Rabu, 31 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Usah pinggir peniaga asal

Posted: 30 Oct 2012 12:39 PM PDT

KUALA LUMPUR: Peniaga Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit, dekat sini, bersedia untuk menerima sebarang projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di kawasan terbabit, jika usaha dilakukan itu mampu meningkatkan pendapatan mereka.

Keadaan pasar yang kurang selesa dengan laluan pejalan kaki merentasi setiap segmen termasuk barang-barang basah dan kering seperti sayur, buah-buahan, pelbagai jenis daging, ikan dan pakaian menyebabkan pembangunan di kawasan itu sangat ditagih.


Tinjauan Harian Metro di kawasan pasar yang memulakan operasi sejak 1950-an itu mendapati sudah tiba masanya kerajaan membangunkan semula kawasan itu sejajar dengan kepesatan pembangunan di sekitarnya.

Kawasan persekitaran pasar yang kurang bersih termasuk lantai berair dan sistem pengudaraan tidak sempurna mendedahkan peniaga dan pelanggan pasar dengan pelbagai penyakit, manakala atap yang bocor menyebabkan aktiviti jual dan beli kurang selesa ketika hujan.


Rata-rata peniaga ditemui memberikan maklum balas positif berhubung usaha membangunkan semula pasar terbabit, asalkan projek berkenaan tidak meminggirkan peniaga asal atau menjadi 'Projek Gajah' hingga akhirnya ramai yang gulung tikar.


Peniaga ayam, Fadzil Ibrahim, 52, berkata, tidak ada ruginya peniaga menerima projek pembangunan yang dilaksanakan kerana dapat meningkatkan pendapatan mereka, selain memodenkan pasar berkenaan.

"Siapa yang nak menolak pembangunan kalau usaha berkenaan mampu memperbaiki kualiti hidup peniaga. Kalau tidak berubah pun tidak ada gunanya juga sebab sampai bila kita nak kekal dengan konsep pasar seperti ini.


"Kalau kerajaan bina pasar dengan cantik dan bersih, kesannya dinikmati peniaga. Saya lihat keadaan pasar pun kurang selesa dengan keadaan atap yang bocor dan lantai basah ketika hujan menyebabkan jalan becak," katanya.

Beliau yang memulakan perniagaan sejak 20 tahun lalu berkata, masalah kekurangan tempat meletak kenderaan perkara utama perlu diberi perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membangunkan kawasan itu.


"Kawasan ini begitu strategik. Persekitarannya yang terletak di tengah-tengah laluan Jalan Raja Bot, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Sultan Ismail menyebabkan ia menjadi tumpuan orang ramai," katanya.


Pendapatnya dikongsi peniaga pakaian yang mahu dikenali Sarah, 57, dengan mengharapkan usaha pembangunan di kawasan Chow Kit perlu disepadukan dengan penguatkuasaan bagi mengelak peniaga tempatan tertindas. "Mahu atau tidak pembangunan di kawasan ini perlu dilaksanakan. Setidak-tidaknya ada pembaharuan dilakukan kerajaan dalam menjaga kebajikan peniaga termasuk insurans untuk menjaga harta peniaga.


"Kalau bangunan dibina gah, tetapi tidak mendatangkan faedah tiada gunanya juga. Sebab kami bimbang, peniaga di bangunan baru akan rugi, sebaliknya aktiviti jualan di kawasan kaki lima masih berlaku seperti biasa terutama dominasi peniaga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31


Pastikan generasi pelapis mampu bersaing

Posted: 30 Oct 2012 12:37 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Bagi saya perubahan yang akan dilakukan dalam membangunkan semula kawasan Pasar Chow Kit perlu diterima dengan hati terbuka, asalkan tidak meminggirkan kebajikan peniaga," kata Penasihat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Jalan Chow Kit, Yong Pit Wei.

Beliau berkata, tiba masanya Pasar Chow Kit dibangunkan semula untuk memastikan generasi pelapis akan datang dapat bersaing dengan pasar raya besar lain dalam menawarkan keperluan barangan harian kepada pelanggan baru dan lama.


"Usia Pasar Chow Kit melebihi 50 tahun dan kebanyakan peniaga berniaga di situ sebelum merdeka. Dalam keadaannya yang sudah lama dan rosak menyebabkan pembangunan perlu dilaksanakan.

"Untuk memastikan kesinambungan perniagaan dapat diwarisi generasi akan datang, kita kena berkorban, malah kita tidak boleh membiarkan kawasan ini terbiar, selain menerima usaha memajukannya," katanya dihubungi di sini, semalam.


Kelmarin, Presiden Peniaga Kecil dan Penjaja Kuala Lumpur, Datuk Baharim Abdul Razak membantah pengambilan tanah bagi projek pembangunan Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit kerana ia dibimbangi akan melenyapkan identitinya.


Malah, Baharim mendakwa sudah menghantar cadangan pelan yang sepatutnya dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sekiranya ia tidak dipersetujui menyebabkan tindakan bantahan akan disusuli kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31


0 ulasan:

Catat Ulasan