Isnin, 29 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Nasional


2 warga kita nafi militan al-Qaeda

Posted: 29 Oct 2012 03:46 PM PDT

Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia yang ditahan di Beirut minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Tentera Lubnan semalam, atas tuduhan menganggotai kumpulan al-Qaeda.

Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, dan Razif Mohamad Ariffin, 28, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu sebaik mereka dibawa ke mahkamah berkenaan pada jam 10 pagi (4 petang waktu tempatan).

Bagaimanapun, hakim menangguhkan kes itu untuk disebut semula esok bagi membolehkan kedua-dua tertuduh mendapatkan khidmat peguam bela.

Mahkamah juga membenarkan permohonan bapa Razif, Mohamad Ariffin Abdullah untuk menemui anaknya selama setengah jam sebelum kedua-dua tertuduh di bawa ke Pusat Tahanan Tribunal Tentera Beirut.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan, berkata hakim yang mendengar kes itu memerintahkan supaya mereka mendapatkan khidmat peguam bagi membela mereka.

Katanya, pihak kedutaan sudah mengenal pasti sebuah firma guaman di Beirut dan sedang mengkaji fakta kes itu.

Ilango berkata, beliau sudah menghantar dua pegawai kedutaan untuk menemui kedua-dua tertuduh di pusat terbabit.
Minggu lalu, pihak berkuasa Lubnan menahan tertuduh di sebuah hotel di Beirut kerana dipercayai menganggotai kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Ariffin ketika dihubungi berkata, beliau sempat bertanyakan mengenai keadaan kesihatan anaknya selain mendapatkan maklumat lanjut sama ada diseksa semasa berada dalam tahanan.

Katanya, beliau juga masih menunggu maklumat lanjut berhubung penahanan anaknya itu namun enggan mengulas lanjut mengenai tuduhan terhadapnya.

Saya minta mana-mana pihak agar dapat memberikan saya sedikit masa dan ruang bagi mengikuti proses tuduhan ke atas anak saya dan buat masa ini saya tidak dapat mengulas dakwaan terhadap Razif, katanya yang dihubungi sejurus selesai mengikuti proses pertuduhan di mahkamah.

Ibu Mohamad Razin, Sharifah Asma, berkata dia tidak tahu bagaimana anaknya boleh ditahan atas kesalahan menganggotai kumpulan al-Qaeda.

Anak saya tinggal di Melaka dan menuntut di sebuah kolej di Trolak dan sementara saya dan suami menetap di Putrajaya, saya sering berhubung dengan anak saya namun, kami tidak mengetahui pembabitannya dalam kumpulan itu,
Sementara itu, Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Antipengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sentiasa memantau pergerakan rangkaian kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Kita tak menerima maklumat mengenai rangkaian al-Qaeda di sini, namun tidak menolak kemungkinan adanya aktiviti merekrut rakyat tempatan menganggotai kumpulan itu di negara jiran.

Kita juga memantau kenalan kedua-dua rakyat Malaysia itu bagi mengesan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan, katanya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap pihak berkuasa di Lubnan mengenai penahanan itu.

Dokumen parti BN rahsia

Posted: 29 Oct 2012 03:39 PM PDT

Kuala Lumpur: Ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta menganggap semua dokumen berkaitan parti sebagai dokumen rahsia bagi memastikannya selamat dan tidak jatuh di tangan pihak tidak sepatutnya.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau sudah menulis surat kepada semua 13 komponen BN supaya lebih berhati-hati mengendalikan dokumen berkaitan parti.

Mengulas isu kebocoran dokumen BN seperti didakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini, Tengku Adnan berkata, ia hanya membabitkan maklumat kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 dan pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

Penerima dokumen ini lupa kita ada sistem kod di ibu pejabat. Saya cuba nak dapatkan salinan pada Guan Eng supaya kita tahu siapa yang memberikan kepadanya. Tindakan selepas itu kita serahkan kepada Pengerusi (BN), katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Buku 100 Wira Negara terbitan Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) kepada UMNO di Dewan Seri Endon, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Sementara itu, beliau berkata, BN tidak menolak kemungkinan meletakkan calon luar jika itu menjadi kehendak pengundi di kawasan terbabit.

Kita nak calon yang rakyat nak, bukan calon yang dipilih parti atau calon yang dipilih individu tertentu dalam parti, katanya.

Tengku Adnan mengulas kesediaan BN untuk meletakkan calon luar kawasan atau calon payung terjun dalam pilihan raya akan datang memandangkan perkara itu mungkin tidak disokong sesetengah pihak dalam parti.
Katanya, kepemimpinan parti akan mengutamakan pilihan rakyat dan meminta ahli parti untuk memberi sokongan padu kepada calon dipilih berdasar semangat Barisan Nasional.

Terdahulu, Tengku Adnan menerima 5,000 Buku 100 Wira Negara yang ditulis Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman, yang akan diedar kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO bermula 27 November depan.

Buku terbitan MUBARAK itu menampilkan 100 tokoh dan ikon tempatan yang menyumbang jasa kepada negara dalam bidang masing-masing termasuk politik, sosial, sukan dan ekonomi sebagai rujukan kepada generasi muda.

Antara tokoh dimuatkan sebagai wira negara ialah keenam-enam Perdana Menteri, pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, jaguh skuasy Datuk Nicol Ann David, angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, tokoh ekonomi Profesor Diraja Ungku Aziz dan wira negara, Allahyarham Leftenan Adnan.

0 ulasan:

Catat Ulasan