Isnin, 11 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Helikopter terhempas selepas hantar rombongan TPM

Posted: 11 Apr 2011 12:12 AM PDT

Helikopter Bell Jet milik Sabah Air yang terhempas di Dataran Sibu. — Foto ihsan dari Facebook

SIBU, 11 April — Salah sebuah helikopter yang menghantar rombongan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhempas di Dataran Sibu berhampiran Wisma Sanyan di sini kira-kira 2 petang tadi.

Tiada penumpang dalam helikopter ketika kejadian.

Helikopter milik Sabah Air itu dipercayai terhempas akibat angin kencang.

Menurut Ketua Polis Sibu Shafie Ismail, juruterbang cedera parah dan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan.

Helikopter itu, salah satu daripada tiga helikopter yang digunakan untuk membawa rombongan timbalan perdana menteri, ketika kejadian sedang berlepas untuk menuju lapangan terbang Sibu.

Laporan media juga menyebut helikopter itu terhempas beberapa minit selepas Muhyiddin tiba di lokasi yang sama untuk menghadiri satu majlis di hotel berhampiran.

MENYUSUL LAGI

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sekolah terima notis awalkan peperiksaan, petanda PRU-13?

Posted: 10 Apr 2011 10:45 PM PDT

KUALA LUMPUR, 11 April — Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pertengahan tahun ini dipercepatkan — dipercayai sebahagian persiapan menghadapi hari pengundian kelak.

Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, satu notis kerajaan persekutuan telah diedarkan meminta sekolah agar mempercepatkan peperiksaan supaya pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan telah menerima notis dan peperiksaan mesti diadakan bulan depan dan dewan sekolah pula tidak boleh disewa kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.

Penganalisis dan pemerhati melihat pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai atau pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.

Pengetua sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada sebab yang dinyatakan.

"Tapi notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia tepat," kata pengetua yang enggan namanya didedahkan.

Menurut Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.

Pengundian pilihan raya negeri Sarawak diadakan 16 April ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui BN itu akan berjaya mempertahankan Sarawak namun ramai yang percaya kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri BN akan berkurangan.

Kini, BN Sarawak yang dipimpin Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai 63 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu.

Dalam temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan bulan ini akan digunakan sebagai "ukuran" untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 — sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya.

Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen