Isnin, 22 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Dua wanita terbunuh selepas kereta bertembung

Posted: 22 Oct 2012 03:52 AM PDT

KUANTAN: Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 141.7 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin, semalam.

Dalam kejadian 8.20 malam itu, mangsa, Rahani Idris, 55, dari Gemas, Negeri Sembilan terbunuh selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Inspira dari arah bertentangan sebelum dirempuh dua kereta lain dari belakang.

Ketua Pegawai Turus Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat dan setibanya di tempat kejadian, kereta Proton Saga mangsa dirempuh oleh Proton Inspira yang secara tiba-tiba memasuki laluannya.

Katanya berdasarkan siasatan awal, pemandu Proton Inspira dari arah Segamat ke Kuantan itu cuba memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum gagal memasuki laluannya semula.


"Kereta itu kemudiannya merempuh kereta Proton Saga yang dipandu mangsa dan pertembungan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan itu berpusing beberapa kali.


"Pada masa yang sama, dua buah kereta jenis Proton Saga dan Perodua Myvi dari arah Kuantan gagal mengelak dan merempuh kenderaan mangsa sehingga menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kemalangan itu turut meragut nyawa seorang penumpang Proton Inspira, Kasmawati Harun, 30, dari Taman Marimas, di sini, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang kereta itu cedera dan kedua-dua pemandu Proton Saga dan Perodua Myvi hanya cedera ringan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Sementara itu dalam kemalangan berasingan, Mohamed Fauzi berkata seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya hilang kawalan sebelum masuk ke dalam gaung di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Maran, dekat sini pagi semalam.

Kejadian kira-kira 7.05 pagi itu berlaku ketika mangsa, Wong Von Seng, 29, dari Bandar Jengka dalam perjalanan menuju ke Maran dari Kuantan dan setibanya di tempat kejadian, kenderaan itu tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui selekoh.

Katanya mangsa mati di tempat kejadian manakala pemandu kereta berkenaan cedera parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


Seorang maut, lima cedera dalam kemalangan enam kenderaan dekat Kampar

Posted: 22 Oct 2012 01:39 AM PDT

KAMPAR: Seorang lelaki maut manakala lima cedera apabila sebuah bas yang sedang ditunda trak dan lima buah kereta terbabit dalam kemalangan di Km302.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kampar, awal hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 4.10 pagi ini, Lim Cheng Guan, 30, berasal dari Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata nahas itu berlaku apabila bas yang sedang ditunda trak itu dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang kemudiannya terbabas.

Kereta yang dipandu mangsa kemudiannya merempuh belakang kereta yang terbabas itu manakala empat lagi kereta yang mengekorinya turut terbabas, katanya kepada pemberita, hari ini.


Bagaimanapun pemandu trak dan empat lagi pemandu kereta hanya cedera ringan dan mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kampar, katanya.


Beliau berkata anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


Tiada ulasan:

Catat Ulasan