Isnin, 22 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


BN tak kisah sama ada Nik Aziz bertanding atau tidak: Muhyiddin

Posted: 22 Oct 2012 02:34 AM PDT

KAJANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) tidak kisah sama ada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Itu hak dia, saya tiada hak nak komen terpulang kepada kepimpinan Pas jika fikir beliau (Datuk Nik Aziz Nik Mat)) masih bertenaga dan tajam fikiran, saya tak nak komen lebih terserah kepada rakyat untuk menilai," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno berkata, BN sudah bersiap sedia dengan jentera pilihan raya dan menawarkan kepimpinan yang berwibawa untuk bertanding di negeri berkenaan.
Muhyiddin diminta mengulas laporan yang membayangkan Mursyidul Am PAS itu akan bertanding dalam PRU ke-13.

"Apa yang pasti BN akan menawarkan kepimpinan berwibawa untuk bertanding termasuk calon yang bakal dinamakan menjadi Menteri Besar sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Kelantan," katanya kepada pemberita di Batu 14, Hulu Langat dekat sini.

Beliau berharap rakyat Kelantan memberi perhatian terhadap perkara ini dan dapat membuat perbandingan berhubung siapa yang lebih layak memimpin negeri itu dan ia bukan terhad atas tokoh agama sahaja bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit di negeri itu.

"..dari segi pentadbiran, pengurusan menyelesaikan masalah isu-isu berbangkit di negeri itu termasuk soal air yang tidak dapat diselesaikan, kemiskinan tegar masih banyak dan isu-isu sosial...itu juga perlu diberi perhatian," katanya.
"Harap rakyat Kelantan dapat buat perbandingan siapa yang lebih bersesuaian dan layak bukan atas tokoh agama sahaja," katanya.

Muhyiddin berkata hanya rakyat Kelantan yang mempunyai jawapan berhubung apa yang akan berlaku ke atas negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya Nik Abdul Aziz bertanding pada pilihan raya akan datang dan sekali lagi menjadi Menteri Besar.

"Saya tidak boleh jawab hanya orang di Kelantan yang boleh menjawabnya," katanya. - BERNAMA

Usul potong gaji Menteri KPDNKK RM10 ditolak

Posted: 22 Oct 2012 02:11 AM PDT

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul daripada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) untuk memotong gaji Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebanyak RM10.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika menolak usul berkenaan berkata usul yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) tidak dapat dipertimbangkan untuk dikemukakan di dalam Dewan kerana tidak menyatakan dengan jelas perkara yang hendak dikurangkan.

"Selain itu usul perlu memberikan alasan bagi pengurangan tersebut dan memberikan suatu justifikasi terperinci bagi alasan pengurangan tersebut," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau yang meneliti usul itu turut menegaskan keputusan berkenaan dibuat bagi mengelakkan sebarang persoalan perundangan ditimbulkan.

"Gaji adalah hak individu dan ia bermaksud menteri itu mempunyai hak ke atas gaji mereka. Dewan ini tidak mempunyai hak untuk mengambilnya," katanya.

Pua mengemukakan usul berkenaan pada Rabu lalu dengan mendakwa Ismail Sabri menyalahguna kuasa melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menyiasat Suara Inisiatif Sdn Bhd. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan