Isnin, 8 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kunjungan bawa maut

Posted: 07 Oct 2012 02:05 PM PDT

SHAH ALAM: Kegembiraan seorang sahabat menemui rakan senegaranya berakhir tragedi apabila dia ditemui mati dalam keadaan ngeri dengan perut terburai di kaki lima sebuah bangunan pejabat kosong di Jalan Kota Raja, Hicom Town Centre di Seksyen 27, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Santhartun, 31, warga Myanmar ditemui orang awam dalam keadaan terlentang berlumuran darah dengan kesan tikaman di perut.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, sejurus menerima maklumat kejadian pada jam 10.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian bersama sepasukan forensik.

"Berdasarkan maklumat diterima, mangsa dipercayai baru tiba dari Ipoh malam kelmarin untuk bertemu rakannya yang menyewa di bangunan berkenaan.


"Siasatan awal mendapati sebelum kejadian berlaku, mangsa dan suspek baru pulang dari kelab malam berhampiran rumah sewa dalam keadaan mabuk.


"Mangsa dan suspek kemudian bertengkar sehingga berlarutan ke bahagian bawah rumah sebelum suspek naik semula untuk mengambil pisau pemotong sayur sebelum menikam perut mangsa bertubi-tubi," katanya.

Zahedi berkata, melihat mangsa yang sudah tidak bernyawa, suspek yang ketakutan terus melarikan diri dan gerakan memburunya sedang dijalankan.


Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman di perut selain mengalami pendarahan teruk akibat ditikam.

Katanya, pemeriksaan polis di rumah suspek juga menemui sebilah pisau pemotong sayur berukuran 20 sentimeter dipercayai digunakan suspek menikam mangsa.


Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.


"Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun dan bekerja di kedai perabot berhampiran rumah sewa mereka. Sewaktu melarikan diri, difahamkan suspek memakai baju T-shirt berwarna putih.


"Polis juga menahan dua rakan serumah mangsa berusia awal 30-an bagi membantu siasatan," katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.


Orang ramai yang mempunyai butiran lanjut mengenai suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Derita diganggu gonggok berakhir

Posted: 07 Oct 2012 01:59 PM PDT

KLANG: Penderitaan kira-kira 500 penduduk di Taman Sentosa akibat serangan ulat gonggok yang menghantui mereka sejak berbulan lalu berakhir apabila Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengadakan operasi bersepadu membanteras haiwan itu, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA) MPK, Norfiza Mahfiz berkata, sejak tiga minggu lalu, Jabatan Kesihatan bertungkus-lumus membuat semburan ubat serangga di kawasan yang dilaporkan mengalami serangan ulat berkenaan bagi menangani masalah itu.


Katanya, antara kawasan yang dilaporkan mengalami serangan makhluk perosak itu ialah sekitar Lorong Dato Dagang 35 A dan 35 B.

Menurutnya, kehadiran ulat gonggok menyebabkan penduduk sukar untuk melakukan kerja rumah terutama pada waktu pagi kerana kehadiran haiwan berkenaan mengganggu kehidupan seharian.


"Selain daripada operasi, pihak kami juga akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kehidupan penduduk tidak lagi terganggu dengan serangan ulat itu.


"Malah, operasi sebegini akan dipertingkatkan berdasarkan laporan kami terima mengenai keadaan setempat dan keperluan situasi terkini," katanya.

Norfiza berkata, serangan ulat gonggok menjadi semakin serius berikutan keadaan cuaca tidak menentu sehingga menyebabkan waktu operasi tadika berhampiran turut terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Tiada ulasan:

Catat Ulasan