Selasa, 23 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


UDA maju tanah wakaf

Posted: 23 Oct 2012 03:56 PM PDT

Sedia bekerjasama dengan majlis agama negeri, JAWHAR laksana projek kediaman, komersial

Kuala Lumpur: UDA Holdings Bhd menawarkan untuk menjadi rakan kongsi memajukan tanah wakaf berpotensi, terutama kawasan bandar di seluruh negara bagi membantu meningkatkan ekonomi umat Islam.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) untuk membangunkan tanah wakaf sebagai projek kediaman dan komersial.

Model pembangunan tanah wakaf ini ialah penyelesaian dan laluan terbaik kepada pembangunan tanah wakaf, terutama tanah wakaf am yang selama ini gagal dimajukan bagi manfaat umat Islam keseluruhannya," - Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pengerusi UDA Holdings Bhd

Pembiayaan syariah Katanya, UDA Holdings sebelum ini berjaya membangunkan model pembangunan tanah wakaf am berlandaskan konsep pembiayaan Ijarah bagi projek tanah wakaf Setee Aishah di Seberang Jaya, Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Model pembangunan tanah wakaf ini ialah penyelesaian dan laluan terbaik kepada pembangunan tanah wakaf, terutama tanah wakaf am yang selama ini gagal dimajukan bagi manfaat umat Islam keseluruhannya.

"Tanah wakaf tidak boleh dijual kepada mana-mana pihak dan ia menjadi kekangan utama sehingga menyebabkan banyak tanah wakaf gagal dimajukan terutama di bandar," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan UDA Holdings, Ahmad Abu Bakar dan Naib Presiden Kanan UDA Property Development, Shytul Shahryn Mohamed Shaari.
Mengikut laman web JAWHAR, keluasan tanah wakaf am dan khusus terkini ialah 11,091.82 hektar bernilai RM1.177 bilion. Daripada jumlah itu, tanah wakaf am seluas 4,836.50 hektar, manakala tanah wakaf khusus 6,255.33 hektar.

Johor ialah negeri mempunyai keluasan tanah wakaf tertinggi, iaitu 3,152.30 hektar bernilai RM7 juta, diikuti Terengganu 2,460.24 hektar bernilai RM42.6 juta.

Sedia bekerjasama

Nur Jazlan berkata, UDA Holdings sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membangunkan tanah wakaf supaya Bumiputera mampu memiliki kediaman serta premis perniagaan pada kadar harga rendah dan berpatutan.

Pada masa ini, UDA Holdings sedang mengadakan perbincangan untuk membangunkan tanah wakaf dengan majlis agama Islam Selangor dan Johor.

"Ini bagi membuktikan komitmen berterusan UDA Holdings memastikan pelan tindakan agenda Bumiputera mencapai matlamat, iaitu mengurangkan jurang pemilikan hartanah antara Bumiputera dan bukan Bumiputera di bandar," katanya.

Tandatangani perjanjian

Mengenai projek tanah wakaf Setee Aishah yang bernilai RM24 juta, beliau berkata, UDA Land North Sdn Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dengan MAINPP bagi membangunkan bangunan pusat perniagaan tiga tingkat yang mempunyai 27 lot kedai dan 76 unit teres dua tingkat pada 2007.

Katanya. UDA Land bertindak sebagai pemaju dan menjual 76 unit kediaman pada harga RM281,000 hingga RM439,000 seunit, manakala bangunan pusat perniagaan diserahkan kepada MAINPP.

"Bagaimanapun, semua unit kediaman dipajak 99 tahun kerana urusan pembelian tidak membabitkan Seksyen 14A Kanun Tanah Negara (KTN), iaitu tiada sebarang pindah milik atau jual beli hartanah," katanya.

Balik kampung ikut jadual PLUS

Posted: 23 Oct 2012 03:46 PM PDT

Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan mengikut jadual waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi Lebuh Raya Utara-Selatan sempena cuti Aidiladha, mulai esok hingga 28 Oktober ini.

Ketua Komunikasi Korporat PLUS, Mohd Nizam Ismail, berkata TTA yang dikeluarkan pada musim perayaan lalu berjaya membantu orang ramai bergerak dengan lebih selesa di Lebuh Raya Utara-Selatan untuk merancang perjalanan, selain mengelak kesesakan lalu lintas.

"Justeru, PLUS sekali lagi menasihatkan pengguna jalan raya yang pulang bercuti dan kembali ke Lembah Klang supaya terus memberi kerjasama dengan mematuhi jadual perjalanan dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

PLUS nasihat pengguna yang pulang bercuti dan kembali ke Lembah Klang terus beri kerjasama mematuhi jadual perjalanan dikeluarkan," - Mohd Nizam Ismail, Ketua Komunikasi Korporat PLUS

Bagi 25 dan 26 Oktober, waktu perjalanan dicadangkan ialah dari Lembah Klang ke Kedah, Perlis dan Pulau Pinang melalui Juru serta perjalanan ke Johor melalui Skudai, Senai Utara, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak.

Perjalanan dari Lembah Klang ke Kuala Kangsar, Changkat Jering dan Taiping serta Melaka melalui Ayer Keroh antara 12 tengah hari dan 3 petang, manakala perjalanan ke Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng serta Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat bermula antara 3 petang dan 6 petang.

Orang ramai boleh mula memasuki lebuh raya ke Tapah, Bidor, Sungkai, Slim River, Tanjung Malim, Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.

Kenderaan dengan nombor plat ganjil melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam ganjil seperti 9 pagi, 1 tengah hari dan 7 malam, manakala kenderaan plat genap memulakan perjalanan pada setiap jam genap.
Bagi 27 dan 28 Oktober, perjalanan dari Lebuh Raya Utara-Selatan ke Lembah Klang dicadangkan sebelum 9 pagi dan selepas 10 malam, manakala perjalanan tidak melalui kawasan Lembah Klang pula antara 12 tengah hari atau selepas 6 petang.

Semua perjalanan dari utara dan selatan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang bagi kenderaan dengan nombor plat ganjil dinasihatkan setiap jam ganjil, manakala kenderaan nombor plat genap bermula pada setiap jam genap.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSline 1800-88-0000 atau mengikuti laman Twitter PLUSTrafik. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan