Rabu, 24 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Semak status usahawan Bumiputera

Posted: 24 Oct 2012 05:00 PM PDT

Kerajaan disaran ambil kira pegangan saham, struktur korporat

Kuala Lumpur: Kerajaan disaran menyemak status usahawan Bumiputera dengan mengambil kira pegangan saham, struktur korporat dan pembangunan usahawan Melayu tulen dan bukan hanya proksi atau broker.

Kongres Ekonomi Melayu 2012 dalam resolusi yang berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Baru Ekonomi (MBE) semalam, menegaskan semakan itu perlu kerana penggunaan proksi atau broker selama ini mencacatkan imej usahawan Melayu.


Ekonomi Melayu terjejas
Cadangan itu antara 18 resolusi kongres dua hari anjuran Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang tamat semalam.

Kongres juga membuat ketetapan bahawa rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme sebagai punca ekonomi Melayu terjejas dan perlu ditangani segera.

Kongres turut mengusulkan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan mempunyai roh dan agenda pembangunan Melayu yang jelas.

GLC juga disaran tidak bersaing dengan usahawan Melayu, sebaliknya menyokong sama ada dari segi pegangan modal atau pengembangan eksport.
Pegawai GLC juga tidak harus mempunyai konflik kepentingan dan perniagaan dalam syarikat yang dimiliki kerajaan.

Kongres turut mengenal pasti kelemahan kepimpinan dalam Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai punca pelbagai agenda pembangunan ekonomi Melayu tidak dapat diselesaikan.

Sehubungan itu, kongres mencadangkan Ketua Eksekutif TERAJU ditukar bagi menambah baik usaha meningkatkan ekonomi Melayu.

Sembilan resolusi

Antara resolusi lain ialah:

  • Menyokong Deklarasi Jihad yang diputuskan oleh Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM.
  • Mendirikan Institut Motivasi dan Semangat Perniagaan dan Keusahawanan berasas usahawan kepada usahawan.
  • Menyediakan latihan khusus kepada pegawai kerajaan dan ahli politik mengenai peranan mereka.
  • Memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan Bumiputera dalam semua tender kerajaan.
  • Menubuhkan beberapa firma audit besar yang diuruskan orang Melayu untuk mengaudit syarikat dan agensi kerajaan.
  • Menubuhkan institusi kewangan yang mengumpul dan menagihkan dana/pinjaman khusus kepada usahawan mikro.
  • Mempertimbang penstrukturan semula Institut Keusahawanan Negara (Insken) dengan membabitkan wakil pertubuhan bukan kerajaan berwibawa untuk menyelaras program pembangunan usahawan.
  • Kementerian Kewangan memberi tender secara terus kepada Melayu bagi projek bawah RM100 juta dan dipantau DPMM.
  • Penubuhan Tabung Ummah serta Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Berhad (TUPBB) bermodal RM1 bilion dengan dana RM500 juta dari kerajaan dan baki daripada masyarakat Melayu.

Semua resolusi yang diputuskan hampir 500 peserta dari pelbagai pertubuhan Melayu dan Bumiputera dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.

Australia mampu jana ekonomi Asia

Posted: 24 Oct 2012 04:52 PM PDT

Sertai Koridor Pertumbuhan Baharu pacu kemakmuran global: Najib

Melbourne: Datuk Seri Najib Razak, berkata kemasukan Australia dalam Koridor Pertumbuhan Baharu yang menghubungkan China ke negara di Asia dan Asia Barat akan memacu pertumbuhan serta kemakmuran global.

Perdana Menteri berkata, kemasukan Australia juga akan menyatukan sesetengah ekonomi paling kukuh di dunia.


Hubungkan China melalui Asia Tenggara
"Dalam perutusan saya pada Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) yang lalu, saya menyifatkan Koridor Ekonomi Baharu yang berkembang pesat akan menghubungkan China melalui Asia Tenggara dan India ke Asia Barat," katanya dalam perutusan sempena Forum Ekonomi China Dunia ke-4 pada 12 dan 13 November ini.

Kerjasama serantau

Najib berkata, HSBC Bank baru-baru ini mengunjurkan menjelang 2050, sebanyak 10 daripada ekonomi terbesar dunia akan terletak di rantau ini, iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Australia, Malaysia, Thailand dan Pakistan.

"Sehubungan itu, akan wujud peluang besar menjalin kerjasama serantau dan kerjasama perniagaan dalam Laluan Sutera yang baharu ini," katanya.
Najib berkata Malaysia menyokong WCEF sebagai inisiatif yang dipacu sektor swasta dan diketuai perniagaan bagi meningkatkan integrasi dan kerjasama ekonomi serta menjalin ikatan strategik antara golongan perniagaan di rantau ini.

ASLI anjur forum

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Institut Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI) kerana menganjurkan forum itu dan menyampaikan jemputan kepada semua delegasi ke WCEF akan datang di Kuala Lumpur pada November tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Pengerusi Pertama Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China, Dr Zhang Wei akan menyampaikan ucaptama pada forum di China.

Forum tampil 57 penceramah

Forum di Pusat Konvensyen Melbourne itu akan menampilkan 57 penceramah terkemuka dari 15 negara dengan lebih 300 delegasi dijangka hadir.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah ASLI, Tan Sri Dr Michael Yeoh dan Naib Presiden Kanan ASLI, Ng Yeen Seen berada di sini pada minggu lepas untuk meninjau persediaan forum yang menjana minat besar di kalangan rakyat Australia dan kerajaan negeri serta komuniti perniagaan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan