Ahad, 21 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Melayu sudah muak DAP

Posted: 21 Oct 2012 05:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata orang Melayu sudah muak dengan DAP dan mencabar parti itu meletakkan calon di kawasan majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Jika DAP parti berbilang kaum, saya cabar mereka bertanding di kawasan Parlimen orang Melayu.

"Orang Melayu sudah muak dengan DAP... semua tu adalah mengarut," kata Perdana Menteri di depan lebih 2,000 perwakilan dan pemerhati pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA, Ke-59 di Wisma MCA, di sini semalam.
Bagaimanapun, Najib berkata pembangkang termasuk DAP terus melaung-laungkan kononnya mereka lebih demokratik berbanding BN.

"Jika ingin tahu sama ada mereka parti demokratik atau tidak, tanya (bekas Naib Presiden DAP) Tunku Abdul Aziz... beliau akan beritahu," katanya.

Najib juga menegaskan rakyat Malaysia tidak boleh mempersoalkan asas pembinaan negara di bawah prinsip Perlembagaan Persekutuan, tetapi boleh mempersoalkan keadilan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan boleh melaksanakan tindakan afirmatif membantu Bumiputera tetapi pada masa sama perlu adil kepada masyarakat lain termasuk Cina.
"Saya faham sebab itulah saya hasilkan gagasan 1Malaysia. Kita perlu bersikap inklusif, membantu sebanyak yang boleh, semua bangsa, semua komuniti tidak kira kecil atau besar.

"Kalau kita mula mempersoalkan asas penubuhan negara ini, negara akan hancur.. apa yang kita hendak perlu secara konsensus dengan mengambil kira kehendak dan kebimbangan masyarakat.

"Selepas itu kita boleh membangunkan negara aman, sejahtera dan masa depan yang cerah. Saya menjanjikan anda semua kerajaan yang adil dan saksama," katanya.

Perdana Menteri berkata, BN juga memahami dan menyedari tiga lagi perkara asas yang menjadi tunjang perjuangan masyarakat Cina di negara ini. Perkara itu merangkumi kemakmuran ekonomi, kerajaan yang adil dan saksama, tadbir urus yang baik dan pendidikan.

Katanya, kerajaan BN sentiasa memastikan ekonomi negara antara yang terbaik di dunia dengan pertumbuhan memberangsangkan, sekali gus berupaya menjadi cermin pembangunan negara pada masa akan datang.

Beliau turut mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina tahun depan.

Lagi akaun Fb hina Sultan

Posted: 21 Oct 2012 04:32 PM PDT

Johor Bahru: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Johor dan Pemuda UMNO Bahagian Pulai membuat laporan polis terhadap satu akaun laman sosial Facebook (Fb) yang didakwa menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Tampoi, dekat sini, jam 4 petang semalam itu meminta pihak berkuasa terbabit menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun laman sosial berkenaan yang dikenali Zul Yahya.

Pemilik akaun Facebook terbabit didakwa mengeluarkan perkataan kesat serta menghina Sultan Johor mengenai kedudukan baginda yang mengetuai Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi laman sosial berkenaan bertarikh 12 Oktober lalu.
Wakil gabungan NGO terbabit, Yusof Abdullah, meminta polis dan Jabatan Peguam Negara mencontohi Thailand, mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak dan individu yang menghina institusi Raja.

Kalau di Thailand, sudah tentu individu terbabit dijatuhkan hukuman berat. Kita harus mencontohi Thailand kerana mereka begitu taat kepada Raja, katanya.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulai, Tengku Salman Fathi Tengku Jaafar, berkata perbuatan individu terbabit secara tidak langsung mengguris hati dan perasaan rakyat Johor.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan pemilik akaun laman sosial terbabit adalah tindakan menderhaka serta tidak menghormati Sultan Johor dan institusi Raja yang ada di negara ini.
Kami mahu polis menyiasat perkara ini dan pasti ia didalangi pihak tertentu yang mempunyai agenda mahu menjatuhkan institusi Raja di negara ini serta menukarkannya kepada sistem republik, katanya.

Sementara itu, Hassan Jemari, 69, dari Skudai Kiri, menyifatkan kenyataan pemilik akaun laman sosial mengenai Sultan Johor itu amat celupar dan berniat jahat.

Baginda adalah Sultan yang berjiwa rakyat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu sungguh biadab serta perlu dihukum mengikut undang-undang dengan sewajarnya, katanya.

Bagi Samsiah Karcho, 55, berasal dari Kota Tinggi, tindakan beberapa pemimpin politik yang menghalalkan penghinaan terhadap institusi Raja juga sungguh memalukan dan tidak layak tinggal di negara ini.

Sebelum ini ada pemimpin politik yang biadab dan mempertikaikan tindakan baginda berhubung isu nombor pendaftaran kenderaan dan kini ada pula yang menghina serta menjatuhkan maruah Sultan Johor, katanya.

Faiz Mustaffa, 24, menyifatkan kenyataan dikeluarkan pemilik akaun laman sosial terbabit di luar batasan pemikiran manusia tanpa memikirkan kesan terhadap negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan