Khamis, 7 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Tiga Michael di hati Vettel

Posted:

Tiga Michael di hati Vettel

Tiga Michael di hati Vettel

ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my



FILEM lakonan, Roberto Benigni, Life Is Beautiful yang pernah memenangi Anugerah Academy Filem Bahasa Asing Terbaik pada tahun 1999 berjaya membuatkan lelaki bernama Sebastian Vettel menitiskan air mata.

Pemuda berusia 24 tahun itu bukan seorang lelaki yang mudah mengalirkan air mata apabila menonton filem sedih tetapi, lakonan mantap pelakon Itali dalam filem tersebut meluluhkan hati juara dunia termuda dalam sejarah Formula Satu (F1) itu.

Juara kelahiran Heppenheim, Jerman itu berkata, terdapat satu filem yang membuatkan hatinya berasa sebak iaitu Life Is Beautiful tetapi, dia jarang sekali menangis baik dalam momen gembira (terharu) mahupun bersedih.

Mengimbas kembali kejayaan merangkul kejuaraan dunia di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada tahun lalu, Vettel mengakui berasa malu, apabila tanpa disedari momen paling indah dalam hidupnya membuatkan dia sekali lagi menumpahkan air mata jantannya.

Walaupun bergelar juara dunia, Vettel mempunyai sifat yang lebih terbuka dan penuh emosi dalam karakter peribadinya.

Semasa dimaklumkan dia berjaya merangkul kejayaan melalui radio dua hala, Vettel menangis sambil mengucapkan, 'Saya sayang kamu semua' kepada pasukannya di pit sambil tersedu-sedu.

Vettel mengakui terdapat banyak perubahan yang mengejutkannya apabila bergelar juara dunia.

"Sebagai contoh, apabila saya kembali ke Jerman terdapat lebih 10,000 orang bersorak dan menanti kepulangan saya. Saya juga dapat melakukan persembahan di Berlin. Ini semua anda tidak dapat melakukan setiap hari.

"Ia merupakan satu penghormatan dan saya sangat gembira untuk melakukannya," kata Vettel.

Dalam pada itu, mekanik Vettel, Ole Schack memberitahu, pelumba kelahiran Jerman itu merupakan seorang yang bersifat realistik dan tidak lupa diri.

"Saya masih ingat semasa pasukan terbang ke Bahrain, apabila kami mendarat dia telah mengangkat beg dan menyusunnya untuk kami.

"Itu adalah cara memastikan pasukan sentiasa bersatu padu," ujarnya yang menggambarkan Vettel seorang anak muda yang merendah diri.

Rekod F1 Vettel


RATUSAN media tidak mahu ketinggalan merakamkan jentera baru Red Bull Racing.


Membesar di Jerman, Vettel menambah, dia mempunyai tiga idola semasa zaman kanak-kanak iaitu Michael Jackson, Michael Jordan dan Michael Schumacher.

Katanya, disebabkan tidak boleh menyanyi atau pun membuat jaringan bola keranjang membuatkannya mengambil keputusan mengikut jejak langkah Schumacher sekali gus berkecimpung dalam dunia permotoran.

Vettel yang hanya berkecimpung selama hampir lima tahun dalam dunia pemotoran tercanggih dunia itu merupakan bakat muda luar biasa apabila melakar semula pelbagai sejarah F1.

Lipatan sejarah pemandu Jerman itu bermula ketika berusia 19 tahun dan 53 hari apabila menjadi pemandu termuda F1 dalam perlumbaan Formula Satu Grand Prix, di Istanbul Park, Istanbul, Turki pada tahun 2006.

Dia juga berjaya menempatkan diri sebagai pelumba paling muda memperoleh mata dalam perlumbaan F1 di Indianapolis, Amerika Syarikat apabila menduduki tangga kelapan pada tahun 2007 ketika berusia 19 tahun 349 hari.

Pada perlumbaan di Fuji Speedway, Oyama, Shizuoka, Jepun pada tahun 2007, Vettel sekali lagi merubah sejarah F1 apabila menjadi pelumba termuda memimpin perlumbaan ketika berusia 20 tahun, 89 hari.

Tatkala usia mencecah 21 dan 72 hari, Vettel memecah rekod apabila menjadi pelumba termuda menduduki kedudukan pertama dalam sesi latihan di Monza, Itali. Lebih membanggakan, sehari selepas itu dia berjaya menaiki podium menjuarai perlumbaan tersebut.

Pada tahun 2010, Vettel yang berusia 23 dan 134 hari telah melakar sejarah tersendiri dalam 61 tahun sejarah permotoran tersebut apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Formula Satu.

Lebih manis lagi, kerjaya Vettel dalam dunia permotoran bermula seawal usia tiga tahun lagi apabila bapanya Norbert Vettel memberi go-kart 60cc kepadanya.

"Seppi (nama panggilan Vettel dalam kalangan keluarga) mula memandu secara bulatan di halaman rumah malah, kami telah membina litar menggunakan tayar," kata pembikin perabot itu.

Bagi memberi cabaran kepada anaknya, Norbert telah menuang air di litar lumba berkenaan.


VETTEL akan beraksi di Litar Sepang untuk mempertahankan kejuaraan Grand Prix F1 Malaysia minggu ini.


"Apa yang penting, kami hanya ingin menjauhkan anak dari jalan raya," ujarnya yang pernah berlumba Golf GTI.

Pada tahun 1995, Vettel berjaya menarik perhatian pencari bakat Gerhard Noack yang merupakan orang bertanggungjawab menemui legenda F1 Schumacher."Pertama, dia mengetahui cara mengemudi go-kart. Kedua dia sangat pantas dan ketiga dia merupakan kanak-kanak peramah yang selalu mengucapkan terima kasih.

"Dia merupakan orang pertama yang akan sampai dan terakhir pulang semasa sesi latihan. Malah, dia selalu ingin mengetahui secara terperinci mengenai aspek teknikal dan akan memberikan informasi terbaik tentang penambahbaikan," kata Noack.

Ia merupakan ciri-ciri penting dalam potensi pembikinan seorang juara dunia.

"Saya melihat perkara yang sama pada Schumacher stamina, semangat juang, maruah dan sentiasa ingin menjadi terbaik," katanya lagi.

Ramalan Moss

Sementara itu, Legenda F1, Sir Stirling Moss percaya gandingan Vettel dan pereka jentera Red Bull Racing, Adrian Newey tidak akan memberi peluang kepada pasukan lain dalam perlumbaan F1 pada musim ini.

Dia telah menyaksikan penguasaan jentera Red Bull Racing meninggalkan pesaing lain dalam perlumbaan pembukaan musim ini di Australia.

"Vettel memandu seumpama Newey mereka jentera F1. Dia mempunyai kebolehan luar biasa dan jika digandingkan bersama siapa yang mempunyai peluang?"

Newey merupakan satu-satunya pereka F1 yang mereka cipta jentera kejuaraan F1 bersama tiga pasukan berbeza iaitu Williams, McLaren and Red Bull.

Mampukah gandingan mantap itu melakar sejarah terbaru bagi Vettel pada musim 2011?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen