Ahad, 28 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Mangsa pukul masih terlantar

Posted: 27 Oct 2012 07:25 AM PDT

KUANTAN: Walaupun penyerangnya sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa lalu, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah, mangsa yang 'digusti' gara-gara lambat menghantar air suam masih terlantar dan menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Pelayan sebuah kopitiam di Jalan Tun Ismail 2, di sini, Htong Haw, 29, yang juga warga Myanmar, menjalani tiga pembedahan sejak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat cedera parah di abdomen iaitu pendarahan dalam perut, pecah limpa, pecah usus kecil dan luka pada hati.


Majikannya, Stanly Soon Suan Ning, 43, berkata, Haw dipindahkan ke wad biasa kelmarin selepas seminggu bertarung nyawa dan koma di ICU akibat kejadian itu.

"Keadaan dia masih lemah dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Buat masa ini dia belum boleh bercakap," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Soon berkata, Haw boleh menggerakkan anggota badan, namun kecederaan dialami membuatkan dia hanya terlantar dan tidak mampu bercakap.


"Abang dia yang bekerja di Kuala Lumpur menjenguknya di sini dan sedih dengan kejadian itu. Saya turut bersimpati dengan apa yang berlaku," katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, 18 Oktober lalu, mangsa yang enam tahun bekerja di kopitiam itu ditumbuk bertubi-tubi dan kepalanya dihentak ke pasu pokok hiasan dipercayai hanya kerana terlewat menghantar air suam dipesan tertuduh.


Malah, tertuduh menghenyak tubuh mangsa ke tangga, menariknya ke seberang jalan lalu bertindak seperti ahli gusti dengan mengepit kepala mangsa di celah kangkangnya sebelum menghempas mangsa ke atas jalan di tempat letak kereta berdekatan.

Mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Salak mayat dalam but

Posted: 27 Oct 2012 07:23 AM PDT

JOHOR BAHRU: Misteri salakan luar biasa seekor anjing membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Taratai 33, Taman Johor Jaya, di sini, petang kelmarin.

Ia susulan gelagat pelik anjing terbabit yang tiba-tiba meluru ke arah sebuah kereta Perodua Kancil sebelum menyalak kuat ketika pemiliknya membawa haiwan itu berjalan, jam 5.45 petang.


Pelik dengan kelakuan anjingnya selain terhidu bau busuk dari kereta berkenaan menyebabkan dia menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

Pihak berkuasa memanggil sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa berikutan but kereta itu berkunci.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat wanita itu dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.


Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan awal menemui mayat wanita di dalam but.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai berusia 30-an dan ketika ditemui, dia masih berpakaian lengkap.


"Pemeriksaan lanjut dijalankan tetapi kami tidak menemui butiran lanjut mengenai mangsa, namun kita percaya dia warga tempatan.

"Pemeriksaan polis menemui kesan tikaman di perut wanita itu," katanya.


Roslan berkata, siasatan dijalankan mengikut pelbagai sudut untuk mengetahui punca dan motif sebenar kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


"Selain mengesan identiti, kita menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit untuk mencari petunjuk.


"Berikutan itu, orang ramai yang ada maklumat diminta tampil membantu polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


0 ulasan:

Catat Ulasan