Ahad, 10 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Peluang menjalani hidup normal

Posted:

Peluang menjalani hidup normal

Peluang menjalani hidup normal

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my



SEKILAS melihat fizikal Chin Xian Tong, 16, sesiapapun tidak akan menyangka remaja yang memiliki personaliti ceria itu menanggung penderitaan akibat kegagalan kedua-dua buah pinggangnya.

Bukan itu sahaja, pelajar yang sedang menuntut di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Putri tersebut juga rupa-rupanya turut bergelut dengan penyakit jantung yang berpunca daripada masalah buah pinggang yang didiagnosis sejak lebih dua tahun lalu.

Seperti pesakit buah pinggang kronik lain, Xian Tong perlu menjalani rawatan dialisis enam kali seminggu. Rejim rawatan yang diikutinya sejak dua tahun lalu itu ternyata telah menjejaskan kehidupannya akibat sering 'ponteng' sekolah untuk ke hospital setiap hari.

"Saya menjalani rawatan dialisis konvensional selama satu setengah tahun. Selepas setiap kali rawatan, saya akan kepenatan dan tidak dapat hadir ke sekolah dua kali seminggu kerana rawatan diadakan pada waktu siang," katanya yang mempunyai ketinggian 145 sentimeter dan berat hanya kira-kira 30 kilogram.

Bagaimanapun menurut Xian Tong, kehidupannya berubah selepas dia menjadi individu pertama menjalani kaedah rawatan nocturnal haemodialysis (NHD) iaitu dialisis malam yang diperkenalkan oleh Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Kuala Lumpur sejak November lalu.

"Saya datang ke hospital setiap malam dan tidur di sini sepanjang menjalani rawatan dialisis yang mengambil masa selama lapan jam. Keesokan harinya ayah atau nenek saya akan menjemput saya untuk ke sekolah.

"Selepas menjalani rawatan ini juga, keadaan jantung saya bertambah baik dan saya telah mengalami kenaikan berat badan sebanyak lima kilogram," ujarnya.

Tambah Xian Tong, selepas hospital menjadi rumah keduanya, aktiviti menonton televisyen dan membuat kerja rumah dilakukan di dalam bilik wad yang didudukinya kini.

"Ramai rakan-rakan di sekolah tidak tahu bahawa saya menjalani rawatan dialisis di hospital pada waktu malam. Saya kini dapat bersekolah seperti rakan-rakan yang lain tetapi tidak dapat bergiat aktif dalam sukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Nefrologi dan Perkhidmatan Transplan Buah Pinggang PCMC yang menguruskan kes Xian Tong, Dr. Tan Si Yen memberitahu, rawatan yang baru diperkenalkan di Malaysia itu mengambil masa rawatan dua kali ganda berbanding dialisis konvensional.

"Tetapi rawatan ini lebih lembut kepada jantung pesakit. Ia adalah rawatan yang paling sesuai untuk pesakit yang mengalami kedua-dua penyakit buah pinggang dan jantung," katanya pada forum awam sempena Hari Buah Pinggang Sedunia di PCMC baru-baru ini.

Katanya, Xian Tong telah memberikan tindak balas positif selepas menjalani rawatan dialisis itu ke atas kawalan fosfatnya dan tidak lagi memerlukan suntikan Esprex untuk menstabilkan hemoglobinnya.


KEADAAN Xian Tong ketika dirawat di Pusat Perubatan Prince Court.


"Paling penting, dia dapat menjalani kehidupan yang normal dan dapat mengikuti jadual persekolahannya selepas bertukar kepada program rawatan pada waktu malam.

"Dia juga boleh menjalani pembedahan transplan buah pinggang pada masa hadapan. Ketika ini, pembedahan tidak sesuai dijalankan kerana faktor usia dan keadaan jantungnya," jelasnya.

Kebaikan dialisis malam

Si Yen berkata, fokus utama menyediakan rawatan dialisis ialah dengan tidak memberikan tekanan yang banyak ke atas jantung. Justeru, rawatan NHD membuatkan pesakit tidak berasa seperti sedang menjalani dialisis dan akan mendorong pemulihan kesihatan pesakit.

"Semasa rawatan NHD, tekanan darah pesakit lebih stabil dan akan ada lebih kawalan ke atas kadar kreatinin iaitu kompaun yang terdapat pada proses penghasilan tenaga di dalam badan.

"Melalui rawatan NHD juga, pesakit tidak lagi memerlukan ubat untuk mengawal tekanan darah, pengikat fosfat, ubat penurun kadar kolesterol serta dapat mengurangkan pengambilan dos untuk mengekalkan paras hemoglobin mereka," katanya.

Bagaimanapun katanya, kos untuk rawatan NHD lebih tinggi berbanding rawatan dialisis konvensional iaitu sekitar 20 peratus lebih tinggi.

"Tetapi, dalam masa panjang, pesakit dapat menjimatkan kos perubatan kerana mereka tidak lagi memerlukan pengambilan ubat dan suntikan yang banyak seperti rawatan konvensional.

"Lebih banyak wang dapat dijimatkan apabila pesakit tidak perlu lagi menjalani rawatan dengan kerap pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Nefrologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdul Gafor berkata, simptom penyakit buah pinggang kronik sukar dikenali pada peringkat awal jangkitan.

"Pada peringkat kronik, keadaan pesakit akan menjadi tidak menentu. Kadangkala mereka akan berada dalam keadaan stabil dan kadangkala teruk terutamanya mereka yang tidak menjaga pemakanan sehingga menghidapi kencing manis.

"Mereka yang dijangkiti penyakit buah pinggang kronik ini mempunyai risiko 20 kali ganda untuk meninggal dunia akibat diserang sakit jantung berbanding pesakit jantung yang tiada masalah buah pinggang," terang Abdul Halim.

Jelas beliau, rawatan dialisis konvensional akan menyebabkan tekanan ke atas dada pesakit seterusnya menyebabkan tekanan darah merudum. Justeru, ia mungkin menyebabkan serangan jantung dan menyebabkan kematian.

Menurut Halim, untuk mengelakkan serangan penyakit jantung dalam kalangan pesakit buah pinggang, gaya hidup perlu diubah terutama mereka yang mempunyai tabiat merokok dan makan makanan berkolesterol tinggi.

"Penyakit buah pinggang yang masuk ke peringkat terakhir tidak dapat diperbaiki lagi. Oleh itu, gaya hidup yang lebih sihat penting bagi memanjangkan jangka hayat pesakit dan supaya mereka tidak diserang sakit jantung," ujarnya.

Perlu diawasi


IBU BAPA perlu mendapatkan maklumat lengkap tentang kesihatan buah pinggang dan tubuh keseluruhannya demi masa depan keluarga yang lebih baik. – Gambar hiasan


Dalam pada itu, Ketua Jabatan Nefrologi, Institut Nefrologi dan Urologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Ghazali Ahmad Kutty berkata, beliau tidak menggalakkan rawatan dialisis sendiri di rumah.

"Terdapat banyak syarikat yang mengeluarkan mesin dialisis tetapi pesakit perlu diawasi oleh jururawat terlatih supaya tidak menjejaskan kesihatan mereka sepanjang rawatan," pesan Ghazali.

Menurut beliau, walaupun rawatan NHD memerlukan pesakit bermalam di hospital, ia adalah pilihan terbaik kerana selain pemantauan ketat, suasana rawatan adalah paling dekat dengan persekitaran rumah sendiri.

"Pesakit akan disediakan dengan katil dan kelengkapan yang menyerupai persekitaran bilik tidur berbanding rawatan dialisis konvensional.

"Suasana yang selesa akan menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit dan dapat meningkatkan jangka hayat mereka," katanya.

Katanya, melalui rawatan NHD, kelajuan pam darah adalah minimum dan tidak mengambil terlalu banyak cecair daripada badan pesakit.

"Rawatan hemodialisis juga menggunakan volum penapis yang minimum serta menggunakan dialisat yang lebih sejuk," katanya.

Ketua Jabatan Pediatrik Nefrologi, HKL, Dr. Thye Yuen Lin pula memberitahu, terdapat sebanyak kira-kira 150 kes baru daripada sejuta penduduk perlu menjalani rawatan dialisis pada tahun 2009.

"Jumlah pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis pula adalah kira-kira 22,000 orang pada tahun sama," katanya.

Menurut beliau, penyakit buah pinggang kronik jarang menyerang kanak-kanak dan remaja tetapi kira-kira 2.5 peratus pesakit sedia ada kini adalah golongan berkenaan.

"Rekod juga membuktikan penyakit ini boleh wujud sejak kanak-kanak dilahirkan, walaupun jumlahnya terlalu kecil.

"Sekiranya keadaan ini berlaku, kemungkinan untuk hidup adalah tidak melebihi 30 tahun," katanya.

Tambahnya, cara terbaik untuk mengelakkan penyakit buah pinggang dan memanjangkan jangka hayat adalah dengan mengawal diabetes.

"Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Jagalah pemakanan anda untuk buah pinggang dan jantung yang sihat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen