Rabu, 31 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Malaysia bukan pangkalan rekrut pengganas

Posted: 31 Oct 2012 03:05 AM PDT

KUALA LUMPUR: Malaysia bukan sarang bagi kegiatan merekrut pengganas di rantau ini, demikian tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

"Pengganas ini bergerak bukan sahaja di Malaysia tapi ke negara-negara Timur Tengah. Mereka boleh direkrut di mana-mana sahaja kesan daripada globalisasi dan teknologi hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas perkembangan penahanan dua rakyat Malaysia di Lubnan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan al-Qaeda 18 Oktober lalu.

Hishammuddin sebelum itu menghadiri mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian (DTF) ke-22 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai jenayah, di bangunan Parlimen.

Hishammuddin berkata isu keganasan merupakan realiti global dan pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan aktiviti pengganas tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Katanya hasil kerjasama dan perkongsian maklumat dengan agensi perisikan antarabangsa mendedahkan terdapat pengganas yang keluar masuk negara ini.

Namun, katanya, kebimbangan terhadap ancaman kegiatan pengganas di negara ini tidak perlu kerana hasil siasatan mendapati mereka tidak pernah meletakkan Malaysia sebagai sasaran.
"Ia (siasatan) lebih menumpukan kepada kaitan rakyat Malaysia dengan pengganas kerana merupakan fenomena yang perlu kita teliti dan pantau secara dekat dan ia membuktikan bahawa dunia tanpa sempadan hari ini dan perjalanan manusia, wang ringgit dan maklumat sebenarnya membawa ancaman yang begitu serius kepada semua negara, bukan sahaja kepada Malaysia,"

Hishammuddin berkata apa yang perlu dibimbangkan ialah penglibatan pengganas melalui jenayah transnasional seperti penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.

"Ekonomi gelap, dana haram (jenayah rentas negara) jika jatuh ke tangan pengganas, maka kewangan mereka akan terlalu besar hingga kita berdepan dengan perang terhadap keganasan," katanya.

Selain itu, katanya, akta baru yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut mempunyai peruntukan bagi menangani aktiviti pengganas.

Beliau berkata usaha juga sedang dilakukan untuk memantapkan hubungan kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA) serta pihak perisikan India, Pakistan termasuk China bagi membendung aktiviti pengganas.

Mengenai perkembangan terkini penahanan dua rakyat Malaysia itu, beliau berkata kedua-dua mereka berada di bawah pemantauan dan risikan pihak berkuasa sejak setahun lalu.

"Namun kita (pihak berkuasa) tidak boleh umumkannya terlalu awal kerana kita perlu mengumpulkan maklumat yang mencukupi," katanya. - BERNAMA

Pentaksiran berasaskan sekolah akan dilaksana secara adil

Posted: 31 Oct 2012 02:38 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan dilaksana secara adil terutama dalam menentukan penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun kedua-dua peperiksaan utama, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) akan berubah ke PBS, kementerian akan memastikan kualiti pelajar kekal baik selain memastikan sukatan pelajaran tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

"Di bawah PBS, pelajar akan dinilai melalui empat komponen yang merupakan pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik," katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) di Dewan Rakyat hari ini.

Wee berkata Lembaga Peperiksaan Malaysia akan memantau standard kertas soalan dan kualiti markah yang dibuat oleh guru.

Guru dikehendaki untuk mengikuti Dokumen Standard Prestasi (DSP) dan tidak semata-mata bergantung kepada markah yang diterima dalam peperiksaan, katanya.

Menjawab soalan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar), Wee berkata menjelang 2016, murid sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambah baik berasaskan pelaksanaan PBS dan bagi peringkat sekolah menengah pula, dijangkakan menjelang 2014, PBS dapat dilaksanakan sebagai penambahbaikan kepada PMR.

Beliau berkata pentaksiran pendidikan dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kemajuan pendidikan pelajar, keberkesanan strategi pengajaran dan pembelajaran dan keberkesanan kurikulum yang dijalankan di sekolah. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan