Adenan yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, berkata beliau akan bertindak di bawah bidang kuasa Pejabat Ketua Menteri dan kebanyakannya bertanggungjawab mengendalikan isu berkaitan tanah.

"Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, telah memberitahu saya mengenai perkara ini dan saya berterima kasih kepada beliau kerana terus menaruh keyakinan kepada saya untuk menjadi anggota kabinetnya," kata Adenan ketika ditemui di Yayasan Sarawak di sini, hari ini. Terdahulu ahli politik berusia 67 tahun itu mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri di hadapan Yang Dipertua negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana, Petra Jaya di sini.

Susulan kenyataan Taib bahawa peralihan kuasa akan berlangsung dalam masa dua hingga tiga tahun lagi, pelantikan Adenan dijangka menyemarakkan spekulasi yang keputusan itu bagi memberi peluang kepada Adenan memainkan peranan lebih besar dalam kerajaan negeri.

Pada pilihan raya negeri Mei lalu, Taib yang meneraju Sarawak sejak 30 tahun lalu dipetik berkata, beliau sudah mengenal pasti penggantinya, iaitu anak didik yang dibimbingnya sejak 20 tahun lalu.

Ketika ditanya mengenai spekulasi itu, Adenan, bagaimanapun enggan mengulas, sebaliknya berkata, beliau akan mengadakan sidang media kemudian.
Adenan yang mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tanjung Datu dengan majoriti 4,218 undi menewaskan dua pencabar lain pada pilihan raya negeri lepas, berkata pelantikannya sebagai Penasihat Khas sejak 2 April 2010 juga kini mansuh.

Bekas wartawan, peguam dan majistret itu juga tidak pernah kalah di semua kerusi DUN dan parlimen yang ditandinginya sejak 1979.

Selain berpengalaman pada peringkat negeri, Adenan juga pernah menganggotai Kabinet persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari 2004 hingga 2006. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Liverpool berkunjung ke Malaysia bulan depan

Posted: 06 Jun 2011 02:02 AM PDT

Mutakhir

PETALING JAYA: Kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool akan melakukan kunjungan sulung ke Malaysia ketika Jelajah Asia 2011, bulan depan.

Pasukan yang dikenali sebagai 'The Reds' itu dijangka bertemu peminat mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 Julai untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan Malaysia.

"Ini merupakan lawatan pertama kami ke Malaysia dan kami tahu Liverpool FC mempunyai ramai peminat di sini. Setiap individu dalam pasukan kami sangat teruja untuk datang ke sini," kata pengarah urusannya, Ian Ayre di sini, hari ini. Beliau yang berada di ibu negara untuk melancarkan jualan tiket perlawanan persahabatan itu berkata, perlawanan pramusim adalah sangat penting kepada pasukannya dan mereka akan menganggap serius perlawanan persahabatan dengan Malaysia.

"Perlawanan menentang Malaysia akan memainkan peranan besar untuk persediaan kempen 2011/2012. Sesetengah orang berkata perlawanan pra-musim adalah tidak tulen atau tidak terlalu bermakna kepada pasukan besar.

"Di Liverpool FC, kami menganggap perlawanan ini secara serius. Bukan saja kerana ia adalah tempoh penting untuk pemain kami menjadi cergas dan bersedia untuk musim besar tetapi kerana ia merupakan peluang untuk peminat kami bertemu wira-wira mereka," kata Ayre.

Liverpool menamatkan musim 2010/2011 dengan menduduki tangga keenam.
Beliau berkata, hampir suku peminat Liverpool adalah dari dari Asia dan pasukannya teruja untuk kembali menjelajah Asia tahun ini.

The Reds berada di Asia pada tahun 2009 bermain di Singapura dan Thailand.
Selain Malaysia, Liverpool akan berkunjung ke Guangzhou, China dan turut mengadakan perlawanan dengan pasukan Guangdong Sunray Cave pada 13 Julai.

Tiket menentang Malaysia berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 yang boleh ditempah menerusi online di www.ticketpro.com.my sementara Standard Chartered Bank (Malaysia) menawarkan jualan tiket sehingga 9 Jun. - BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Suarez

Harap-harap Lucas tak datang


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan