Selasa, 23 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Dua konco along ditahan

Posted: 22 Oct 2012 04:13 PM PDT

SHAH ALAM: Satu sindiket pinjaman wang haram atau along yang menjadikan pekerja kilang, pemandu teksi, penjaja dan pekerja pelabuhan sebagai sasaran mereka tumpas apabila dua anggotanya ditahan polis di Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.

Hasil maklumat awam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menyerbu sebuah pejabat di Jalan Berangan, Pelabuhan Klang, pada jam 2.10 petang dan menahan seorang lelaki berusia 53 tahun dipercayai pemilik pejabat itu bersama seorang wanita berusia 31 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, ketika serbuan polis turut menemui 596 dokumen berkaitan aktiviti pinjaman haram itu selain sebuah komputer yang digunakan bagi menyimpan semua data peminjam.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan terhadap dokumen berkenaan, polis menganggarkan terdapat 300 peminjam terdiri daripada pekerja kilang, pemandu teksi, penjaja dan pekerja pelabuhan menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.


"Hasil pemeriksaan awal kami percaya mereka aktif menjalankan kegiatan ini sejak empat tahun lalu berdasarkan rekod pinjaman yang ditemui.


"Seorang mangsa membuat pinjaman RM200 hingga ribuan ringgit dengan dikenakan faedah bulanan lapan peratus," katanya.

Chong berkata, modus operandi kumpulan terbabit ialah mereka menyimpan kad mesin juruwang automatik (ATM) peminjam untuk memudahkan pemotongan wang secara bulanan dilakukan pihak itu menerusi akaun simpanan.


Beliau berkata, dua suspek yang ditangkap membawa polis ke sebuah rumah milik seorang suspek di Pelabuhan Klang jam 4 petang pada hari sama.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai 116 kad ATM pelbagai bank milik peminjam dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun.


"Kedua-dua suspek yang ditahan direman sehingga hari ini (esok) dan mangsa akan dihubungi untuk diambil keterangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


138 tertipu beli ‘rumah murah’

Posted: 22 Oct 2012 04:11 PM PDT

SHAH ALAM: Seramai 138 pembeli rumah berputih mata apabila dipercayai ditipu lima syarikat hartanah yang menawarkan rumah dengan harga rendah di karnival hartanah yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2006.

Lebih malang, semua pembeli itu turut diisytihar muflis oleh bank yang memberi pinjaman perumahan berkenaan selepas mangsa enggan membuat pembayaran balik kerana berasa ditipu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, 138 daripada 400 mangsa yang menyedari mereka ditipu membuat laporan di beberapa balai polis sekitar Selangor dengan dibantu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), kelmarin.

Katanya, laporan berkenaan diterima di beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) antaranya IPD Subang Jaya, Gombak, Klang Utara, Klang Selatan, Serdang, Petaling Jaya dan Shah Alam.


"Kami percaya hampir 400 pembeli rumah yang hadir ke karnival hartanah itu menjadi mangsa, namun mereka tidak membuat laporan. Hanya jumlah berkenaan (138) yang tampil membuat laporan polis.


"Berdasarkan keterangan mangsa, ejen dari syarikat hartanah berdaftar itu pergi ke rumah pembeli untuk mendapatkan tandatangan mangsa," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, borang itu diserahkan kepada enam bank tempatan yang turut bekerjasama bagi memberi pinjaman perumahan kepada pembeli.


Beliau berkata, syarikat terbabit menipu pembeli dengan menjual rumah teres dan banglo berharga RM150,000 hingga RM280,000 di Meru, Klang dan Banting.

Katanya, siasatan terperinci berhubung kejadian akan dilakukan kerana setakat ini polis hanya mendengar laporan daripada sebelah pihak.


"Ketika ini, kami nasihat kepada semua mangsa supaya bersabar kerana siasatan masih dijalankan. Kami mahu bersikap adil dan disebabkan itu kami perlu dapatkan keterangan daripada kedua-dua pihak.


"Semua keterangan mangsa sudah dirakam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


0 ulasan:

Catat Ulasan