Ahad, 28 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Mutakhir


Cinta sejati

Posted: 27 Oct 2012 07:48 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Isteri begitu adalah wanita yang cintanya sejati," kata pakar perunding keluarga dan motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah, mengulas tindakan seorang isteri menanggung hutang along ditinggalkan suaminya bernilai lebih RM1 juta walaupun lelaki itu berkahwin lain.

Menurut beliau, tindakan isteri terbabit didorong rasa tanggungjawab untuk menjaga anak suaminya, selain tidak mahu imej lelaki itu dipandang hina oleh anak kerana berbapakan lelaki seperti itu.


Katanya, suami wanita itu pula tidak berperikemanusiaan dan pentingkan diri kerana sanggup melepaskan bebanan hutang kepada isteri untuk mencari kebahagiaan dengan wanita lain.

"Memang bertuahlah lelaki memiliki isteri yang menawarkan diri untuk menanggung hutangnya, tetapi kesenangan suami cuma di dunia dan akhiratnya kosong kerana tidak ada pahala ibadah.


"Dia meninggalkan isteri yang berjuang dari bawah bersamanya tetapi akhirnya ditinggalkan dan mencari isteri lain, itu tindakan yang tak berperikemanusiaan dan sangat pentingkan diri," katanya, semalam.


Rubiah berkata, tindakan isteri itu juga adalah betul kerana semua harta dan aset didaftarkan ke atas anak mereka dan dia hanya mahu melindungi anaknya daripada menjadi buruan along.

Harian Metro semalam melaporkan nasib wanita dikenali cuma dengan nama Salbiah yang sanggup berkawan dengan ceti haram kerana tidak mahu keselamatan suaminya yang berhutang lebih RM1 juta dengan along terancam.


Walaupun lelaki itu berkahwin lain, dia sanggup menanggung beban ditinggalkan suami kerana bimbangkan keselamatannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Gadis bisu terpedaya

Posted: 27 Oct 2012 07:48 AM PDT

KUALA LUMPUR: Hinanya seorang lelaki apabila tergamak mengambil kesempatan terhadap gadis kelainan upaya (OKU) hingga menyebabkan remaja berusia 17 tahun itu hamil enam bulan dan kini menunggu masa melahirkan kandungannya di Rumah Sinar Salam, Chow Kit, di sini.

Penyelia rumah berkenaan, Nurul Husna Hamid berkata, punca remaja itu terlanjur akibat hubungan terlarang daripada pergaulan bebas dan terpedaya dengan pujuk rayu teman lelakinya hingga disahkan hamil, awal tahun ini.


"Walaupun dia bisu, teknologi canggih (laman web dan telefon bimbit) hari ini membolehkan pasangan kekasih berhubungan antara satu sama lain hingga terlanjur.

"Kami tidak menafikan walaupun fizikalnya serba kekurangan, keinginan golongan ini sama dengan gadis normal lain," katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.


Remaja itu ditempatkan di rumah berkenaan disebabkan keluarganya enggan menerimanya semula selain malu dengan jiran dan masyarakat sekeliling.


Ditanya bagaimana arahan diberi kepada remaja OKU itu, Nurul Husna berkata, mesej berbentuk tulisan dan gerakan badan serta isyarat tangan antara kaedah komunikasi berkesan digunakan.

"Di rumah ini, kami menjaga makan minum dan membawa gadis berkenaan ke klinik untuk pemeriksaan setiap bulan bagi memastikan kandungan sihat serta tiada tekanan sepanjang kehamilan," katanya.


Rumah Sinar Salam dinaungi Yayasan Salam Malaysia (YSM) menghulurkan bantuan dalam bentuk kepakaran dan pengurusan sejak 2007 khusus untuk gadis yang terbabit dalam kancah sosial sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing apabila pulih kelak.

Beliau berkata, di rumah itu, penghuninya diberi motivasi untuk membina semula imej yang tercalar, manakala ibu bapa diberi kesedaran supaya memberi peluang kedua kepada anak menerusi memberi bimbingan agama.


"Selain itu, menerusi perkongsian bersama sebuah agensi swasta, kami mengadakan pelbagai aktiviti seperti kelas masakan, kemahiran komputer dan kraftangan kepada penghuni supaya masa lapang mereka lebih terisi.


"Sebaik keluar dari rumah ini, ada di kalangan mereka diterima bekerja sebagai tukang cuci di hospital atau pembantu restoran.


"Sekurang-kurangnya, dengan kemahiran yang dibekalkan, mereka mampu berdikari, sekali gus boleh membina hidup baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


0 ulasan:

Catat Ulasan