Ahad, 10 April 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


RM300j menara telekomunikasi

Posted:

RM300j menara telekomunikasi

RM300j menara telekomunikasi

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


Mohd. Sharkar Shamsuddin (duduk) cuba mengakses maklumat selepas perasmian Karnival Komunikasi Teknologi Maklumat peringkat negeri Pahang di Jerantut, semalam.


JERANTUT 10 April – Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk membina menara telekomunikasi di seluruh negeri untuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan jalur lebar kepada penduduk pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, sehingga ini, kira-kira 30 peratus penduduk negeri ini boleh mengakses maklumat menerusi jalur lebar.

Kadar itu, jelas beliau, hampir memenuhi sasaran kerajaan Persekutuan yang menetap 50 peratus penembusan jalur lebar di seluruh negara.

"Pembinaan menara berkenaan bakal memberi kemudahan yang lebih baik dan menyeluruh menerusi jalur lebar berkelajuan tinggi, efisien dan menjimatkan.

"Justeru, kita mahu kemudahan jalur lebar dinikmati oleh setiap penduduk tidak kira di mana mereka berada kerana jaringan perkhidmatan Internet mampu mengubah gaya hidup masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) peringkat negeri di Kampung Kuala Tembeling dekat sini hari ini.

Menurut Mohd. Sharkar, projek menambah bilangan menara telekomunikasi dan menaik taraf pusat jalur lebar komuniti dapat memberi peluang kepada penduduk luar bandar menikmati kemudahan ICT yang selesa dan lebih baik.

"Kemudahan ICT dapat memacu daya fikiran penduduk luar bandar ke arah lebih berkualiti," ujarnya.

Kata beliau, urusan kehidupan penduduk luar bandar akan lebih berkualiti apabila mereka dapat menggunakan medium Internet untuk membayar bil dan menjalankan perniagaan secara atas talian.

"ICT juga dapat mengeratkan hubungan ahli keluarga dan sahabat handai selain merapatkan jurang digital di kalangan pelajar," katanya.

Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang mengingatkan penduduk supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang dipaparkan melalui blog.

''Pembangkang sentiasa menggunakan media baru untuk meracuni pemikiran rakyat sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan," tambahnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Seminar kerjaya peluang pelajar IPT cari kerja

Posted:

Seminar kerjaya peluang pelajar IPT cari kerja

Seminar kerjaya peluang pelajar IPT cari kerja

KUANTAN 10 April - Seminar kerjaya merupakan satu platform kepada para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan penganggur mencari peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh sektor swasta di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali berkata, langkah yang dianjurkan oleh IPT perlu dijadikan landasan kepada golongan itu mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan akademik mereka.

"Seminar tersebut memberi pendedahan tentang maklumat kerjaya, kehendak guna tenaga dan keusahawanan dari sudut pandangan serta keperluan industri," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kerjaya peringkat negeri di Institut Latihan Perindustrian di sini baru-baru ini.

Menurut Syed Mohamad, perkongsian maklumat antara pelajar IPT dengan sektor swasta amat penting memandangkan kebolehan mereka memasuki alam pekerjaan diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Jelasnya, setiap tahun dianggarkan 200,000 daripada keseluruhan 923,000 pelajar di pelbagai peringkat pengajian dan bidang daripada IPT seluruh negara menamatkan pengajian mereka.

Katanya, penganjuran program itu mempunyai impak dalam perkembangan semasa terutama dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai keperluan tenaga kerja.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bakkis bantu mangsa kebakaran

Posted:

Bakkis bantu mangsa kebakaran

Bakkis bantu mangsa kebakaran

KUANTAN 10 April - Nasib malang sekeluarga yang ditimpa musibah akibat rumah mereka musnah dalam kebakaran Rabu lalu, sedikit terubat apabila Badan Kebajikan Kemanusiaan Beserah dan Sungai Karang (Bakkis) menghulurkan bantuan kepada mereka di Kampung Sungai Ular dekat sini semalam.

Bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 dan barangan keperluan harian itu disampaikan oleh Yang Dipertua Bakkis, Wan Azlan Wan Salleh kepada mangsa, Junus Kassim, 47.

Junus ketika ditemui bersyukur dan berterima kasih kepada Bakkis yang prihatin terhadap nasib malang yang menimpanya sekeluarga.

Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku Rabu lalu, isterinya, Norra Mamat, 47, berada di rumah bersama cucu saudara mereka manakala dia ke kedai untuk membeli barangan keperluan dapur.

"Apabila pulang ke rumah, saya lihat rumah dijilat api. Mujur isteri dan cucu saudara sempat menyelamatkan diri dengan bantuan jiran.

"Akibat kejadian itu, kami kerugian kira-kira RM85,000 dan kini hanya menumpang di rumah anak saudara," katanya.

Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, rumah kayu yang didiami Junus bersama isteri serta enam anak mereka berusia antara lapan hingga 25 tahun hangus dijilat api dipercayai akibat litar pintas.

Sementara itu, Wan Azlan berkata, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga malang terbabit.

"Bakkis sentiasa prihatin dengan masalah penduduk sekitar Beserah dan Sungai Karang. Diharap bantuan ini dapat membantu mereka meneruskan kehidupan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedia menghulurkan bantuan kepada orang ramai tanpa mengira kaum dan latar belakang bagi memastikan kebajikan mereka dibela.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan kebajikan supaya menghubungi badan itu di Lot 1247 yang terletak berhadapan Hotel De Rhu Resort, Beserah untuk mendapatkan bantuan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan