Rabu, 24 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Mati kehabisan oksigen

Posted: 23 Oct 2012 04:00 PM PDT

ALOR SETAR: "Arwah sedang menyelam, tetapi masih tidak timbul untuk tempoh lama menyebabkan kami tidak sedap hati sebelum seorang rakan terjun ke dasar laut untuk melihat apa yang berlaku dan menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri," kata Azman Yusof, 39, rakan kepada juruteknik Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Rosli Mohamad Isa, 32, yang lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Perak, kira-kira 60 batu nautika dari Langkawi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa bersama sembilan lagi rakan dikatakan pergi memancing di perairan berkenaan sejak Ahad lalu.


Bagaimanapun, mangsa dipercayai lemas selepas alat pernafasannya kehabisan oksigen dan tidak timbul ke permukaan dalam jangka masa lama sebelum ditemui kira-kira jam 11.45 pagi.

Azman berkata, arwah sedang menyelam bersama beberapa rakan lain di perairan berkenaan, namun tidak timbul selepas beberapa jam menyebabkan seorang daripada mereka menyelam semula untuk mencari mangsa.


"Seorang rakan kami, Haris Abdullah, 44, terus menyelam untuk mencari arwah kerana dia tidak timbul selepas beberapa jam menyebabkan kami risaukan keselamatannya.


"Apabila Haris menemui arwah didapati dia sudah meninggal dunia dipercayai alat pernafasan kehabisan oksigen manakala Haris dalam keadaan kritikal sebaik naik ke atas bot," katanya yang ditemui di Jeti Kuala Kedah, semalam.

Abang mangsa, Yusof, 42, berkata arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bersikap seperti biasa kerana meminati hobi memancing dan menyelam.


"Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua anak. Kami pasrah dengan kejadian ini dan berdoa arwah ditempatkan dalam kalangan golongan beriman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Kontraktor tak patuh

Posted: 23 Oct 2012 03:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Syarikat kontraktor dilantik bagi pengubahsuaian banglo yang runtuh di Shah Alam, Khamis lalu hingga mengakibatkan kematian seorang pekerja disahkan gagal mematuhi peraturan ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menurut siasatan awal CIDB dan Jawatankuasa Amalan Terbaik Industri Pembinaan (CIBPAC), syarikat itu melanggar peruntukan mengikut Seksyen 34 (1), Akta 520 dengan tidak memaklumkan projek ubah suai kepada CIDB, selain menggaji pekerjaan binaan tanpa tauliah.


Pengurus Besar Bahagian Korporat CIDB, Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, sebagai kontraktor yang berdaftar dengan CIDB, syarikat itu sepatutnya arif dengan tanggungjawab memaklumkan projek membabitkan syarikatnya bagi tujuan keselamatan.

"Lebih-lebih lagi, mereka juga kena akur terhadap penggunaan pekerja binaan bertauliah yang mempunyai Kad Hijau CIDB seperti diperuntukkan mengikut Peraturan Pendaftaran Kontraktor 1995, tetapi dalam kes ini ia tidak berlaku berdasarkan siasatan awal kami.


"Kami juga dapati hanya pekerja yang meninggal dunia dan seorang lagi cedera (putus kaki) mempunyai Kad Hijau, sekali gus layak dilindungi di bawah skim insurans kad, sedangkan pekerja selebihnya tidak memiliki kad membolehkan mereka berkhidmat sebagai pekerja binaan.


"Surat tunjuk sebab sudah dihantar kepada kontraktor terbabit pagi tadi (semalam) untuk beri penjelasan kegagalan mereka melakukan apa yang sepatutnya dan mereka perlu beri maklum balas dalam tempoh tujuh hari sebelum tindakan lanjut diambil," katanya di sini, semalam.

Sidang media khas itu dihadiri Ahli CIBPAC, Dr Tan Loke Mun dan wakil jawatankuasa lain termasuk daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia, Persatuan Jurutera Malaysia dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.


Dalam kejadian itu, Totok Mochamd Anthony warga Indonesia meninggal dunia, manakala lima lagi parah selepas sebahagian bumbung konkrit banglo mewah milik seorang ahli perniagaan di Seksyen 7, Shah Alam itu runtuh.

Jumaat lalu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pemilik banglo terbabit bakal berdepan tindakan undang-undang kerana pengubahsuaian dilakukan tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Ahmad Asri turut memberitahu, lesen kontraktor itu boleh dibatalkan atau digantung sehingga tiga tahun sekiranya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin CIDB.


Sementara itu, Dr Tan berkata, pihaknya menjangkakan hasil siasatan penuh kes berkenaan diperoleh bulan depan, sekali gus menentukan pihak mana bertanggungjawab dan wajar diambil tindakan atas kejadian terbabit.


"Perkara mengenai keselamatan tak boleh dipandang ringan. Ketika ini kita juga tak wajar menuduh mana-mana pihak sehingga siasatan menyeluruh membuktikan siapa bersalah.


"Runtuhan berlaku pastinya bersebab dan itu akan diputuskan serta kami bertindak berdasarkan bukti yang ada," katanya.


Mengambil iktibar kejadian terbabit, beliau menyeru orang ramai supaya mendapatkan lesen dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum menjalankan kerja pengubahsuaian rumah mereka serta melantik kontraktor yang bertauliah untuk melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


0 ulasan:

Catat Ulasan