Rabu, 20 April 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Kemudahan sukan terbiar

Posted:

Kemudahan sukan terbiar

Kemudahan sukan terbiar

Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusangroup.com.my


KEADAAN gelanggang sepak takraw berhampiran Stadium Jugra di Banting yang terbiar sejak beberapa tahun lalu. - utusan/Rasmi Abdullah


KUALA LANGAT 19 April - Masyarakat sering menuding jari dan meletakkan kesalahan ke atas golongan belia dan remaja apabila mereka terlibat dalam gejala sosial.

Namun, masyarakat kadangkala lupa bahawa golongan itu memerlukan perhatian termasuk kemudahan riadah untuk mengelak daripada terjebak dalam gejala tidak sihat.

Apabila ada kemudahan riadah, usaha untuk menarik golongan itu melakukan aktiviti sihat dilihat lebih mudah dan begitulah sebaliknya.

Apa yang berlaku pada gelanggang sepak takraw berhampiran Stadium Jugra di Banting di sini adalah contoh pembaziran kemudahan riadah, sekali gus membawa kepada kerugian kepada belia di kawasan itu.

Sangat mengecewakan apabila pihak berkuasa dilihat membiarkan sahaja gelanggang sepak takraw itu terbiar sejak beberapa tahun lalu sehingga sudah kelihatan usang.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati gelanggang itu kini dipenuhi dengan daun-daun kering manakala pagarnya sudah rosak dan ada yang hampir menyembah bumi.

Tinjauan juga mendapati, gelanggang itu sebenarnya masih boleh digunakan jika dibersihkan semula dan infrastrukturnya diperbaiki serta tidak memerlukan kos yang tinggi untuk tujuan itu.

Seorang belia, Mohd. Bakri Saiful, 25, berkata, dia kesal melihat keadaan gelanggang itu yang tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pihak berwajib sepatutnya peka dengan masalah itu dan segera membaik pulih gelanggang tersebut supaya boleh dimanfaatkan oleh penduduk sekitar.

"Daerah ini tidak banyak gelanggang seperti ini, jadi sepatutnya gelanggang sedia ada diuruskan dengan betul dan sentiasa diselenggara supaya boleh digunakan pada bila-bila masa," katanya.

Seorang lagi belia, Norisyam Mohammad, 21, berkata, daerah Kuala Langat cukup terkenal kerana berjaya melahirkan jaguh sukan badminton bertaraf dunia melibatkan anak-anak Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar.

"Jadi, tidak mustahil daerah ini juga akan dapat melahirkan pemain-pemain dalam sukan lain termasuk sepak takraw negara sekiranya kemudahan untuk mereka berlatih dapat disediakan.

"Kalau gelanggang ini sudah dibaik pulih, banyak aktiviti riadah dan sukan boleh dianjurkan, sekali gus dalam mengelakkan belia daripada hanya melepak dan kemungkinan terjebak dalam gejala tidak sihat," katanya.

Amirrullah Abdullah, 22, pula berpendapat, sukan sepak takraw memang diminati oleh golongan belia dan mudah dimainkan tetapi tidak banyak kemudahan disediakan manakala gelanggang sedia ada tidak dijaga dengan baik.

"Saya dan rakan-rakan tidak sabar menanti gelanggang itu dibaik pulih tetapi buat masa ini kami terpaksa mencari sukan lain untuk bermain setiap petang," katanya.

Dia berharap, selain pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat kawasan itu lebih peka kepada masalah rakyat seperti itu dan berusaha memperbaiki kemudahan awam yang rosak dengan segera.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen