Rabu, 31 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


JPJ wujud 51 mesin kiosk perkhidmatan seluruh negara tahun depan

Posted: 31 Oct 2012 02:54 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewujudkan perkhidmatan mesin kiosk bagi membolehkan orang ramai menjalankan transaksi seperti menyemak dan membayar saman pada tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata pada peringkat permulaan, sebanyak 51 mesin kiosk akan ditempatkan di seluruh negara bagi memudah serta menjimatkan masa orang ramai untuk berurusan dengan jabatan itu.

"Kita harap urusan seperti menyemak saman dan mahu membayar saman dapat dipermudah dengan adanya perkhidmatan itu selain menggunakan perkhidmatan MyEG berkaitan saman, cukai jalan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Bulan Inovasi peringkat negeri hari ini.

Ismail berkata perkhidmatan kiosk juga akan diletak di tempat tumpuan ramai seperti di pasar raya.


Dalam perkembangan lain, JPJ mewujudkan kaunter pelbagai fungsi di pejabat negeri bagi mempertingkat tahap sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai selain memudah serta mempercepatkan urusan.


Sebelum ini, orang ramai terpaksa berurusan di kaunter berasingan berkaitan lesen memandu, cukai jalan, penukaran hak milik kenderaan serta memperbaharui lesen memandu vokasional bagi pengangkutan awam dan kenderaan barangan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31


Kerosakan infrastruktur akibat ribut di Miri akan segera dibaiki

Posted: 31 Oct 2012 02:06 AM PDT

KUCHING: Semua infrastruktur yang rosak akibat ribut yang melanda Miri semalam, akan dibaiki sebaik saja tahap kerosakan yang dialami dikenal pasti, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi negeri Datuk Seri Michael Manyin, hari ini.

Beliau berkata menteri muda Datuk Lee Kim Shin telah berlepas ke Miri petang semalam untuk mengetuai kementerian itu membuat taksiran tentang kerosakan yang dialami akibat ribut yang membadai kawasan berkenaan pada 1.30 tengah hari semalam.

"Apabila berlaku bencana seperti ini, sudah tentu akan berlaku kerosakan. Dan apabila berlaku kerosakan akibat bencana seperti ini, kita tak boleh menunggu lama (untuk menjalankan kerja membaiki)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di SMK Petra Jaya di sini.

Manyin berkata beliau belum menerima sebarang laporan awal tentang kerosakan yang berlaku dan berdasarkan laporan akhbar, ribut sekuat itu sudah pasti memberi kesan buruk.


"Apabila membaca akhbar hari ini, saya terkejut. Saya boleh memahami perasaan penduduk di sana (di Miri)," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31


Tiada ulasan:

Catat Ulasan