Rabu, 20 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Wajarkah Hadi disalahkan?

Posted:

Wajarkah Hadi disalahkan?

Wajarkah Hadi disalahkan?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Wan Azizah Wan Ismail serta pemimpin pembangkang lain sewaktu program solat hajat dan pidato khas menangkis fitnah jahat anjuran parti pembangkang di Stadium Malawati, Shah Alam pada 29 Mac lalu.


BERIKUTAN kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Pas dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini, kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden parti itu mula menjadi perbincangan.

Ada penganalisis politik menganggap Abdul Hadi kini adalah liabiliti kepada Pas manakala di dalam Pas sendiri ada bahagian yang mencadangkan agar beliau sekadar menjadi Timbalan Mursyidul Am Pas sahaja.

Pelbagai faktor mereka keluarkan bagi mengukuhkan hujah bahawa Abdul Hadi yang mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor perlu berundur.

Abdul Hadi pada tafsiran mereka sudah tidak layak lagi menjadi orang nombor satu dalam Pas berikutan prestasi buruk parti itu sekarang.

Begitulah tekanan yang diberikan ke atas bekas Menteri Besar Terengganu tersebut apabila Pas tewas di lima kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.

Malahan Abdul Hadi juga dipersalahkan dalam beberapa isu melibatkan Pas dan pihak pembangkang termasuklah kegagalan mereka memenuhi impian 16 September 2008 iaitu perancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.

Mungkin sebagai Presiden, Abdul Hadi perlu mengambil tanggungjawab terhadap apa juga yang berlaku dalam parti berkenaan, tetapi senario di dalam Pas sejak parti itu menjalinkan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga harus diambil kira.

Pas tidak akan berada pada kedudukan sekarang jika mereka tidak menjalinkan kerjasama berkenaan yang dilihat tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada parti tersebut.

Ia kerana bukan sahaja orang luar malahan ahli-ahli Pas sendiri sebahagian besarnya berpendapat parti itu lebih banyak rugi daripada untung.

Pas dipergunakan habis-habisan untuk membantu DAP dan PKR mencapai kejayaan termasuk di Sarawak tetapi mereka sendiri tewas. Kesudahannya yang menikmati keuntungan politik ialah PKR dan DAP, manakala Pas pula terus meratapi kekalahan demi kekalahan.

Semua itu terjadi kerana Pas kini dianggap parti paling tidak konsisten dalam perjuangannya dan dilihat lebih mengutamakan kepentingan politik.

Tetapi adakah Abdul Hadi seorang sahaja harus dipersalahkan? Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin yang dilihat begitu konsisten mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan.

Jangan kita lupa Abdul Hadi merupakan orang yang paling teruk dihentam oleh pemimpin-pemimpin Pas apabila beliau mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Berikutan itu, walaupun cadangan berkenaan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam tetapi ia terpaksa dilupakan kerana penentangan yang diterima. Begitu juga apabila Abdul Hadi menasihatkan pembangkang supaya tidak begitu berangan-angan dalam mencapai impian 16 September.

Ketika itu Abdul Hadi memahami bahawa tindakan menubuhkan kerajaan daripada pintu belakang melalui perbuatan Ahli Parlimen melompat parti adalah tidak betul dan perlu dihalang.

Tetapi pendirian Presiden Pas tersebut telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin tertentu dalam parti itu terutamanya mereka yang termimpi-mimpikan jawatan Kabinet yang dijanjikan oleh Anwar.

Senario ini menunjukkan betapa hebatnya tekanan dalaman yang dihadapi oleh Abdul Hadi dalam menyatakan pendiriannya sebagai Presiden.

Justeru adalah tidak wajar jika apabila sesuatu yang buruk melanda Pas, beliau seorang sahaja hendak dipersalahkan.

Kita perlu faham Pas kini tidak seperti dulu, parti itu sudah banyak diresapi dengan budaya dan corak politik luar berikutan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Terdapat pemimpin-pemimpin tertentu di dalam Pas dilihat lebih menghormati dan menyanjungi Anwar berbanding Abdul Hadi.

Malahan ada antara mereka sudah terpengaruh dengan politik jalanan dan kebencian yang diterapkan oleh PKR.

Pemimpin-pemimpin tersebut sudah tidak lihat lagi asas perjuangan Pas sebaliknya lebih melihat bagaimana hendak berkuasa melalui kerjasama dengan PKR, sebab itulah Pas semakin mengorbankan perjuangan Islamnya.

Kesilapan Abdul Hadi dalam memimpin Pas hanyalah satu iaitu beliau dilihat tidak tegas untuk mempertahankan pendirian atau keputusannya.

Berikutan itu ia memberikan kesempatan kepada kelompok-kelompok tertentu di dalam parti berkenaan untuk melaksanakan agenda politik mereka yang berteraskan kepada berkongsi mimpi bersama Anwar, PKR dan DAP ke Putrajaya.

Angan-angan tersebut telah merosakkan Pas dari dalam dan di luar pula, Pas semakin dipandang serong serta dilihat hanya mengutamakan kuasa politik semata-mata.

Oleh itu apabila pihak yang mengatakan bahawa Abdul Hadi adalah liabiliti Pas, ia satu hujah yang boleh dipersoalkan kerana di dalam Pas bukan hanya beliau sahaja harus dilihat liabiliti.

Bagaimana pula dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilihat sering sahaja mengeluarkan kenyataan kontroversi sehingga bukan sahaja mengelirukan ahli Pas tetapi juga umat Islam.

Kenapa Nik Abdul Aziz tidak mahu dianggap liabiliti? Apakah kerana beliau sering sahaja membuat kenyataan yang dilihat begitu membela apa juga tindakan pemimpin pembangkang lain?

Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin Pas yang sudah dikaburi mata mereka dengan mainan politik Anwar.

Pemimpin-pemimpin inilah sepatutnya dianggap liabiliti kerana menjadi pembela membuta tuli dan menganggap apa sahaja pembangkang lakukan betul sehingga menjejaskan imej mereka di mata rakyat.

Turut boleh dianggap liabiliti kepada Pas ialah pemimpin-pemimpin parti itu yang akan memaki hamun UMNO dan kerajaan sesuka hati apabila berceramah. Perbuatan mereka mencemarkan imej Pas yang dilihat sebuah parti Islam.

Apa pun terserahlah kepada ahli-ahli Pas untuk menilai segala tafsiran dan pandangan pihak tertentu kepada Abdul Hadi.

Tetapi apa yang penting mereka sendiri perlu memikirkan wajarkah Abdul Hadi seorang sahaja yang harus dipersalahkan berikutan kedudukan Pas sekarang.

Mereka tidak harus terpedaya dengan 'mainan politik' secara halus yang mula bergerak menjelang pemilihan parti pada Jun ini.

Di dalam Pas, masih ramai yang bercita-cita tinggi. Tidak kira daripada golongan ulama mahupun profesional, politik tetap politik, selagi bernama orang politik maka setiap tindak tanduk mereka pasti berteraskan naluri serta pemikiran politik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengguna sungai Sarawak dalam bahaya!

Posted:

Pengguna sungai Sarawak dalam bahaya!

Pengguna sungai Sarawak dalam bahaya!

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


BEBERAPA pekerja yang mencari rezeki di pekan Kanowit menaiki bot ekspres untuk kembali ke kampung masing-masing di pedalaman untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 baru-baru ini. - UTUSAN/mohd. zaki amiruddin


DI PESISIR Sungai Baram, Sarawak pada Rabu minggu lepas, pencari-pencari rezeki anak tempatan begitu sibuk meneruskan kehidupan harian di sebuah pekan yang dinamakan Marudi.

Marudi, yang dibuka pada 1880-an dihubungkan dengan jalan tanah merah berlumpur laluan balak memakan masa satu setengah jam dari bandar raya Miri. Jalan perhubungan lain pula menerusi bot ekspres tiga jam perjalanan. Marudi tampak ketara berubah dengan kepesatan pembangunannya.

Di situ terdapat tujuh bank komersial dan premis-premis perniagaan Foochow yang berkembang maju. Pengumuman peruntukan RM60 juta pembinaan jalan raya bertar menghubungkan Marudi-Miri keesokannya pada 14 April itu mencetuskan suasana gegak-gempita pekikan gembira penduduknya. Tambah menarik lagi pengumuman itu didahului pelancaran bot kesihatan 1Malaysia yang membawa doktor-doktor memberi khidmat perubatan buat penduduk tebing sungai.

Penduduk Marudi, sama seperti pekan-pekan kecil Tatau di Bintulu dan Kanowit, Sibu masih bergantung kepada pengangkutan sungai untuk urusan seharian. Bot-bot eskpres dan perahu pancung digunakan untuk membawa anak-anak mendapat pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan.

Pengalaman penulis dan dua rakan, wartawan Sopi Samaile dan jurugambar Mohd. Zaki Amiruddin menyusuri Sungai Baram Khamis lepas cukup menginsafkan kami akan kesempitan yang dilalui penduduk kawasan pedalaman. Dengan pengangkutan air yang masih daif, tidak hairanlah risiko yang tinggi termasuk kehilangan nyawa atau istilah yang tepat 'mati katak' tidak mampu dielakkan.

Terdapat sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Orang Ulu terdiri daripada kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Saban dan Penan dari ratusan rumah panjang dan kampung menetap di sepanjang Sungai Baram.

Kerana ingin menyelami kehidupan penduduk pesisir sungai itulah maka kami bertiga menyusuri Sungai Baram dari pekan Marudi. Berlepas pada pukul 12 tengah hari, kami bertiga disertai kira-kira 20 yang lain menuju ke beberapa destinasi pesisir termasuk Miri.

Setelah lima minit di dalam bot ekspres berlantaikan kayu dan berdindingkan papan itulah kami baru tersedar tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan. Semua penumpang lain termasuk tiga ibu mengendong anak kecil mereka bagaimanapun tidak terbayang kerisauan di wajah masing-masing. Itu kebiasaan bagi mereka. Tetapi tidak bagi kami.

Setelah sejam meninggalkan jeti dengan hujan lebat mencurah-curah membingitkan bumbung bot, tiba-tiba enjin bot terhenti. Bot ekspres berkayu itu tersadai di tengah-tengah sungai dalam arus deras. Titik hujan menerobos lubang-lubang kecil di tempat duduk penumpang.

Beberapa minit kemudian, jurumudi bot cuba membuat panggilan menerusi telefon bimbit untuk mendapatkan bantuan. Malang sekali tidak ada liputan di Sungai Baram. Setengah jam kemudian muncul sebuah kapal tunda balak. Permintaan supaya bot eskpres kami ditolak ke tebing tidak dilayan langsung. Tetapi mujurlah 10 minit yang berlalu, sebuah bot nelayan memenuhi permintaan itu.

Dengan 'kepakaran' mengesan gelombang liputan telefon dari atas bumbung bot, akhirnya sebuah bot ekspres tiba mengeluarkan kami berserta penumpang lain untuk meneruskan perjalanan.

Kemalangan melibatkan bot ekspres dan perahu pancung di Sarawak bukan asing. Dalam insiden pada 7 September 2008, dua bot yang dinaiki sembilan orang karam di Sungai Bidut, Batang Rajang. Insiden itu mengorbankan tiga orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Tucu Eddy.

Tahun lepas pada 18 Oktober, 16 orang maut selepas sebuah bot ekspres merempuh kapal tunda sebelum terbalik dalam kejadian di hulu Sungai Anap, Tatau dekat Bintulu. Bagaimanapun tujuh lagi penumpang terselamat setelah berjaya keluar daripada bot yang sedang karam. Turut terkorban seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

Pengalaman penulis dan dua rakan sesuatu yang tidak dapat dibeli. Tahap keselamatan penduduk yang bergantung hidup kepada bot-bot ekspres dan perahu pancung di Sungai Baram ibarat nyawa di hujung tanduk. Tidak ada jaket keselamatan dengan keadaan bot yang daif.

Kerajaan Negeri Sarawak yang diberi mandat baru memerintah harus berbuat sesuatu. Bertegaslah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen