Rabu, 20 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Bukan sekadar memungut wang

Posted:

Bukan sekadar memungut wang

Bukan sekadar memungut wang

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my



JIKA anda sebahagian daripada 21 juta pemilik kenderaan berdaftar di Malaysia, secara tidak langsung anda merupakan penyumbang terbesar pendapatan tol negara. Mengikut satu statistik pada tahun 2008, syarikat Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS Expressways Berhad) sahaja menerima pendapatan berjumlah RM2.2 bilion.

Namun, adakah anda sedar dalam kemewahan yang dipaparkan dari segi angka pendapatan dan jumlah pengguna lebuh raya, pengendalian sistem pengangkutan itu melibatkan pelbagai aspek yang rumit.

Dari aspek penjaga tol hingga membetulkan kerosakan jalan berlopak, semuanya menjadi tanggungjawab sesebuah syarikat pengurusan lebuh raya.

"Mungkin ramai yang lihat tugas kami sebagai sesuatu yang mudah. Kerja kami menjangkaui tugas sekadar mengutip wang sahaja. Malah, kami juga menjadi duta syarikat yang berdepan dengan hampir 300 hingga 400 orang pembayar tol setiap jam!" kata jurutol PLUS, Mohd. Israq Rahman, 28.

Jurutol bertugas lapan jam pada satu-satu syif, tidak termasuk kerja masa tambahan.

Dia yang ditemui di ibu pejabat Persada PLUS di Lebuh Raya Bertingkat Subang, Selangor baru-baru ini juga menyatakan, sungguhpun di sebalik pelbagai ragam dan sikap pembayar, pengalaman kerja itu sebagai sesuatu yang tetap mengujakan.


SALAM, senyum dan sabar menjadi kempen 3S yang dipegang pekerja PLUS.


"Oleh kerana terlibat dalam industri perkhidmatan dan sebagai orang yang selalu berhadapan dengan pelanggan, ia memberikan saya lebih banyak pendedahan. Saya dapat mengembangkan kemahiran perkhidmatan pelanggan dan cara berdepan dengan pelbagai respons yang disampaikan mereka," katanya yang mengakui mereka dilatih dengan motto, customer always right.

Selain kemahiran perkhidmatan pelanggan, Israq juga memberitahu, dirinya selaku jurutol, diberi tanggungjawab oleh syarikat untuk menyimpan sejumlah besar wang kutipan tol.

"Itu satu lagi amanah besar kami di sini. Tetapi jika ditugaskan di bahagian entry iaitu bahagian pemberian tiket, kami tidak perlu menyimpan wang kutipan tol," jelas Israq.

Sebagai jurutol, Israq memberitahu, mereka dididik dengan pelbagai kemahiran yang mengutamakan kesabaran, etika dan amanah.

Tetapi selain itu, penjaga tol juga memerlukan satu lagi kelebihan yang dilihat amat membantu pembayar tol, iaitu pemahaman tentang jalan.

"Mereka kerap kali bertanya mengenai arah tuju sesuatu jalan, memastikan jalan yang mereka gunakan dan bertanya arah ke sesuatu kawasan. Berada di kaunter tol, kita tidak wajar berkata 'tidak tahu' atau 'tidak pasti'.


JURUTOL dilatih bersabar dalam berdepan dengan apa jua ragam pengguna di lebuh raya.


"Kami mempunyai tanggungjawab untuk memberikan arah tuju yang betul secara berhemah," kata-kata Israq jelas menunjukkan kematangannya di PLUS sejak enam tahun lalu.

Banyak bersabar

Bagi jurutol wanita, Nur Aqilah Shahrudin pula, dia menggangap pekerjaan itu amat sesuai bagi kaum Hawa kerana ia banyak memerlukan kesabaran.

"Kita berdepan dengan pelbagai ragam pembayar. Tetapi oleh kerana dilatih melalui Kempen 3S - Salam, Senyum dan Sabar, saya rasa ia bersesuaian dengan wanita," katanya yang turut ditanya tentang masalah gangguan seksual.

Jelas Aqilah yang baru berusia 22 tahun, gangguan seksual memang ada tetapi bukan pada tahap yang membimbangkan.

"Memang ada, sekadar minta keluar bersama, minta nombor telefon atau cuba bersembang sikit. Ada juga yang cuba pegang-pegang tangan pada syif malam. Saya pernah melihat pembayar lelaki yang memandu tanpa baju atau dalam keadaan mabuk.

"Bagaimanapun kita di Malaysia mempunyai pembayar yang berhemah dan tahu adab. Jadi apabila bercakap mengenai masalah gangguan seksual, memanglah kurang dan tidak melampaui batas," katanya.

Walaupun sudah lama bekerja sebagai jurutol, Wan Azura Ngah Saidi, 35, yang bertugas di Plaza Tol Rawang, tidak pernah melihat pekerjaan itu sebagai satu pekerjaan yang membebankan. Dengan pengalaman 16 tahun, iaitu sejak tahun 1994 bersama PLUS, wanita itu percaya pekerjaannya selamat daripada gangguan, terjamin dan menyeronokkan.


AMANAH menjaga wang yang dipungut adalah antara tanggungjawab yang dipikul jurutol.


"Oleh kerana syarikat menjaga kebajikan kami dari segi faedah perubatan dan gaji yang baik, saya berasa ia terjamin untuk keluarga saya. Selain itu, dengan jumlah rakan-rakan yang ramai di sini, saya rasa pekerjaan di sini menyeronokkan. Malahan, pekerjaan ini juga mendekatkan saya dengan orang ramai sehingga ada pembayar tol yang menjadi kawan," katanya yang mengenal beberapa orang pembayar tol yang lazim menggunakan Plaza Tol Rawang.

Sambut Aidilfitri

Ketiga-tiga jurutol yang ditemuramah turut berkongsi satu lagi pengalaman manis saat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kaunter tol. Bagi mereka, halangan balik kampung atas urusan kerja di plaza tol semasa cuti umum itu sama sekali tidak mematahkan semangat mereka terus setia di Plaza Tol.

"Tiada kekecewaan kerana di sini (pejabat PLUS) kami masih menyambut Hari Raya bersama keluarga PLUS. Kami masak di sini dan menyambut bersama-sama dalam suasana yang cukup meriah," kata Azura yang tidak melihat pengalaman itu sebagai sesuatu yang pahit.

"Saya akan meminta isteri bersama anak balik kampung. Kami hanya diberi cuti raya setiap tiga tahun sekali. Jadi dalam tempoh enam tahun ini, saya hanya balik kampung pada Hari Raya sebanyak dua kali sahaja," kata Israq dari Ipoh.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jejak tuhan melalui tatu

Posted:

Jejak tuhan melalui tatu

Jejak tuhan melalui tatu


INDIA kini cuba meningkatkan kualiti perkhidmatan mencacah tatu di negara itu untuk membolehkan ia menjadi salah satu tarikan pelancong.


LELAKI botak yang mengenakan baju T tanpa lengan, berseluar pendek, bersepatu serta memakai anting-anting emas dan dahinya dililit dengan kain berwarna merah nampak tenang di Konvensyen Tatu India yang diadakan baru-baru ini.

Konvensyen yang berlangsung di Mumbai itu adalah julung-julung kali diadakan setelah lebih seabad ditinggalkan. Bertitik-tolak daripada itu, Girish Giridhara selaku penganjur berharap seni tatu itu dapat meraih perhatian dan menimbulkan minat dalam kalangan generasi muda kini.

Lengan Girish sendiri dipenuhi dengan tatu yang bersimbolkan tuhan, semangat dewa dewi termasuk dengan tulisan mantra-mantra suci. Bentuk tatu kerohanian itu bukan mudah untuk dicorakkan, kata Girish kepada AFP.

"Seni tatu di India bukanlah satu trend semasa dalam kalangan selebriti atau pun jaguh-jaguh kriket di negara ini," kata lelaki itu sambil menambah proses mencacah corak atau gambar yang dilukis pada kulit badan telah lama dipisahkan daripada tradisi suku kaum di India.

Beliau menambah, masyarakat moden kini dilihat cenderung melukis corak tatu dengan menggunakan henna atau inai yang bersifat sementara. Upacara itu di India dinamakan mehndi.

Girish yang juga merupakan seorang sami memberitahu, seni tatu telah didokumentasikan dalam kitab suci Veda seperti yang termaktub dalam epik Hindu, The Mahabarahata. Dewa Krishna ujarnya, pernah mencacah tatu kepada pasangannya.

"Ia (seni tatu) telah lama berkembang, tiba-tiba menghilang atas sebab-sebab tertentu dan kini muncul kembali," kata Girish yang menguruskan Studio Tatu Brahma di Bangalore.

Sebuah rancangan TV realiti yang berpangkalan di Los Angeles iaitu LA Ink, sesungguhnya telah mempopularkan kembali seni tatu.

Rancangan itu antara lain memaparkan kisah artis dan pelanggan-pelanggan mereka yang bertatu. Kata Girish, pendekatan stesen TV itu telah sedikit sebanyak membantu mengubah pemikiran masyarakat moden tentang tatu di India.

"Kira-kira lima tahun lalu, orang ramai tak mahu membuat tatu. Dulu mereka memikirkan perbuatan itu hanya dilakukan oleh golongan kelas rendah.

"Bagaimanapun kini, minda masyarakat semakin terbuka dan ini merupakan satu petunjuk yang baik," katanya lagi.

Seiring dengan zaman, reka bentuk dan corak tatu turut mengalami revolusi. Seni tatu negara Barat termasuk Jepun yang sebelum ini popular telah mempengaruhi rekaan tatu di India yang terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan, agama, artistik dan identiti.

Cara dan gaya Girish mencacah tatu juga tidak dilakukan secara konvensional. Dia berasal dari sebuah keluarga pendeta dan belajar di kuil sejak berumur lapan tahun hingga 15 tahun.

Lelaki itu mula jatuh cinta pada seni lukis corak atau gambar pada tubuh badan ketika berusia lapan tahun. Ketika itu, dia menghadiri upacara ritual untuk memberitahu para lelaki terhadap tanggungjawab mereka setelah menjadi lelaki dewasa.

"Pada mulanya, ada banyak halangan daripada keluarga untuk saya menjadi seorang pencacah tatu.


RANCANGAN LA Ink dikatakan telah membantu mempopularkan kembali seni tatu di India.


"Tetapi kami bertanya kepada individu bijak pandai dan mereka memberitahu bahawa kerja-kerja mencacah tatu boleh dijadikan sebagai satu pekerjaan seorang pendeta atau sami sekiranya ia melibatkan bimbingan rohani dan menggunakan ubat.

"Jadi, saya teruskan hasrat saya itu," beritahu Girish.

Meskipun dia tidak mengamalkan konsep memakai pakaian sami yang berwarna kuning, Girish masih mempraktikkan unsur ketuhanan pada seni tatu yang dilakukannya.

Tatu, katanya, haruslah dilakukan melalui keikhlasan jiwa. Tatu juga mempunyai perkaitan dengan alam kematian dan mempunyai hubungan rapat dengan kepercayaan kelahiran semula dalam kalangan penganut Hindu.

Keselamatan mencacah tatu

Sebagai pencacah tatu, Girish menyasarkan untuk mencacah tatu ke atas 10,000 orang. Dia juga berhasrat untuk melukis suku kata suci Hindu iaitu om pada tubuh badan mereka. Om adalah mantra yang paling unggul bagi penganut agama itu.

"Ramai orang tidak mampu menjadi pencacah tatu yang profesional. Itu sebab saya melakukannya. Kini saya sudah ada kira-kira 1,000 pelanggan," katanya.

Dalam melakukan kerja-kerja itu, Girish mengambil kesempatan untuk memberitahu orang ramai tentang bahaya mendapatkan khidmat pencacah tatu yang murah. Biasanya orang sebegini menggunakan material yang tidak bersih. Lebih teruk, mereka tidak terlatih.

"Ia sangat berbahaya, mereka boleh menularkan penyakit kulit, HIV dan hepatitis. Proses untuk membuatnya memerlukan pengetahuan," pesan lelaki ini.

Konvensyen yang diadakan itu juga antara lain mahu meningkatkan kesedaran tentang cara mendapatkan khidmat pencacah tatu yang selamat.

Selain itu, penganjur juga mahu menyebarkan maklumat kepada dunia tentang kehebatan India yang mempunyai profil seniman negara yang paling berbakat.

Pengelola bersama konvensyen itu, Shibhanii Shah, 25, memberitahu , terdapat lebih kurang 10,000 pencacah tatu di India.

Namun, kata beliau yang juga seorang jurufoto : "Sayangnya, kami tidak mempunyai peraturan jelas tentang kebersihan melakukan proses itu dan ia cukup mengecewakan.

"India perlu ada semua itu, kita mahu menjadi medan dan lokasi terbaik untuk pelancong datang untuk membuat tatu. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan