Isnin, 11 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


RM5,000 lesap bahana e-mel

Posted: 10 Apr 2011 10:17 AM PDT

KLANG: Gara-gara percaya e-mel yang mengatakan akaunnya di sebuah bank bakal dibekukan, seorang wanita berputih mata apabila wang simpanan RM5,000 dipindahkan ke akaun lain tanpa pengetahuannya.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 29, berkata dia menyedari wang dipindahkan ke akaun lain apabila menerima SMS pengesahan daripada pihak bank.


Dia yang cemas membuat laporan polis serta menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan bank berkenaan untuk membuat pengesahan sama ada wang dalam akuannya dipindahkan ke akaun lain.

Ayu berkata, sebelum kejadian dia menerima e-mel daripada pihak yang mengaku wakil bank berkenaan dan memintanya mengemas kini maklumat peribadi supaya akaun simpanannya tidak dibekukan.


"Khuatir perkara itu, saya membuka pautan yang terdapat dalam e-mel terbabit dan memasukkan alamat e-mel dan kata laluan seperti diminta.


"Laman web itu sama dengan laman web rasmi bank berkenaan. Jadi, saya tidak mengesyaki apa-apa yang pelik pada laman web itu.

"Selepas e-mel dan kata laluan dimasukkan, saya menerima SMS daripada bank yang mengatakan sejumlah wang daripada akaun saya sudah dipindahkan," katanya.


Ayu berkata, walaupun laporan polis dan aduan dibuat, bank berkenaan seolah-oleh lepas tangan dan sukar bekerjasama dalam mengendalikan kes itu.

Menurut Ayu, bank itu memberi jawapan tidak meyakinkan terhadap persoalan diajukan terutama ke akaun mana wangnya dipindahkan.


"Pegawai bertugas berkata siasatan terperinci dijalankan dan pelbagai perkara perlu diteliti sebelum laporan lengkap disiapkan dan lebih mengecewakan terdapat kekeliruan dari segi waktu transaksi berlaku.


"Mengikut laporan bank berkenaan, waktu wang saya dipindahkan ke akaun lain pada jam 11.59 malam, tetapi berdasarkan penyata kewangan bank itu,menunjukkan waktu wang saya dipindahkan ke akaun lain pada jam 11 malam.

"Saya membuat laporan polis sekali lagi serta menghantar surat aduan kepada Bank Negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap laporan yang diterima selain meminta laporan terbabit diteliti semula," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.


Menurutnya, bank berkenaan perlu menaik taraf tahap keselamatan sistem perbankan secara dalam talian kerana dia bukan mangsa pertama dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan ramai lagi menjadi mangsa.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan laporan mangsa pada 2 Mac lalu dan siasatan masih dijalankan.


Mohamad menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan e-mel daripada pihak yang tidak dikenali dan menyarankan orang ramai membuat pengesahan dengan pihak bank jika maklumat diterima meragukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan hukuman maksimum 10 tahun penjara, sebatan dan denda.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

2 beranak ‘ditawan’ penyamun

Posted: 10 Apr 2011 10:14 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dua beranak dan seorang pembantu rumah berdepan saat getir di rumah sendiri apabila 'ditawan' sekumpulan lima penyamun bersenjatakan parang yang mengikat mereka sebelum dikurung di dalam bilik.

Lima lelaki yang dipercayai warga Indonesia itu memecah masuk rumah keluarga terbabit di Seri Kembangan, di sini, kelmarin, sebelum menyamun barangan kemas, wang, jam berjenama dan peralatan elektrik dianggarkan bernilai RM100,000.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang wanita berusia 50-an dan anak lelakinya berusia 20-an serta orang gaji tidur di bilik mereka tidak menyedari rumah dipecah masuk sekumpulan lelaki bertopeng.

Menurut sumber, kumpulan penjenayah terbabit mengejutkan mangsa yang tidur berasingan di dalam bilik.


"Mereka (mangsa) pada mulanya dikumpulkan di ruang tamu rumah berkenaan. Sebaik penjenayah itu memastikan semua penghuni rumah ditawan, suspek mengikat tangan dan kaki mangsa. Semua mangsa kemudian dikurung dalam sebuah bilik," katanya.


Sumber itu berkata, kumpulan terbabit menggeledah rumah berkenaan sebelum melarikan diri dengan pelbagai barang berharga.

"Selepas menggeledah kira-kira 20 minit, kumpulan terbabit meninggalkan rumah itu dipercayai menggunakan sebuah kereta yang ditinggalkan berhampiran kawasan itu," katanya.


Menurutnya, semua mangsa berjaya membuka ikatan dan menghubungi pihak berkuasa.

"Sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian dan usaha memburu kumpulan terbabit giat dijalankan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias ketika dihubungi berkata, polis masih melakukan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan